Saya telah mengadakan pertemuan bersama YB Dato’ Abdul Rashid Asari, Pengerusi Badan Pimpinan BERSATU Selangor dan YB Dato’ Dr. Ahmad Yunus Hairi, Pesuruhjaya PAS Selangor pada 5 Februari 2021 untuk membincangkan pembentukan Badan Perhubungan Negeri (BPN) Perikatan Nasional Selangor. Perbincangan yang berlangsung dengan penuh semangat musyawarah memberi fokus kepada pembentukan struktur organisasi yang strategik, wibawa dan dinamik untuk menjana kekuatan baru demi memperkukuh keyakinan rakyat.

Lanskap politik Negeri Selangor serta cabaran-cabaran semasa menuntut supaya Perikatan Nasional menampilkan politik progresif dan berpencerahan dengan fokus memperkukuh perpaduan, prihatin kebajikan, menjana pembangunan dan pertumbuhan ekonomi mampan.

Justeru, Perikatan Nasional Selangor komited menggembleng kekuatan setiap parti anggota untuk mewakili kerencaman masyarakat dan kepelbagaian budaya di Negeri Selangor. Kita akan terus memperkukuh dan memberdaya kepimpinan sehingga ke peringkat akar umbi untuk menjamin kestabilan negeri dan kesejahteraan rakyat Selangor secara keseluruhannya.

Pengalaman bekerja bersama BERSATU dan PAS dalam Kerajaan Negeri Selangor pasti akan memperkukuh kekuatan dasar dan pelaksanaan gerak kerja demi masa depan Negeri Selangor yang lebih gemilang.

DATO’ SERI MOHAMED AZMIN ALI

Pengerusi

Badan Perhubungan

Perikatan Nasional Negeri Selangor

210211 – Badan Perhubungan Negeri Selangor – Kenyataan Media 2.pdf