Penipuan Pilihan Raya Ancam Keabsahan Kerajaan

Johannesburg, 4 September 2013 – Timbalan Presiden KEADILAN, YB Mohamed Azmin Ali telah menegaskan bahawa penipuan dalam pilihan raya adalah ancaman terhadap keabsahan sesebuah kerajaan. Hal ini ditegaskan beliau dalam ucapan ketika perbincangan di Persidangan Parlimen Komanwel ke 59 yang berlangsung di Afrika Selatan.

Persidangan yang berlangsung selama satu minggu itu telah dihadiri oleh delegasi Parlimen dari pelbagai negara – negara Komanwel termasuk delegasi Parlimen Malaysia yang disertai Azmin.

Dalam ucapan sulung yang bertajuk ‘Perkongsian Sumber Yang Tidak Saksama : Ancaman kepada Urus Tadbir Demokratik’, Azmin menyatakan bahawa aspek ketelusan dalam proses membuat keputusan dan akauntabiliti adalah asas utama tadbir urus yang demokratik. Namun menurut beliau, tadbir urus yang demokratik ini sering diancam oleh ketidak adilan yang berlaku demi kepentingan peribadi dan politik semata – mata.

Sebagai contoh, untuk mempunyai pilihan raya yang bebas dan adil, peraturan pertandingan yang seimbang adalah prasyarat utama. Antara perkara lain, akses kepada media juga adalah amat penting. Tetapi apabila satu pihak memonopoli media dan lain-lain dinafikan haknya maka ini membawa kepada persoalan keadilan dan kesahihan pilihan raya. Bukan sahaja tadbir urus demokrasi yang dipertikaikan malah juga keabsahan kerajaan yang dibentuk”, tegas Azmin.

Azmin juga mengkritik keras amalan kronisme yang membiak hasil daripada kesatuan pemimpin – pemimpin politik yang mempunyai kepentingan perniagaan. Menurut Azmin, jika Eksekutif dilihat untuk bekerjasama dengan kepentingan peribadi yang kuat, masing-masing dengan agenda mereka sendiri maka perkongsian sumber adalah bersifat simetri.

Dalam ucapannya juga, Azmin tegas menyatakan bahawa kemajuan teknologi yang canggih harus dijamin akses yang penuh dan adil demi memastikan kelangsungan pentadbiran yang demokratik. Hanya dengan akses penuh dan adil maka ia dapat dimanfaatkan secara optimum.