Majlis Sambutan Hari Inovasi Pentadbiran Kerajaan Selangor Tahun 2014

Ucapan YAB Tuan Mohamed Azmin Bin Ali Dato’ Menteri Besar Selangor

Majlis Sambutan Hari Inovasi Pentadbiran Kerajaan Selangor Tahun 2014

17 NOVEMBER, 2014 ( ISNIN )
3.00 PETANG

1. Bersyukur kita ke hadrat allah s.w.t kerana dengan limpah rahmat dan keizinannya dapat kita bersama-sama berkumpul pada hari ini sempena Majlis Sambutan Hari Inovasi, Pentadbiran Kerajaan Selangor Tahun 2014.

2. Hari Inovasi yang kita sambut pada hari ini adalah penzahiran kepada semangat warga perkhidmatan awam di negeri selangor dalam membina persekitaran yang berteraskan inovasi dan menyuburkan percambahan idea-idea kreatif serta inovatif. Dengan percambahan idea-idea kreatif dan inovatif ini juga diyakini mampu untuk terus memperkasa warga perkhidmatan awam yang lebih berdaya saing.

Hadirin yang dihormati,

3. Penghasilan inovasi telah banyak merubah landskap pemikiran masyarakat dunia melalui cetusan-cetusan idea unik. Cetusan-cetusan tersebut membolehkan orang ramai menikmati pelbagai kemudahan yang dahulunya hanya mampu dinikmati segelintir. Semakin hari, masa seolah-olah bergerak pantas dan tidak memberikan kesempatan kepada mereka yang lengah dan terperangkap dengan kerangka usang. Kegagalan untuk bergerak selari dengan tuntutan zaman menyaksikan beberapa syarikat gergasi seumpama Kodak dan IBM jauh tertinggal di belakang syarikat seperti Apple, Microsoft dan Samsung.

4. Kemampuan pengurusan dan pentadbiran mendakap zeitgeist atau semangat zaman untuk menetapkan perancangan inovasi selaras dengan hala tuju dan kepentingan organisasi serta mengutamakan kehendak pelanggan pastinya menghasilkan mutu perkhidmatan yang terbaik buat rakyat Negeri Selangor.

5. Justeru, dalam usaha membudayakan inovasi, Perkhidmatan Awam khususnya di Negeri Selangor hari ini perlu mengambil iktibar daripada kisah kemunduran Kodax dan IBM dengan menetapkan perancangan yang menyeluruh, struktur yang lebih teratur dan menepati kehendak serta harapan rakyat bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kerajaan kekal relevan dan seterusnya membangunkan negeri dan negara yang berdaya maju.

6. Bill Gates pernah menyatakan bahawa “never before in history has innovation offered promise of so much to so many in so short of time” yang jelas mencerminkan bahawa perancangan dan pelaksanaan inovasi yang tersusun mampu mengangkat martabat dan kesejahteraan rakyat Negeri Selangor. Dalam usaha kita untuk menyempurnakan agenda Negeri Pembangunan, aspek inovasi mestilah berteraskan kepedulian terhadap menyelesaikan permasalahan rakyat. Sayugia, limpahan kebaikan daripada dasar-dasar Kerajaan Negeri Selangor ini haruslah dirasai dan dinikmati sehingga ke akar umbi.

7. Kecanggihan dan kehebatan teknologi maklumat mutakhir ini serta percambahan idea-idea kreatif dan inovatif seharusnya tertumpu untuk menjalin connectivity dan menggerakkan mobiliti sosial rakyat Negeri Selangor. Kebijakan serta upaya yang digarap bukan sekadar memastikan tidak ada halangan antara hubungan desa dan bandar akan tetapi juga membolehkan rakyat dari pelbagai latar untuk keluar dari kesempitan hidup demi menikmati kehidupan yang lebih selesa. Pentadbiran yang baru ini memberi jaminan bahawa keseluruhan jentera kerajaan akan digembleng dan dijuruskan kepada usaha-usaha meningkatkan taraf hidup rakyat di samping menjamin keamanan, kesejahteraan dan keselamatan awam.

8. Jentera Pentadbiran Awam yang responsif terhadap pelaksanaan dasar secara berkesan pastinya memberikan perkhidmatan yang bermutu selari dengan perkembangan yang pesat berlaku di dalam dan luar negara. Dalam erti kata lain, Perkhidmatan Awam harus kekal relevan sentiasa dan berupaya untuk melaksanakan tanggung jawab yang telah dijanjikan kepada rakyat.

9. Inovasi sentiasa berkembang dan bergerak pantas dalam dunia yang semakin mencabar dan sebagaimana yang disebutkan oleh Howard Gardner sebagai Minda Penciptaan atau The Creating Mind akan sentiasa menghasilkan sesuatu yang baru walaupun mungkin dianggap ‘gila’ bagi kebanyakan orang yang berfikiran biasa.

10. Kita boleh mengambil iktibar dan inspirasi daripada kejayaan tokoh seperti Steve Jobs; pengasas Apple, Larry Page dan Sergei Brin; pengasas Google, serta beberapa tokoh tempatan seperti Phua Khein Seng, iaitu pencipta pendrive yang berasal dari Sekinchan dan Jimmy Choo; pereka kasut terkenal.

11. Berkat idea kreatif dan inovatif serta keinginan individu-individu ini untuk mengubah kaedah pelaksanaan secara lazim, masyarakat dunia telah memperolehi manfaat daripada hasil inovasi mereka dalam kehidupan harian. Sehubungan itu, besarlah harapan saya agar kita memulakan langkah untuk keluar dari kepompong kebiasaan kita dan terus menghasilkan perubahan dan melaksanakan transformasi secara lebih berkesan.

ANUGERAH DAN PENGIKTIRAFAN

12. Mendasari perubahan-perubahan yang telah dilaksanakan oleh warga Perkhidmatan Awam di Negeri Selangor ini, Anugerah Inovasi Sektor Awam Negeri Selangor ( AISAS ) dan anugerah bagi Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif ( KIK ) telah menjadi antara pengiktirafan yang dinanti-natikan saban tahun. Anugerah ini diwujudkan dengan hasrat untuk melahirkan Innovator dan pemain-pemain inovasi yang mampu menyumbang kepada usaha-usaha untuk meningkatkan kecekapan dan mutu Perkhidmatan Awam di negeri ini. Sejak tahun 2010, anugerah-anugerah ini telah melahir dan mewujudkan pelbagai bentuk perubahan terutamanya cara bekerja yang baharu.

13. Saya juga difahamkan, buat julung kalinya pada tahun 2014 ini Pentadbiran Kerajaan Selangor telah memperkenalkan Program Cabaran My Innovation di bawah kerangka Program Jejak Inovasi dengan hasrat untuk menjejaki dan mencungkil ciptaan-ciptaan baru yang berinovasi dari seluruh Negeri Selangor. Walaupun baru pertama kali diperkenalkan, program ini telah menerima maklum balas dan penyertaan yang cukup luar biasa. Ini memberikan isyarat dan makna bahawa di Negeri Selangor ini kita tidak pernah ketandusan bakat-bakat kreatif dan inovatif asalkan mereka diberikan peluang dan ruang untuk menonjolkan dan membawa ciptaan-ciptaan masing-masing untuk diketengahkan.

14. Justeru, pada sambutan kali ini kita tidak hanya meraikan sumbangan dan hasil titik peluh warga Perkhidmatan Awam sahaja tetapi kita juga memberikan saat-saat manis ini kepada warga Negeri Selangor dari pelbagai lapisan masyarakat untuk bersama-sama diraikan dan sebagai tanda penghargaan kita terhadap usaha dan kesungguhan yang mereka tunjukkan.

PENUTUP

15. Sempena Sambutan Hari Inovasi Pentadbiran Kerajaan Selangor Tahun 2014 ini, saya ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada individu, kumpulan dan organisasi yang bakal dinobatkan sebagai penerima anugerah-anugerah yang dipertandingkan dalam kategori yang telah ditetapkan. Semoga dengan kejayaan ini akan menggilap tekad untuk terus meningkatkan lagi kesungguhan demi mencurahkan idea dan merancakkan kreativiti serta mencipta kecemerlangan dalam perkhidmatan yang diberikan.

16. Sesungguhnya, kejayaan yang diraih oleh penerima-penerima anugerah kali ini perlulah dicontohi oleh semua anggota perkhidmatan awam di negeri ini dan menjadikannya sebagai tanda aras; benchmark dalam usaha merancakkan lagi pembudayaan inovasi dan kreativiti di jabatan dan agensi masing-masing. Besarlah harapan saya agar semua jabatan dan agensi meningkatkan program-program inovasi secara berterusan. Mekanisma yang sedia ada hendaklah aktif dan berupaya menggerakkan usaha-usaha inovasi.

17. Saya dengan lafaz ‘bismillahir rahmanir rahim dengan sukacitanya merasmikan Majlis Sambutan Hari Inovasi Pentadbiran Kerajaan Selangor Tahun 2014. Sekian, wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih.