Pandangan Pakar Industri Menjayakan Penyediaan RMK 12

Pandangan Pakar Industri Menjayakan Penyediaan RMK 12

SIARAN MEDIA
KEMENTERIAN HAL EHWAL EKONOMI

PANDANGAN PAKAR INDUSTRI MENJAYAKAN PENYEDIAAN RANCANGAN MALAYSIA KEDUA BELAS (RMKe-12)

YB Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Hal Ehwal Ekonomi hari ini telah mempengerusikan sesi libat urus bersama pakar-pakar industri bagi membincangkan dengan mendalam keperluan dan keutamaan yang perlu diberi perhatian dalam penggubalan Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) yang sedang rancak dijalankan. Seramai 21 pakar industri daripada bidang pertanian pintar, aeroangkasa dan ekonomi digital telah mengutarakan input-input untuk diberi perhatian segera oleh pihak Kerajaan dalam usaha meneroka dan menggembleng potensi ekonomi yang besar dalam ketiga-tiga bidang ini.

Sesi libat urus dengan pakar-pakar industri yang merupakan penggerak utama dalam sektor masing-masing amat penting dan jelas menunjukkan komitmen Kerajaan untuk memastikan pandangan semua pihak diambil kira dan perincian menyeluruh dilaksana dalam menentukan hala tuju pembangunan negara bagi tempoh 5 tahun akan datang. Bagi mendepani cabaran era Revolusi Perindustrian 4.0, ketiga-tiga bidang ini mempunyai peranan yang besar dalam menyuntik dinamisme baharu ke arah membina ekonomi berpendapatan tinggi, mencipta peluang pekerjaan yang lebih luas dan menyediakan taraf hidup yang lebih baik bagi setiap rakyat Malaysia.

RMKe-12 yang dijangka akan dibentangkan pada Ogos 2020 di Dewan Rakyat merupakan fasa pertama bagi pelaksanaan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030. Penyediaan RMKe-12 akan berasaskan tiga objektif WKB iaitu pembangunan untuk semua, menangani jurang kekayaan dan pendapatan serta negara bersatu, makmur dan bermaruah.

Hadir sama ialah YB Senator Dr. Radzi Jidin, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, YB Dato’ Sri Mustapa Mohamed, Pengerusi Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU), YBhg. Dato’ Saiful Anuar Lebai Hussen, Ketua Setiausaha Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, pegawai-pegawai kanan Kementerian dan pasukan penggubal RMKe-12.

Article by Azmin Ali

Leave a comment