Pembangunan konsep Bandar Raya Islam di SSP2 – Sinar Harian

SHAH ALAM, 25 Jan (Bernama) — Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Raudhah City Sdn Bhd hari ini bagi membangunkan projek bandar Raudhah di Taman Sains Selangor 2 (SSP2), Cyberjaya dengan nilai pembangunan kasar RM12.3 bilion.

Pengurus Besar PKNS Azlan Md Alifiah berkata projek pembangunan bercampur yang berkonsepkan ‘Bandar Raya Islam’ itu akan dibangunkan di kawasan seluas 533.92 ekar (215.8 hektar).

“PKNS berbesar hati menjalinkan usaha sama bersama syarikat pemaju Raudhah City Sdn Bhd, dalam projek pembangunan bandar Raudhah bercirikan Bandaraya Islam yang pertama di dunia.

“Projek yang dijadualkan bermula pertengahan tahun hadapan ini akan dibangunkan secara berperingkat, dengan memberi fokus kepada empat kluster ekonomi utama iaitu hab pendidikan awal berasaskan kaedah montessori Islam, pendidikan tinggi dan hab pelancongan perubatan, hab kandungan halal multimedia kreatif serta hab kewangan dan komersil,” katanya kepada pemberita selepas majlis pemeteraian itu.

Azlan menandatangani bagi pihak PKNS manakala Raudhah City Sdn Bhd diwakili pengerusi eksekutifnya Datuk Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir. Acara itu disaksikan oleh Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali.

Mengulas lanjut, beliau berkata PKNS menyasarkan lebih 50,000 penduduk dari kumpulan berpendapatan tinggi dan pertengahan bakal mendiami bandar yang turut menerapkan elemen ‘Bandar raya aman dan sayang’ itu.

“Tema itu akan menjadi pemangkin utama kepada pembangunan keseluruhan di SSP2 yang akan memberi kesan nilai ekonomi berganda kepada Selangor dan Malaysia khususnya.

“Selain itu, projek ini juga dijangka mampu memperkukuh lagi tarikan Selangor sebagai destinasi utama pelabur asing dan tempatan,” katanya.

Azlan berkata projek pembangunan itu secara tidak langsung turut memperkukuh jenama PKNS sebagai peneraju pembangunan ekonomi menerusi projek hartanah berdaya saing dan inovatif.

–BERNAMA

http://www.sinarharian.com.my/edisi/selangor-kl/pembangunan-konsep-bandar-raya-islam-di-ssp2-1.353967