Memperbaharui Tekad Menggalas Perjuangan

Merenung sejenak perjalanan sepanjang tahun 2010, kita berhadapan pelbagai cabaran dalam usaha untuk membentuk sebuah negara yangmementingkan kebajikan rakyat.

Cita-cita untuk melihat Malaysia yang demokratik, bersih dan adil lahir dari kesedaran mendalam untuk mewujudkan bangsa Malaysia yang harmoni.

Untuk mencapai maksud ini, negara memerlukan muafakat baru di antara kaum bagi menuntut perubahan dan tidak tergelincir ke jurang kehancuran.

Cita-cita yang murni ini berhadapan dengan pelbagai bentuk halangan dan ranjau dari rejim penguasa yang sudah terlalu lama bekerja dengan cara lama, menindas suara dan tuntutan rakyat yang dahagakan perubahan.

Rakyat Malaysia yang celik akal dapat melihat bagaimanaUMNO dan Barisan Nasional terus mempergunakan kuasa yang ada dengan menekan, mengelirukan dan menakut-nakutkan rakyat  daripada turut sama dalam gelombang menuntut perubahan.

Pelbagai bentuk kepalsuan telah dikilangkan dengan memutar belitkan fakta, memasung perbezaan pendapat dan mengadu domba permusuhan dikalangan rakyat berbilang kaum untuk menggagalkan natijah politik baru.

Serangan demi serangan menggunakan slogan dan retorika politik berubah ini muncul dari luar dan dalam bertujuan melemahkan keazaman dan fokus perjuangan kita.

Idea-idea bernas serta  dasar-dasar yang baik telah dirancang dan dibahaskan secara mendalam demi mengangkat martabat dan mutu kehidupan rakyat oleh Pakatan Rakyat terus dipinggirkan dan dibungkam oleh UMNO-Barisan Nasional untuk mengekalkan hegemoni kuasa politik sempit mereka.

Kita harus akur dan berlaku jujur bahawa tuntutan perubahan ini memerlukan ketangkasan dan kebijaksanaan dalam menguruskan perubahan (managing change). Kita wajar mengambil langkah-langkah dan tindakan untuk memperbaiki kelemahan kita serta belajar dari pengalaman agar organisasi kita menjadi lebih kukuh, efektif dan berdaya saing.

Perjuangan jerih kami dari KEADILAN serta gabungan parti PAS dan DAP didalam Pakatan Rakyat tidak berlandaskan kebencian dan kemarahan. Perjuangan yang kita dukung ini adalah atas dasar mahu melihat setiap rakyat diberi peluang mendapatkan mutu kehidupan yang lebih baik.

Saya ingin menyeru kepada semua ahli-ahli parti, pendukung dan pimpinan agar memperkukuhkan perpaduan diantara kita. Perbezaan pendapat adalah proses biasa yang harus kita tempuh untuk merungkai sesuatu masalah. Kendati demikian, saya yakin semangat kebersamaan kita dalam perjuangan ini mengatasi perbezaan yang ada.

Marilah kita pertingkatkan ilmu pengetahuan dan pengalaman menerusi pergaulan bersama masyarakat bagi merealisasikan cita-cita kita demi kesejahteraan seluruh rakyat negara Malaysia yang kita cintai.

Saya mengambil kesempatan disini untuk mengucapkan Selamat Tahun Baru 2011. Semoga kita dapat memperbaharui tekad dan azam untuk merobohkan lingkaran kepalsuan daripada terus membelenggu dan merantai pemikiran rakyat Malaysia.

Mohamed Azmin Ali

1 Januari 2011

Comments: 3

Comments are closed.