PAS & PKR capai kata sepakat perhebat kempen PRK

Oleh: NORHAYATI UMOR

BUKIT MERTAJAM, 25 APR: PAS dan PKR mencapai kata sepakat bagi melancarkan kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh.

Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali berkata kata sepakat itu dicapai dalam mesyuarat bersama pimpinan malam tadi.

“Saya mengadakan perjumpaan bersama pimpinan PAS dan PKR, kita mencapai kata sepakat yang sangat baik.

“Dua-dua parti memberikan penjelasan terhadap isu berbangkit sebelum ini,” katanya kepada pemberita, di sini pada penamaan calon PRK Parlimen Permatang Pauh.

Mohamed Azmin yang juga Dato’ Menteri Besar Selangor berkata mesyuarat itu terdiri daripada Timbalan Presiden, Mohamad Sabu ; Timbalan Pesuruhjaya Pulau Pinang, Datuk Salleh Man dan Yang Dipertua PAS Permatang Pauh, Omar Hassan.

Manakala pimpinan PKR terdiri daripada Mohamed Azmin, Calon PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Adun Seberang Jaya, Dr Afif Baharuddin.

“Alhamdulillah berjalan dengan lancar. Mesyuarat berjalan dengan lancar. Kedua-dua pihak gembira.

“Kita akan pastikan kemenangan besar di sini. Jadi pihak media jangan putar belit perkara ini lagi,” katanya.

Beliau turut menafikan permintaan maaf atas isu sebelum ini.

“Tiada permintaan maaf kita berikan penjelasan setiap pihak itu sahaja. Jangan putar belitkan isu ini, kita akan menangkan calon kita,” katanya.

Mohamed Azmin memberitahu mesyuarat itu diadakan sebelum pengumuman calon malam tadi.

“Terima kasih PAS Pusat kerana membuat keputusan yang akan bantu menjalankan kerjasama ini dengan baik,” katanya.

Sumber: http://bm.selangorku.com/72239/azmin-pas-pkr-capai-kata-sepakat-perhebat-kempen-prk/