Kenyataan Media: Ubah segera status laporan AG

Azmin: Ubah segera status laporan AG

Saya menggesa Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Razak untuk mengubah segera status laporan Ketua Audit Negara demi ketelusan, kebertanggungjawaban dan tatakelola yang baik.

Kegagalan berbuat demikian hanya akan mengukuhkan lagi anggapan tentang kewujudan konspirasi peringkat tertinggi untuk melindungi skandal 1MDB.

Akta Rahsia Rasmi adalah satu bentuk undang-undang yang bertujuan untuk mempertahankan keselamatan nasional dan memastikan maklumat risikan yang sensitif dan sulit tidak jatuh ke tangan pihak yang tidak diingini.

Maka, ia pastinya tidak pernah terlintas dalam fikiran sesiapa sekali pun yang dapatan Ketua Audit Negara berkenaan 1MDB wajar dikelaskan dalam kategori maklumat sulit ini.

Pendirian untuk mengkelaskan maklumat tersebut dalam bentuk demikian adalah satu salah guna kuasa dan autoriti eksekutif secara terang-terangan yang belum pernah tergamak dilakukan mana-mana pemimpin dalam sejarah negara ini.

Kita amat kesal dengan kerajaan ini yang bukan sahaja tidak mengendahkan tuntutan rakyat, tetapi pada masa sama menggandakan ugutan untuk mendakwa mereka yang membocorkan laporan 1MDB sebagai pengkhianat. Ini merupakan satu lagi petanda jelas keangkuhan kuasa sebuah pentadbiran yang menganggap dirinya berada di atas undang-undang serta tuntutan ketelusan dan kebertanggungjawaban.

Kita perlu ingat bahawa mendedahkan kebenaran di sebalik skandal 1MDB yang maha besar ini bukannya satu permainan politik. Ia adalah satu tanggungjawab yang wajib dipikul semua pemimpin dalam kerajaan atau pembangkang.

Ketelusan adalah ibarat cahaya matahari, yang diyakini ramai sebagai pencegah kuman terbaik bagi melawan penyakit rasuah serta urus niaga yang meragukan.

DATO’ SERI MOHAMED AZMIN ALI