Multaqa Pegawai Dan Jawatankuasa Masjid Serta Penyerahan Bantuan Moreh

Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin-Nya jua kita dapat berhimpun pagi ini di dalam Multaqa Pegawai Dan Jawatankuasa Masjid Serta Penyerahan Bantuan Moreh Masjid Dan Surau Negeri Selangor 2015.

Saya ingin mengajak pimpinan dan pengurusan masjid untuk menghayati perintah Allah SWT berhubung fungsi dan peranan masjid. Tatkala Masjid Quba’ dibina, ianya bertujuan untuk menyuburkan taqwa.

Menurut Saidina Ali Bin Abi Thalib Karamallahu Wajhah, definasi taqwa adalah melaksanakan apa yang diperintah oleh Allah SWT dan meninggalkan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah SWT. Pembinaan Masjid Quba’ adalah selaras dengan matlamat ini. Namun, golongan munafik di Madinah tidak senang melihat umat Islam bersatu di atas prinsip taqwa yang kental melalui pembinaan Masjid Quba’. Maka, ketua munafik di Madinah bernama Abdullah bin Ubay bin Salul telah berkonspirasi untuk membina masjid tandingan bagi memecahkan perpaduan umat Islam. Masjid tersebut dinamakan Masjid Dhirar (maksud : memudaratkan umat Islam).

Apabila Masjid Dhirar siap dibina, kaum munafik mengundang Baginda untuk merasmikan Masjid Dhirar sebagai tanda persetujuan pembinaan masjid tersebut. Namun, pada waktu itu, Baginda Rasulullah SAW hendak berangkat ke medan Perang Tabuk.

Dalam perjalanan pulang dari Perang Tabuk, Allah SWT memerintahkan Baginda supaya tidak melayan permintaan kaum munafik. Allah SWT menurunkan perintahnya :

“Jangan kamu berdiri di dalamnya selama-lamanya”

Allah SWT menurunkan perintah :

“…Sesungguhnya Masjid (Quba’ yang engkau bina wahai Muhammad), yang telah didirikan di atas dasar taqwa dari mula (wujudnya), sudah sepatutnya engkau sembahyang padanya.”

Ayat ini dengan jelas menegaskan peranan dan fungsi masjid yang mesti dibina atas asas taqwa. Perintah Allah SWT ini turut menegaskan kemestian bagi umat Islam berwaspada dengan tipu muslihat orang-orang munafik yang menggunakan masjid bagi memecah belahkan perpaduan umat Islam.

Multaqa Pegawai-Pegawai Masjid hari ini adalah untuk melonjakkan pengimarahan masjid di bulan Ramadhan Al-Mubarak seperti yang ditegaskan oleh Al-Qur’an.

Surah At-Taubah : Ayat 18

“Bahawasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk.”

Konsep baru masjid pada masa kini perlu mengekalkan ciri-ciri estetika kesenian tamadun Islam yang merangkumi senibina, pengisian dengan majlis ilmu dan kegiatan yang meningkatkan kemaslahatan umat seperti pendidikan pra-sekolah, kegiatan ekonomi, pusat rawatan kesihatan dan program belia.

Masjid harus diimarahkan dengan majlis-majlis ilmu. Pengurusan masjid perlu lebih kreatif dan memikirkan peranan masjid untuk menyumbang keperluan lain kepada masyarakat termasuk di dalam soal pendidikan, kesihatan, peranan sosial bahkan mewujudkan kegiatan ekonomi.

Kita mahu graduan yang dilahirkan dari institusi masjid menjadi umat yang cemerlang yang dikenali dan berpegang kepada prinsip dan nilai-nilai Islam.

Hari ini, umat Islam mengalami proses perbandaran yang sangat pesat. Semakin ramai umat Islam berhijrah ke bandar untuk mencari pekerjaan. Justeru itu, masjid menjadi komponen integral dari aspek urban living atau kehidupan bandar.

Masjid juga perlu dijadikan pusat transformasi umat dari aspek tarbiyah, iktisad dan ketamadunan (civilization).

Perubahan zaman ini menuntut masjid melalui proses transformasi dan penjenamaan semula. Umat Islam perlu mengukur pencapaian institusi-institusi agama secara ilmiah bagi mewujudkan persaingan yang sihat. Dengan mewujudkan indeks, umat Islam boleh menilai prestasi dan keberkesanan institusi-institusi tersebut dalam menjalankan fungsi dan penyampaian perkhidmatan yang menjadi tanggungjawab bersama.

Justeru itu, saya menyarankan pihak JAIS menjalin kerjasama dengan pihak profesional untuk mewujudkan indeks institusi-institusi masjid-masjid di Selangor. Indeks ini perlu merangkumi aspek kegiatan keilmuan, keberkesanan penyampaian ilmu, aspek kebersihan, aspek mesra jemaah dan pengunjung, penggunaan teknologi mesra alam dan visibility dalam media sosial dan sebagainya.

Hari ini, Negeri Selangor meneruskan tradisi menyumbang bantuan moreh kepada semua masjid dan surau di Negeri Selangor.

Sumbangan bantuan moreh kepada setiap masjid berjumlah RM 1,650.00 selain surau solat jumaat berjumlah RM 1,250.00 dan surau berjumlah RM 1,000.00. Jumlah peruntukan besar bagi program ini adalah sebanyak RM 2.7 juta. Semoga bantuan moreh tersebut mampu membantu untuk mengerakkan aktiviti masjid dan surau di sepanjang bulan Ramadhan.

Bagi merancak dan menyemarakkan lagi Ramadhan tahun ini, Kerajaan Negeri juga telah meluluskan peruntukkan berjumlah lebih kurang RM 597,413.36 bagi meneruskan Program Semarak Ramadhan yang akan dilancarkan pada 13 Jun 2015.

Semua usaha murni ini dilaksanakan untuk memastikan Negeri Selangor bukan sahaja maju dalam pembangunan ekonomi tetapi menegaskan juga pembangunan akhlak dan sahsiah.

Kerajaan Negeri amat menghargai peranan dan khidmat imam-imam di Negeri Selangor. Untuk maksud itu, Kerajaan Negeri Selangor telah membuat keputusan untuk meningkatkan bayaran elaun imam masjid kepada RM 900 sebulan mulai 1 Januari 2015. Pembayaran elaun tambahan yang bermula pada 1 Janurari 2015 akan dibayar sebelum Syawal tahun ini.

Akhir kata, saya ingin mengambil peluang ini untuk mengucapkan selamat menyambut Ramadhan al-Mubarak. Semoga Ramadhan tahun ini dapat menggilap kerohanian kita dan meningkatkan semangat juang dan memperkukuhkan ukhuwah di kalangan umat Islam.

Maka dengan lafaz Bismillah Hir Rahman Nir Raheem, marilah kita sama-sama menyempurnakan Majlis Multaqa Pegawai Dan Jawatankuasa Masjid Serta Penyampaian Bantuan Moreh Masjid Dan Surau Negeri Selangor 2015.