Memperkuatkan Tekad Melawan Korupsi

Oleh : Mohamed Azmin Ali
“Hai orang-orang beriman, janganlah kamu saling memakan harta sesamamu dengan cara batil,
kecuali dengan cara perniagaan yang berlaku dengan suka sama suka di antara kamu…”
– Al-Qur’an, Surah an-Nisâ’: 29

“In a state where corruption abounds, laws must be very numerous.”
– Cornelius Tacitus

“I want to make a deal with you. Can we have an understanding or not? The understanding is quite simple. I help you, you help me”
– Najib Razak di Rejang Park ketika  kempen Pilihanraya Kecil Sibu

Syed Hussein Alatas, cendekiawan dan pemikir ulung tanahair konsisten dalam penulisan beliau mendedahkan ciri-ciri dan bahaya korupsi didalam masyarakat. Alatas didalam bukunya  “Corruption: Its Nature, Causes and Function” merumuskan bahawa “esensi korupsi adalah pencurian melalui penipuan dalam situasi yang mengkhianati kepercayaan”.

Wang An Shih, tokoh pembaharuan terkemuka China dari Dinasti Sung pernah membuat kesimpulan bahawa korupsi terjadi akibat dari dua faktor iaitu undang-undang yang bobrok dan manusia yang bobrok (bad laws and bad men).

Untuk melawan korupsi kita memerlukan  pimpinan yang tegas, berani dan bersih dari unsur korupsi. Undang-undang yang tegas memerlukan pemimpin yang tangkas dan bijaksana serta menginsafi akan bahaya korupsi terhadap masyarakat dan negara.

Malangnya manusia yang menguasai tampuk pemerintahan negara kita  sekarang sarat dipenuhi oleh “dealer” bukannya “leader”.

Ucapan Perdana Menteri ketika kempen Pilihanraya Kecil Sibu sebagaimana yang dipetik diawal tulisan ini jelas mendedahkan mentaliti “dealer” yang sudah terbiasa dengan kaedah pengagihan kontrak dan tawar-menawar demi kepentingan diri.

Mentaliti sebegini perlu dibenteras dikalangan pemimpin yang diamanahkan untuk mengemudi negara.

Berbeza dengan pimpinan Pakatan Rakyat yang telah teruji dan terbukti melawan korupsi. Bandingkanlah pemimpin seperti  Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Tuan Guru Dato’ Nik Aziz Nik Mat, Lim Guan Eng, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Dato’ Seri Haji Hadi Awang yang terbukti berkebolehan untuk memimpin dengan bersih tanpa perlu tunduk kepada budaya korupsi.

KEADILAN, bersama rakan-rakan PAS dan DAP didalam Pakatan Rakyat merupakan wadah politik yang mewakili seluruh rakyat Malaysia dalam perjuangan getir memerangi korupsi.
Sejarah akan membuktikan siapa  sebenarnya pejuang dan siapa sebenarnya “pencari peluang”.

Bagi kami dalam Pakatan Rakyat, pemimpin boleh datang silih berganti, tetapi prinsip melawan korupsi kekal menjadi agenda utama perjuangan kita.
Semenjak Resolusi  58/4 Konvensi Pertubuhan Antarabangsa Menentang Korupsi diluluskan pada 31 Oktober 2003, tanggal 9 Disember telah dipilih sebagai Hari Anti Korupsi Sedunia (International Anti-Corruption Day).

Bersempena dengan sambutan Hari Anti Korupsi Sedunia, saya ingin menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia untuk sama-sama bangkit berganding bahu melawan korupsi. Korupsi adalah barah dan penyakit yang akan meruntuhkan negara.

Sebagai rakyat Malaysia yang cintakan tanahair, marilah kita sama-sama memperkuatkan tekad untuk melawan budaya korupsi dengan segala kekuatan yang ada.

9 Disember 2010

Article by Azmin Ali

One comment

Comments are closed.