Menyambung Amanah Bangsa

Oleh : Mohamed Azmin Ali

5 Ogos – Pemimpin yang hanya membela kaum sendiri, akan menyebabkan negerinya punah ranah. Tidak kiralah sama ada kaumnya itu merupakan majoriti mahupun minoriti.

Sejarah pahit Afrika Selatan – negara yang telah berjaya menganjurkan Piala Dunia baru-baru ini – pernah menyaksikan kaum minoriti kulit putih menindas kaum majoriti kulit hitam menerusi dasar perkauman yang dikenali sebagai Apartheid.

Penindasan dan ketidakadilan sedemikian juga turut berlaku di Amerika Syarikat sekitar 1940-an sehingga 70-an di mana kaum majoriti kulit putih menindas minoriti kulit hitam yang telah melahirkan satu gerakan ‘civil rights movement’.

Dari negara-negara ini jugalah lahirnya tokoh-tokoh pejuang demokrasi seperti Martin Luther King Jr di Amerika Syarikat sehinggalah Nelson Mandela di Afrika Selatan.

Para pejuang ini bangkit bersuara bukan hanya untuk mempertahankan hak kaum mereka sahaja tetapi juga kepada kaum yang dahulunya menindas. Berbekalkan tekad dan keazaman tersebutlah ianya telah menghasilkan masyarakat yang ‘egalitarian’ sepertimana yang kita saksikan hari ini.

Malaysia tidak dapat menolak arus massa dan kini mengalami getir ujian ini. Saki baki dasar dan kefahaman era penjajah semakin menjadi barah. Pengasingan antara kaum di dalam sektor ekonomi dan politik menimbulkan pelbagai konflik serta rasa tidak selesa di kalangan rakyat.

Melayu, yang di desa selalu dikaitkan sebagai pegawai pemerintah; Cina yang di pekan dan bandar sebagai peniaga; dan, India sebagai pekerja ladang di estet. Ini belum lagi diambil kira kondisi di Sabah dan Sarawak. Pemikiran yang kolot ini sudah mulai diseranah oleh rakyat.

Pemikiran feudal ini menyerap masuk ke dalam sistem pemerintahan dengan parti-parti politik dibahagikan mengikut kaum yang kini menjadi tembok penghadang kepada cita-cita melahirkan sebuah negara Malaysia yang bersatu padu.

Mungkin, lebih setengah abad yang lalu inilah persoalan yang mengganggu benak fikiran pendiri negara kita seperti Dato’ Onn Jaafar, Burhanuddin Al-Helmi, Ahmad Boestaman dan ramai lagi tokoh pejuang progresif.

Meskipun Dato’ Onn mulanya mendirikan parti untuk satu kaum, namun di dalam kesempatan yang singkat dan di ambang kemerdekaan, beliau segera pula mengorak  langkah menubuhkan wadah untuk semua kaum.

Beliau seakan-akan sudah dapat melihat kesilapan awal dan bahaya parti yang berasaskan kaum. Masa depan Malaysia adalah masa depan untuk semua warganegara atau seperti yang diungkapan sendiri oleh Dato’ Onn, “kepada sesiapa yang lahir dan mencurahkan taat setianya kepada negeri ini.”

Kita tak punya jalan berpatah balik. Kita harus mara, dan kepada pemimpin Melayu yang mewakili kaum majoriti di negeri ini, kita akan hanya terhormat apabila dapat menyuarakan kepentingan semua kaum dan wilayah.

Adalah sesuatu yang dusta kiranya kita bercakap mengenai kepentingan semua kaum, seraya melaungkan slogan “1Malaysia” tetapi suara itu datang daripada parti yang kebijakannya adalah dasar perkauman dan assabiyah.
Ia bertambah-tambah nista apabila gabungan-gabungan parti-parti tersebut dianggotai oleh parti-parti yang berlandaskan kaum masing-masing.

Kepura-puraan politik sebegini harus diketepi dan disingkir segera. Sikap perkauman melampau mengakibatkan polarisasi kaum dan ianya makin serius di era “1Malaysia”!

Dalam kekalutan dan riuh suara perkauman sempit yang bertujuan menakut-nakutkan orang Melayu khususnya, saya teringat puisi Usman Awang yang judulnya “Melayu”, yang saya gantungkan di pejabat saya sejak awal tercetusnya pejuangan Reformasi sedekad lalu lagi.

Antara lain, kalimah puisi itu berbunyi :

“Melayu itu kaya falsafahnya
Kias kata bidal pusaka
Akar budi bersulamkan daya
Gedung akal laut bicara”

Yang diseru dalam puisi Tongkat Waran ialah kesedaran untuk merungkai kebijaksanaan atau hikmah. Ia adalah asas penting sebelum kita mampu untuk menyambung tugas dan cita-cita perjuangan ‘founding fathers’ negara dan bangsa kita.

Menjelang Ramadhan Al-Mubarak yang mulia ini, marilah kita sama-sama merenung dan meningkatkan keringat kita untuk bersama kembali ke khittah (landasan) perjuangan.

Selamat berpuasa kepada seluruh umat Islam, semoga ibadah kita mendapat keberkatan dan keredhaanNya.

Comments: 7

Comments are closed.