Manusia Berkepala Lembu?

Ramadhan sering dikaitkan dengan madrasah ruhhiyah – penyucian jiwa manusia yang mengaku beriman dengan Allah SWT. Maka sewajarnya kita menjadi peserta madrasah yang mengikuti latihan yang cukup ketat dan kurikulum yang mantap ke arah ketaqwaan kepada Allah SWT dan membentuk akhlak yang murni. Ramadhan juga adalah bulan jihad di mana tentera Islam yang dipimpin oleh Baginda Rasulullah SAW menang dalam perang Badar. Kemenangan Baginda menumpaskan golongan kufar bukan kerana senjata dan alat ketenteraan yang canggih, bukan juga kerana propaganda media, bukan kerana kemewahan harta tetapi adalah kerana kepatuhan kepada perintah Allah SWT dan semangat ukhuwwah yang padu. Justeru itu, Ramadhan harus dijadikan peluang untuk kita menggilap semula ruh dan semangat jihad serta membina kekuatan ukhuwwah di kalangan umat Islam di Negara kita.

Isu pemindahan kuil telah menjadi medan untuk golongan pelampau kaum yang bertuhankan ideologi politik yang jumud untuk menyemarakkan api perkauman sempit bagi memusnahkan keharmonian dan kedamaian yang dinikmati oleh majoriti warga Shah Alam. Isu ini tidak ada kaitan dengan tuntutan jihad dalam Islam. Saya ingin mengingatkan sekali lagi ketegasan agama Islam dalam perkara ini seperti yang terkandung dalam Al Quran, Surah Al-An’am : 108

“Dan janganlah kamu memaki sembahan-sembahan yang mereka sembah selain Allah, karena mereka nanti akan memaki Allah dengan melampaui batas tanpa pengetahuan.”


Toleransi, kesantunan, sikap saling menghormati dan adab dalam perbedaan pendapat yang menjadi sebahagian dari ajaran yang dibawa oleh Baginda Rasulullah lebih 1400 tahun lalu sudah semakin lusuh. Amat malang sekali, kelangsungan jangka hayat UMNO hanyalah dengan meniup isu kaum dan agama yang sempit. Media yang dikuasai oleh pemerintah UMNO diperkudakan untuk memanipulasi isu-isu sensitif sedangkan Islam tidak menghalalkan tindakan biadap terhadap rakan-rakan kita yang berlainan kepercayaan agama dan budaya. Islam dan demokrasi juga tidak pernah membenarkan sang majoriti untuk menafikan hak mereka yang lebih kecil bilangannya apatah lagi melakukan kezaliman terhadap mereka. Malahan Islam menganjurkan kita meraikan hak mereka yang boleh menyumbang ke arah kesejahteraan dan keharmonian kaum dalam Negara.

Kesediaan YAB Tan Sri Khalid Ibrahim untuk mengadakan pertemuan dengan penduduk-penduduk Seksyen 23, Shah Alam pada 5 September 2009 menggambarkan sikap keterbukaan dan ketelusan pentadbiran Pakatan Rakyat yang bersedia mendengar rintihan rakyat. Malangnya, keiklasan pimpinan Negeri Selangor tidak disambut dengan ruh dan semangat ukhuwwah di bulan Ramadhan yang penuh rahmat Allah SWT. Majlis dialog sebaliknya dicemari oleh beberapa individu yang langsung tidak menghormati prinsip musyawarah. Majlis sarat dengan kata-kata nista dan cerca, maki hamun dan isyarat lucah. Seorang yang mendakwa penduduk juga mengugut EXCO Kerajaan Negeri Selangor untuk merogolnya ! Gelagat dan watak samseng jalanan mereka yang mengaku Melayu Islam ini langsung tidak menggambarkan akhlak peserta madrasah Ramadhan. Media milik UMNO mendewa-dewakan mereka sebagai ‘pejuang Islam’….

Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada Tan Sri Khalid dan saf kepimpinan kerajaan Negeri Selangor yang sabar mendengar kerenah kelompok yang tidak civil dalam hujah mereka. Isu yang sepatutnya boleh diselesaikan dengan perbincangan dan timbang rasa menjadi huru-hara akibat tindakan mereka yang tidak langsung menghormati adab sopan.

Saya percaya Allah SWT akan terus memelihara pentadbiran Pakatan Rakyat yang senantiasa sabar menguruskan kehendak rakyat dan bertindak secara bijaksana. Saya juga percaya rakyat Selangor dan warga Shah Alam yang cintakan keamanan dan keharmonian pastinya kecewa dan hampa dengan insiden ini dan demonstrasi ‘kepala lembu’ tempoh hari. Walau apapun, saya menyeru kepada seluruh rakyat Selangor dan Malaysia agar bertenang dan sentiasa muhasabah diri agar tidak terperangkap dengan tipu daya UMNO dengan politik sempit mereka. UMNO sudah celaru dan terdesak. UMNO hanya menghitung hari untuk musnah.

AZMIN ALI

Comments: 26

Comments are closed.