MB santuni masyarakat Sabak Bernam di Qurban Perdana

Sumber : Selangorkini.com

SABAK BERNAM, 25 SEP: Amalan mendekati dan menyelami kehidupan rakyat akar umbi diteruskan lagi apabila Dato’ Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali turun ke Daerah Sabak Bernam dalam Program Qurban Perdana Dato’ Menteri Besar sempena sambutan Hari Raya Aidil Adha kali ini.

Mohamed Azmin yang tiba seawal jam 9.00 pagi sempat meluangkan masa di empat lokasi sekitar Sabak Bernam, Masjid Ubudiah di Sungai Air Tawar, Masjid Sultan Muhammad Shah di Parit 10, Mahaad Tahfiz Turoth, Bagan Terap dan Masjid Jamek Sultan Hishamuddin, Pekan Sabak.

Program MB korban di Sabak Bernam (3)Mohamed Azmin walaupun terikat dengan jadual program sehari itu, tetap tidak melepaskan peluang bagi mendekati rakyat untuk bertanya khabar.

Selain itu Mohamed Azmin bersama penduduk tempatan juga sempat bergotong royong melapah daging lembu korban dan membantu memasak untuk jamuan pada tengah harinya.

Mohamed Azmin semasa berucap di Masjid Jamek Sultan Hishamuddin turut mengumumkan meluluskan peruntukan sebanyak RM16,000 kepada masjid berkenaan bagi membiayai pembelian set kipas angin baru.

Selain melawat masjid yang mengadakan majlis penyembelihan lembu korban, Mohamed Azmin turut meluangkan masa melawat Maahad Tahfiz Turoth di Bagan Terap.

Program MB korban di Sabak Bernam (15)Beliau diberikan taklimat khas berkaitan projek pembangunan Maahad Tahfiz yang menempatkan kira-kira 600 pelajar itu.

Program itu berakhir dengan Majlis Jamuan Rakyat selepas Solat Jumaat di Masjid Jamek Sultan Hishamuddin, Pekan Sabak.

Mohamed Azmin ketika mengulas program yang julung kali diadakan ini berkata, sambutan diberikan masyarakat setempat sungguh menggalakkan.

“Sambutan penduduk tempatan begitu menggalakkan dan saya percaya dengan adanya program sebegini mampu mengeratkan lagi hubungan sesama masyarakat dan juga antara masyarakat dan Kerajaan Negeri,” katanya.

Turut hadir pada program sama, Exco Hal Ehwal Agama, Jawatankuasa Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sabak, Sallehen Mukhyi.