Tahun 2020 merupakan tahun yang mencabar akibat pandemik COVID-19 yang telah memberi kesan kepada perdagangan global akibat daripada langkah kawalan pergerakan yang dilaksanakan oleh banyak negara dalam usaha memerangi wabak ini. Akibatnya ia telah menyebabkan kerencatan terhadap rantaian bekalan global dari segi mobiliti barangan dan perkhidmatan serta memberi dampak buruk kepada aktiviti pembuatan.

Walaupun berdepan situasi luar jangkaan ini, prestasi perdagangan luar Malaysia masih memberangsangkan apabila catatan eksport negara kembali pulih pada separuh tahun kedua 2020 berbanding pertumbuhan negatif yang dicatatkan pada separuh tahun pertama. Ini berlaku kerana langkah membuka semula ekonomi yang dilaksanakan secara berperingkat dan jumlah permintaan luar yang kembali meningkat. Eksport pada bulan Disember mencatatkan nilai bulanan tertinggi yang direkodkan pada tahun 2020.

Eksport ke China pada tahun 2020 juga telah merekodkan nilai eksport yang tertinggi setakat ini manakala eksport ke Amerika Syarikat (AS) mencatatkan jumlah eksport terbesar sejak sedekad yang lalu. Kita juga menyaksikan pertumbuhan eksport yang signifikan ke beberapa pasaran baharu seperti Costa Rica, Kazakhstan, Kenya, Nigeria, Ghana dan Cote d’Ivoire. Keluaran getah, barangan elektrik dan elektronik (E&E) serta minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit juga mencatatkan peningkatan eksport yang memberangsangkan.

Sementara itu, Malaysia buat julung kalinya mencatatkan lebihan dagangan (trade surplus) yang tertinggi pernah dicapai setakat ini dan negara masih mengekalkan lebihan dagangan untuk 23 tahun berturut-turut semenjak 1998. Prestasi perdagangan Malaysia adalah selari dengan negara di rantau ini khususnya Indonesia, Singapura, Republik Korea (ROK) dan Thailand.

Nilai perdagangan dengan rakan dagang Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) pada tahun 2020 adalah berjumlah RM1.185 trilion, yang mencatatkan penurunan sebanyak 3.7% tetapi menyumbang sebanyak 66.7% kepada jumlah perdagangan negara.

 Walaubagaimanapun, Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang telah dimeterai baru-baru ini adalah FTA terbesar dunia bakal membuka peluang baru kepada syarikat dan perniagaan Malaysia kepada lebih daripada satu pertiga pasaran dunia. Ini pasti akan menarik pelaburan langsung asing serta dapat memangkin pertumbuhan eksport negara.

Mengorak langkah ke hadapan, kebangkitan semula nilai eksport Malaysia membuktikan peningkatan permintaan luar daripada rakan perdagangan utama kita, akan dapat dikekalkan selari dengan aktiviti ekonomi yang pelbagai dengan industri berteknologi dan bernilai tinggi serta digandakan dengan pendekatan dasar yang holisitik untuk transformasi digital.

Ini adalah faktor-faktor utama yang menyumbang kepada keyakinan pelabur asing dan didokong oleh pengiktirafan Moody’s terhadap Malaysia dengan penarafan A3 dengan kedudukan stabil sebagai penerbit jangka panjang mata wang tempatan dan asing. Penarafan ini jelas membuktikan disiplin fiskal Kerajaan yang kukuh dan prospek pertumbuhan jangka sederhana yang mampan serta memberikan gambaran keyakinan Moody’s terhadap Malaysia yang memiliki kedudukan kredit yang kukuh.

Di saat yang mencabar ini, keutamaan Kerajaan adalah untuk meletakkan halatuju negara kembali kepada usaha pemulihan ekonomi terutamanya dengan pelaksanaan Rancangan Malaysia ke-12, satu pelan tindakan untuk pertumbuhan yang lestari berpaksikan kepada asas-asas ekonomi yang kukuh dan kebijakan yang jitu. Ini akan menyumbang kepada meningkatnya kemampanan prestasi perdagangan negara.

Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali

30 Januari 2021

Siaran Media Prestasi Perdagangan 2020.pdf