Perbahasan Belanjawan 2010 Ahli Parlimen Gombak

Pendahuluan
Bajet 2010 masih bergelut dengan defisit yang ditanggung oleh Kerajaan lebih satu dekad yang lalu. Bajet ini menjurus ke arah memelihara segelintir orang kaya dan meminggirkan rakyat terbanyak. Ini menunjukkan bahawa Kerajaan Pusat amat lemah dalam pengurusan ekonomi.
Walaupun ada sedikit imbuhan untuk rakyat, namun rakyat terbanyak terus melihat khazanah negara dipunggah oleh pimpinan UMNO. Orang kaya mendapat layanan kelas pertama manakala rakyat dan penjawat awam menggigit jari.
Laporan Ketua Audit Negara yang memaparkan kelemahan pengurusan kewangan kebanyakan Kementerian telah dikecam dan disanggah dengan cemuhan oleh pimpinan UMNO terhadap Ketua Audit Negara. Pegawai – pegawai kerajaan dipersalahkan untuk menutup amalan rasuah dan salah guna kuasa pimpinan UMNO. Saya menyeru kepada Ketua Audit Negara dan pegawai-pegawai kerajaan untuk meneruskan khidmat yang cemerlang. Jangan tunduk kepada ugutan dan tekanan dari pimpinan UMNO.
Saya mengakui ada penguncupan belanja mengurus ( operating expenditures ) sebanyak 10.3% berbanding 2009 manakala perbelanjaan pembangunan meningkat sebanyak 5.3%. Tetapi yang menjadi persoalan apakah dapat dilaksanakan jika diambil kira teguran yang dibuat oleh Ketua Audit Negara.

Pengurusan Bajet Defisit
Dalam suasana ekonomi dunia yang tidak menentu, tambahan pula ekonomi kecil seperti Malaysia yang bergantung kepada eksport, kita perlu mengurus bajet defisit dengan bijaksana. Perbelanjaan yang diperuntukkan untuk tahun 2010 adalah RM 191.5 bilion sedangkan pendapatan dianggarkan hanyalah RM 148.4 bilion. Defisit tahun 2010 mencatatkan sebanyak RM 43.1 bilion ataupun 5.6% daripada KDNK. Kerajaan gagal untuk kembali kepada zaman kegemilangan pengurusan kewangan pra 1998 di mana negara kita mencapai bajet lebihan atau berimbang.
Antara langkah mengurus bajet defisit adalah mengurangkan perbelanjaan dan meningkatkan hasil pendapatan Kerajaan melalui cukai. Namun, dalam suasana ekonomi yang malap, kita tidak boleh mengambil langkah di atas secara drastik. Saya bersetuju dengan cadangan Permatang Pauh supaya Kerajaan memulakan pendekatan sistem percukaian yang progresif dengan mengelakkan bebanan cukai yang tinggi ke atas rakyat yang miskin dan berpendapatan rendah.
Saya juga ingin mengajak Kerajaan supaya melihat semula sistem percukaian yang masih banyak kelemahan dan mempunyai unsur-unsur salah guna kuasa. Undang-undang percukaian yang melibatkan taksiran dan kutipan perlu ketelusan dan prinsip pertanggungjawaban.

Kuasa mutlak yang diberikan kepada Menteri Kewangan di bawah Sek. 129 Akta Cukai Pendapatan 1969 untuk memberi pengecualian dan menghapuskan sama sekali cukai yang sudah ditaksir dan sepatutnya dikutip dari pembayar cukai perlu diteliti semula. Mengikut keterangan dalam Dewan yang mulia ini pada tahun lalu, negara kita kehilangan hasil sejumlah RM 3 bilion apabila cukai langsung dan cukai tidak langsung dihapus kira oleh Menteri Kewangan. Saya berharap agar kuasa ini diteliti semula supaya kutipan hasil cukai ini dapat dipungut demi kesejahteraan rakyat.
Perbelanjaan mengurus mula membengkak pada tahun 2007. Seharusnya, perbelanjaan mengurus dibiayai dari sumber pendapatan yang bukan dari hasil petroleum dan gas. Maknanya, pembiayaan dijana oleh aktiviti ekonomi yang lain. Dengan cara ini, sumber pendapatan dari kutipan hasil petroleum dan gas dapat digunakan untuk membiayai perbelanjaan pembangunan. Namun, apa yang berlaku pada masa kini apabila perbelanjaan mengurus melebihi hasil pendapatan dari bukan hasil petroleum dan gas, sehingga mendesak kerajaan untuk menggunakan pendapatan dari hasil petroleum dan gas untuk membiayai pembelanjaan mengurus. Ini menyebabkan berlakunya structural deficit. Ekonomi negara tidak dapat menyokong defisit ini kerana kebergantungan kepada pendapatan dari hasil petroleum dan gas.
Pengurangan perbelanjaan bukan bermakna tidak berbelanja langsung tetapi penjimatan wang negara melalui perbelanjaan secara berhemah dan amanah.

Maka, Kerajaan jangan memperlekehkan pandangan Ketua Audit Negara berhubung isu ketirisan yang sangat serius.
YB Menteri Kewangan Kedua telah membuat kenyataan media bertarikh 26 Oktober 2009 bahawa Kerajaan mengalami kerugian berbilion ringgit akibat ketirisan kerana terlibat dalam pembelian dan perolehan pada harga melampau dan tidak menepati spesifikasi dan piawaian. The STAR pada 26 Oktober 2009 juga melaporkan ketirisan ini mengakibatkan Kerajaan mengalami kerugian antara RM 14 – 28 bilion dalam jangka masa satu tahun.
Pengauditan yang dijalankan oleh Jabatan Audit Negara adalah berdasarkan pensampelan dan skop yang tertentu sahaja. Inipun sudah cukup untuk mendedahkan angka ketirisan yang amat serius dan rakyat menuntut keadilan supaya mereka yang bertanggungjawab diambil tindakan yang sewajarnya.

Laporan Ketua Audit Negara
Laporan Ketua Audit Negara membuktikan bahawa pimpinan UMNO sewenang – wenangnya berbelanja wang rakyat. Pelaburan dalam Pempena mengalami kerugian sebanyak RM 41.9 juta. ( rujuk Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2008 ; Pengurusan Kewangan Dan Aktiviti Badan Berkanun Persekutuan muka surat 206 ). Malangnya, Bajet 2010 terus memperuntukkan kepada Kementerian Pelancongan sejumlah RM 899 juta tanpa butiran yang jelas. Saya tidak mempersoalkan kepentingan industri ini dalam membawa aliran tunai masuk ke dalam Negara disamping membantu menghidupkan industri – industri sampingan. Namun apakah jaminan tidak akan berlaku ketirisan dan kerugian. Bagaimana Kerajaan boleh membantu industri pelancongan dengan menonjolkan pemain-pemain di kalangan rakyat Malaysia. Apakah rasionalnya Kerajaan melantik Jean Todt sebagai Duta Malaysia dengan imbuhan yang mencecah jutaan ringgit.
Laporan Ketua Audit Negara juga menunjukkan berlaku ketirisan melampau dalam Kolej Kemahiran Tinggi Mara Balik Pulau, Pulau Pinang. Dua unit komputer riba dibeli pada harga RM 84,640 ! Kolej tersebut juga membeli 450 komputer pada harga RM 3.45 juta ( RM 7,600 sebuah ), 19’ monitor pada harga RM 8,500 dan 17’ monitor berharga RM 7,500.
Laporan Audit tersebut juga menyatakan anggaran kerugian kerajaan terhadap projek pembinaan rel keretapi berkembar dari Ipoh ke Rawang berjumlah RM 1.14 bilion akibat ketidak cekapan pengurusan.
Kerajaan berjanji untuk mempertingkatkan prasana luar bandar dengan peruntukan berjumlah RM 2.3 bilion. Namun, laporan Ketua Audit Negara mendedahkan projek Jalan Sapulut – Kalabakan yang sepatutnya menghubungkan Sapulut, Keningau dan Kalabakan dengan jalan bertar hanya dapat disiapkan dengan jalan berbatu walaupun peruntukan telah diberikan sebanyak RM 565 juta. Kita khuatir peruntukan besar dalam Bajet 2010 untuk prasana luar bandar ini tidak akan mencapai objektif akibat ketidak cekapan dan ketirisan yang melampau.

Prestasi Negeri – Negeri Pakatan Rakyat
Pada 27 Oktober 2009, media melaporkan kenyataan Timbalan Perdana Menteri yang melahirkan kebimbangan pembangunan semakin merosot di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri – Negeri Pakatan Rakyat. Laporan Ketua Audit Negara untuk Negeri Selangor yang memberikan taraf purata 4 bintang kepada pengurusan kewangan kerajaan Negeri Selangor mampu menjawab sindiran Timbalan Perdana Menteri. Ketua Audit Negara juga mengesahkan peningkatan dalam kedudukan kewangan kerajaan negeri, kumpulan wang disatukan kerajaan negeri dan juga hasil kerajaan negeri meningkat berbanding tahun 2007.

Negeri Selangor juga mencatatkan hasil pelaburan jangka pendek meningkat sebanyak 60.6% ( 2008 : RM 19.14 juta berbanding 2007 : RM 11.92 juta ). Ketua Audit Negara mengakui kesan lonjakan ini adalah ekoran penubuhan Jawatankuasa Pengurusan Tunai Kerajaan Negeri Selangor pada bulan Mei 2008 yang menguruskan lebihan wang tunai untuk dilaburkan dalam simpanan tetap dan deposit pasaran jangka pendek dengan lebih efektif dan efisien.
Laporan Ketua Audit Negara juga menyatakan hasil Kerajaan Negeri Selangor meningkat sebanyak RM 231 juta ( 2008 : RM 1.516 bilion, 2007 : RM 1.258 bilion ).

Real Property Gain Tax
Kerajaan mencadangkan cukai sebanyak 5% dikenakan ke atas keuntungan daripada pelupusan hartanah ataupun ( RPGT ) mulai 1 Januari 2010. Cadangan ini perlu diteliti semula kerana tindakan ini boleh dilihat sebagai usaha yang tergesa-gesa dan tidak terancang oleh Kerajaan setelah RPGT dihapuskan sama sekali pada tahun 2007. Ekonomi kita hari ini terlalu fragile. Sebarang tindakan yang terburu-buru akan melesukan daya tarikan industri pembinaan dan hartanah serta menggagalkan dasar Kerajaan untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi Rumah Kedua Ku ( My Second Home ) untuk pelabur-pelabur. Spekulator hartanah telah mula berpusu-pusu untuk menjual hartanah mereka sebelum 1 Januari 2010.

Sistem percukaian RPGT ini adalah antara langkah untuk mencegah unsur – unsur spekulasi dan juga dapat menjana hasil bagi tujuan pembangunan. Cadangan Kerajaan adalah tidak saksama kerana Kerajaan bukan sahaja mengenakan cukai terhadap spekulator tetapi juga dikenakan terhadap pelabur tulin dan pembeli hartanah yang sudahpun memiliki hartanah ini dalam jangkamasa yang panjang.

Sebagai contoh, orang-orang di kampong memiliki tanah pusaka selama puluhan tahun sebagai pelaburan untuk keluarga. Hari ini sekiranya orang-orang kampong ini melupuskan milikan tanah mereka dan melabur dalam LUTH bagi menunaikan ibadat Haji, mereka akan dikenakan cukai RPGT sebanyak 5 %. Ini amat membebankan rakyat biasa. Orang-orang kampong ini akan hanya memperolehi wang hasil jualan tanah mereka apabila pihak guaman telah melunaskan semua pembayaran termasuk 5 % RPGT kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri ( LHDN ). Ini akan memakan masa yang lama dan sejumlah wang yang besar yang disimpan dalam akaun guaman ini juga akan terdedah kepada manipulasi seperti tragedi kehilangan wang Koperasi Peneroka Pekebun Kecil Getah di Pulau Pinang. Oleh itu, Kerajaan seharusnya membedakan pemilik hartanah jangka panjang dan tulin dengan spekulator yang cuba meraih keuntungan yang besar dalam jangkamasa yang singkat.
Maka, saya ingin mencadangkan supaya Kerajaan mengenakan cukai RPGT berdasarkan tempoh milikan hartanah tersebut. Sebagai contoh, sekiranya seseorang itu memiliki hartanah dalam jangkamasa yang pendek, katakan 0 – 5 tahun, Kerajaan boleh kenakan RPGT sebanyak 5 %. Tetapi bagi pemilik hartanah yang tulin dan menyimpan hartanah lebih dari 5 tahun, pemilik ini sepatutnya dikecualikan dari RPGT.

Cadangan ini berbeda dengan sistem percukaian RPGT pra 2007 di mana pemilik hartanah yang memiliki hartanah di antara 0 hingga 5 tahun, Kerajaan mengenakan RPGT sebanyak 30 % dan selepas 5 tahun tidak dikenakan apa – apa RPGT. Kadar yang terlalu tinggi ini tidak boleh digunapakai untuk masa ini kerana ianya akan melumpuhkan industri hartanah dalam keadaan ekonomi dunia yang belum pulih.

Saya juga ingin mencadangkan supaya RPGT ini akan hanya dikenakan terhadap transaksi pelupusan hartanah yang baru dibina selepas 1 Januari 2010.

Duti Setem
Saya juga ingin mencadangkan kepada Kerajaan untuk menurunkan duti setem yang dikenakan terhadap pembeli-pembeli hartanah. Kadar yang dikenakan hari ini adalah mengikut harga hartanah seperti berikut : RM 100,000.00 yang pertama dikenakan 1 % ; hartanah yang bernilai RM 100,000.00 sehingga RM 500,000.00 dikenakan 2 % dan hartanah yang bernilai RM 500,000.00 ke atas dikenakan 3 %.

Harga hartanah di pasaran hari ini semakin mahal. Rumah teres kos sederhana yang dulunya bernilai kurang RM 100,000.00 kini sudah mencecah kepada RM 250,000.00. Rakyat yang berpendapatan sederhana terpaksa membayar duti setem yang tinggi bagi membeli rumah kos sederhana. Saya ingin mencadangkan supaya bagi hartanah yang bernilai di bawah paras RM 250,000.00 kadar duti setem diturunkan kepada 1 % sahaja. Kadar yang lebih rendah akan membantu meringankan bebanan rakyat terbanyak khususnya penjawat awam termasuk pegawai-pegawai kerajaan yang ingin memiliki rumah kos sederhana untuk keluarga mereka.

Tag line Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan menuntut Kerajaan untuk meneliti cadangan ini dan sewajarnya dipertimbangkan demi kesejahteraan rakyat terbanyak.

First Time Home Buyer
Dalam sidang Dewan yang lalu, saya ada mencadangkan kepada Kerajaan untuk memperkenalkan program First Time Home Buyer. Saya ingin mencadangkan supaya Kerajaan memperkenalkan dasar pendemokrasian pemilikan rumah di Malaysia. Dasar ini akan menjadikan rakyat di negara ini warganegara yang bertanggungjawab dan memperkasa semangat patriotisma kepada Negara. Dasar ini akan memberi manfaat besar untuk graduan-graduan muda yang baru mendirikan rumahtangga, menamatkan pengajian dan juga kali pertama ingin memiliki rumah dengan insentif-insentif yang menarik seperti kadar duti setem yang rendah, kadar faedah khas untuk pinjaman perumahan di bank dan juga elemen kadar faedah pinjaman perumahan diberikan pengecualian cukai dan potongan harga yang berpatutan. Sebagai contoh, Kerajaan Australia memberikan AUD 20,000.00 kepada setiap First Time Home Buyer. Usaha yang proaktif ini akan menjana pertumbuhan ekonomi negara khususnya dalam industri pembinaan dan hartanah.

High Speed Broadband
Kerajaan akan mempercepatkan pelaksanaan High Speed Broadband dalam usaha untuk memantapkan industri ICT. Pelaksanaan ini menelan kos RM 11.3 bilion ( RM 2.4 bilion dari Kerajaan dan RM 8.9 bilion dari Telekom Malaysia ). Kerajaan telah melabur berbilion ringgit untuk meningkatkan infrastruktur ‘back-end’ dalam industri ICT termasuk pembinaan back-end fibre landing station dan Telekom exchanges.

Kemudahan-kemudahan ini menelan kos yang tinggi tetapi gagal ‘connect’ kepada pengguna justeru kelemahan infrastruktur ‘last mile’ yang dimonopoli oleh Telekom Malaysia. Industri ICT yang tidak terbuka untuk persaingan yang sihat akan menjejaskan sistem penyampaian, tahap kecekapan dan menyumbang kepada kos perkhidmatan yang tinggi. Kerajaan tidak akan dapat mencapai matlamat memantapkan industri ICT selagi industri ini dimonopoli oleh Telekom Malaysia. Service provider yang lain sering menghadapi kebuntuan untuk unbundling the local loop. Telekom Malaysia diberikan hak monopoli infrastruktur last mile untuk masuk ke dalam premis pengguna. Sistem penyampaian dan perkhidmatan Telekom tidak kompetitif kerana lagak monopoli.

Di United Kingdom, BT bertanggungjawab untuk lease the local loop kepada pemain-pemain yang lain dengan regulated fees. Dengan cara ini, rakyat diberikan hak untuk memilih service provider yang terbaik untuk mendapatkan perkhidmatan jalur lebar.

Selain itu, saya mencadangkan agar back end fibre landing station seperti di Mersing, Cherating, Rengit dan Kuala Muda yang kini dikuasai oleh Telekom Malaysia dibuka kepada syarikat – syarikat service provider lain. Infrastruktur back-end yang dimonopoli oleh Telekom Malaysia menyebabkan harga yang perlu dibayar lebih tinggi kerana tiada persaingan. Cadangan saya ialah untuk membolehkan service provider yang lain mempunyai akses kepada International Gateway yang membekalkan bandwidth pada harga yang lebih kompetitif tanpa melalui infrastruktur Telekom Malaysia. Usaha ini akan memberi pulangan kepada rakyat melalui perkhidmatan internet yang lebih murah, laju dan efisien.
Lihat sahaja perkhidmatan telefon bimbit. Apabila perkhidmatan ini dibuka kepada pemain-pemain yang lain, perkhidmatan yang diberikan kepada pengguna semakin baik, murah dan kompetitif dan boleh dinikmati oleh hampir keseluruhan rakyat Malaysia.

Masalah lain yang mendepani industri ICT di Malaysia ialah pertindihan pembinaan infrastruktur yang menyumbang kepada lonjakan kos yang terpaksa ditanggung oleh pengguna.

Suruhanjaya Komunikasai dan Multimedia Malaysia ( MCMC – Malaysian Communication & Multimedia Commission ) perlu melihat semula peranan utama industri ICT iaitu untuk berorientasikan perkhidmatan atau service oriented dan bukan berorientasikan pembangunan infrastruktur.

Saya menggesa supaya MCMC diberikan peranan yang lebih efektif dalam melaksanakan standard dan piawaian yang lebih tinggi termasuk kualiti perkhidmatan service providers, equal access to infrastructure and regulated pricing.
Kadar penembusan jalur lebar masih rendah iaitu 25 % – jauh lebih rendah berbanding dengan negara-negara maju. Saya ingin mencadangkan supaya perkhidmatan internet di kediaman dijadikan keperluan asas seperti bekalan air bersih dan elektrik untuk setiap rakyat di Malaysia dengan kos perkhidmatan yang murah. Maklumat adalah cukup berharga bagi rakyat Malaysia. Rakyat yang berilmu dan celik IT akan meningkatkan produktiviti negara dan menjadikan negara kita lebih maju dan sejahtera. Untuk maksud itu, saya ingin mencadangkan supaya sejumlah dana disalurkan bukan sahaja kepada Telekom Malaysia tetapi juga Kerajaan perlu menyediakan insentif-insentif baru yang berinovasi untuk semua service providers bagi mencapai hasrat murni mendemokrasikan perkhidmatan internet jalur lebar ke setiap kediaman di Malaysia.

Cadangan saya ini lebih tertumpu kepada usaha untuk memberikan kemudahan kepada anak-anak dari keluarga miskin untuk menimba ilmu dan mendapatkan maklumat dari internet sama seperti anak-anak yang lain dengan kos yang murah.
Laporan Bank Dunia menyebut Kerajaan Australia memperuntukkan USD 3.4 bilion dari sumber kerajaan ( dana lain melalui private investor, jumlah dana USD 30 bilion) untuk menyediakan perkhidmatan jalur lebar dengan kelajuan 100 megabit sesaat yang akan memberi faedah kepada 90 % rumah kediaman, sekolah dan premis perniagaan di Australia. Masa kini kelajuan yang dinikmati oleh kebanyakan rakyat Malaysia hanya 1 megabit sesaat dengan kos RM 88 sebulan dan Kerajaan akan meningkatkan kepada 10 megabit sesaat dalam tempoh 3 tahun dan hanya di kawasan yang terpilih yang menelan belanja RM 11.3 bilion.

Pertimbangan rakyat hari ini bukanlah pelepasan cukai ke atas yuran langganan jalur lebar sehingga RM 500 setahun atau syarat kelonggaran yang diberikan setiap 3 tahun untuk mendapat pinjaman Kerajaan untuk membeli komputer tetapi persoalan utamanya ialah kelajuan dan juga kadar penembusan jalur lebar ( coverage ) dengan kos perkhidmatan yang murah.

The International Telecommunication Union (ITU) melaporkan indeks dari segi infrastruktur, kemampuan, pengetahuan, kualiti tahap penggunaan ICT bagi Malaysia berada pada kedudukan 52 daripada 154 negara. Malaysia agak ketinggalan berbanding Korea, Japan, Australia, Hong Kong, Singapura dan Brunei dari segi pembangunan ICT.
Kajian yang dilakukan oleh Oxford University pula mendapati ranking Malaysia dari segi kualiti internet jalur lebar berada pada tangga 48 daripada jumlah keseluruhan 66 negara. Laporan tersebut mengklasifikasikan tahap kelajuan internet yang dinikmati oleh rakyat Malaysia kini ketinggalan ke belakang dan tidak berada pada tahap semasa ( ‘below today’s applications threshold’ ). Sedangkan, negara – negara seperti Singapura, Britain, Australia, Spain, Turkey dan Ukraine memenuhi standard masa kini ( ‘meeting needs of today’s application ). Negara – negara seperti Switzerland, US, Russia, Taiwan dan Hong Kong berada pada tahap yang sangat memuaskan ( ‘comfortably enjoy today’s applications’ ). Namun, tambah menarik apabila negara – negara seperti Korea, Japan, Sweden, Lithuania, Bulgaria, Latvia, Netherlands, Denmark dan Romania diklasifikasikan sebagai Negara yang sudah mencapai tahap kelajuan internet masa depan ( ‘ready for tomorrow’ ). Laporan itu turut menyentuh tahap kelajuan pada masa kini ( tahun 2008 semasa kajian tersebut dijalankan ) berada pada 3.75 megabit sesaat.

Kajian yang dilakukan oleh Telegraph UK, pula meletakkan Malaysia pada tangga 35 daripada 40 buah Negara berhubung harga broadband per megabit. Harga ini dibayar kepada syarikat – syarikat internet antarabangsa untuk mendapatkan maklumat – maklumat global. Harga yang dibayar oleh Malaysia jauh lebih tinggi daripada kebanyakan Negara – Negara lain.

Berdasarkan pada kajian tersebut, saya berpendapat kerajaan tidak akan dapat mencapai matlamat pemantapan industri ICT. Apakah peranan Kerajaan untuk drive the industry ke arah lebih efisien dan memberi manfaat kepada rakyat Malaysia.

Tragedi Tanah Runtuh Di Bukit Antarabangsa
Pada 10 Disember 2008 yang lalu, Dewan ini telah membenarkan saya membawa Usul Menangguhkan Mesyuarat di Bawah Peraturan Mesyuarat 18 ( 1 ) untuk membahaskan tragedi tanah runtuh di Bukit Antarabangsa yang mengorbankan 5 nyawa, memusnahkan 14 rumah kediaman dan merosakkan harta benda awam serta kesusahan dan kepayahan yang ditanggung oleh 5,000 penduduk yang terperangkap di puncak Bukit Antarabangsa.

Perbahasan usul ini juga menyaksikan rentetan kejadian tanah runtuh seperti tragedi kondominium Highland Towers yang meragut 48 nyawa ( Disember 1993 ), tanah dan bongkah batuan runtuh di Bukit Antarabangsa ( Oktober 2000 ), kejadian tanah runtuh di Taman Hillview, Hulu Kelang yang memusnahkan rumah banglo dan mengorbankan 8 nyawa ( November 2002 ), kejadian cerun tanah runtuh yang meragut 4 nyawa dan 160 penduduk hilang tempat tinggal di Kampong Pasir, Hulu Kelang ( Mei 2006 ) dan kejadian tanah runtuh dan banjir lumpur yang merosakkan rumah kediaman dan harta benda di Bukit Mas, Taman Melawati ( September 2007 ).

Saya telah mencadangkan beberapa langkah yang tegas untuk mengurus dan membangunkan kawasan tanah tinggi termasuk cerun dan lereng bukit demi menjamin keselamatan dan kesejahteraan pemilik hartanah dan juga penduduk di sekitar kawasan yang berkenaan.

Jawapan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan ( Dato’ Seri Ong Ka Chuan ) ialah Kerajaan akan menubuhkan satu Jawatankuasa Kumpulan Tanah Runtuh yang dianggotai oleh Jabatan Kerja Raya, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Jabatan Mineral dan Geosains, Jabatan Parit dan Saliran, Malaysian Centre for Remote Sensing, Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia, Jabatan Meteorologi, IKRAM dan juga pakar-pakar geologi dari swasta dan universiti. Kerajaan berjanji Jawatankuasa ini akan membuat laporan dan rumusan selewat-lewatnya 3 bulan. Kerajaan juga telah mengarahkan Kementerian Kerja Raya menjalankan Kajian Pelan Induk Cerun Negara pada tahun 2004 dengan kos RM 5.8 juta dan dijangka siap pada awal tahun 2009.

YB Menteri Kerja Raya juga telah mengumumkan bahawa Kementerian Kerja Raya bersama IKRAM akan menjalankan kajian secara menyeluruh mengenai struktur tanah dan keselamatan di Bukit Antarabangsa dalam tempoh 6 bulan dan akan mengumumkan hasil kajian kepada umum. Malangnya, sudah hampir setahun, laporan tersebut masih belum dikeluarkan.
Saya pernah mengingatkan perkara yang sama kepada YB Timbalan Menteri Kerja Raya pada 16 Mac 2009 berhubung janji Kerajaan untuk mengemukakan satu pelan tindakan yang komprehensif. YB Timbalan Menteri gagal memberikan jawapan yang munasabah dan hanya merujuk kepada YB Menteri dan turut berjanji akan mengumumkan hasil laporan berkenaan.
Hari ini saya ingin mendapat penjelasan daripada Kerajaan berhubung status laporan dan kajian yang dijalankan oleh Kementerian Kerja Raya dan IKRAM. Hasil kajian ini amat penting bagi pemilik-pemilik hartanah dan penduduk-penduduk di Bukit Antarabangsa demi keselamatan mereka dan juga masa depan hartanah mereka yang kini sudah merosot nilai hartanah ekoran ketidak tentuan keselamatan tanah di kawasan Bukit Antarabangsa.
Saya juga ingin mengetahui apakah hasil Kajian Pelan Induk Cerun Negara yang menelan kos RM 5.8 juta dan dijanjikan siap pada awal tahun 2009.

Saya juga ingin mengetahui secara jelas apakah Kerajaan sudah mempunyai Peta Risiko Tanah di kawasan Bukit Antarabangsa yang pernah dibangkitkan oleh Ahli Yang Berhormat Bandar Tun Razak.

Kesihatan
Hasrat kerajaan menambah kemudahan kesihatan awam disambut baik dengan peruntukan sebanyak RM 14.8 billion. Namun, hasrat kerajaan seperti dilaporkan oleh media massa pada 26 September 2009 untuk melaksanakan ‘compulsory vaccination programme’ bagi kesemua perempuan yang berumur 13 tahun sebagai langkah untuk mencegah ‘cervical canser’ yang menelan belanja RM 150 juta setahun mengundang persoalan dari sudut keutamaan.

Apakah mesej yang cuba disampaikan oleh Kerajaan ? Apakah keutamaan Kerajaan tidak lagi memberi tumpuan menambahbaik kemudahan hospital-hospital luar bandar termasuk Sabah dan Sarawak. Contoh, masalah kemudahan kesihatan di Hospital Sandakan yang dibangkitkan oleh Ahli Yang Berhormat Kinabatangan.

Dari sudut kewangan pula, dianggarkan jumlah pelajar perempuan Tingkatan 1 sekitar 300,000 orang. Dengan peruntukan sebanyak RM 150 juta, ini bermakna kos vaccine untuk setiap pelajar perempuan adalah berjumlah RM 500. Vaccine tersebut boleh didapati di pasaran terbuka dengan harga RM 435 untuk 3 dos dan fee pentadbiran di klinik sebanyak RM 5 setiap lawatan. Maka, saya ingin tahu apakah asas program HPV vaccine ini menelan peruntukan sebanyak RM 150 juta. Apakah Kementerian menawarkan tender terbuka untuk mendapatkan bidaan yang terbaik ? Apakah Kementerian bersedia untuk memaparkan kepada umum perincian tersebut ?

1Malaysia
Gagasan 1Malaysia dengan tag line Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan adalah retorik politik yang menanti masa untuk memakan tuan. Editor upahan dikerah untuk menjenamakan pelbagai produk 1Malaysia : Kad Diskaun Pelajar 1Malaysia, Salam 1Malaysia, Perkhemahan 1Malaysia, Amanah Saham 1Malaysia, Sukuk 1Malaysia, Skim Persaraan 1Malaysia, Klinik 1Malaysia, penubuhan syarikat 1Malaysia Development Berhad, Cuti-Cuti 1 Malaysia dan Jambatan 1Malaysia di Kampar.

Jambatan sudah roboh. Nyawa sudah melayang.
Namun, yang menjadi bualan hangat adalah implementasi dan pencapaiannya. Kita khuatir ia hanya menjadi retorik politik usang seperti Islam Hadhari, Cemerlang, Gemilang & Terbilang dan lain – lain. Pakatan Rakyat telahpun mendahului dan memimpin dan melaksanakan program-program kebajikan rakyat melalui dasar Merakyatkan Ekonomi Selangor. Melalui program tersebut, Kerajaan Negeri Selangor menganugerahkan bekalan air percuma bagi 20m3 yang pertama, Skim Mesra Usia Emas, Tabung Warisan Anak Selangor, Hadiah Anak Masuk Universiti, menaikkan elaun guru – guru KAFA, Pusat Khidmat Krisis Sehenti / One Stop Crisis Centre ( OSCC ), Tabung Pendidikan Anak – Anak Pekerja Ladang.

Kerajaan Negeri Selangor terpaksa menanggung RM 150 juta untuk program pemberian bekalan air percuma untuk seluruh rakyat Selangor.

Program Tabung Warisan Anak Selangor telah memberi manfaat kepada 12,022 pemohon dengan kos RM 8.5 juta. Hadiah Anak Masuk Universiti, seramai 7,399 pemohon layak menerima hadiah dan sebanyak RM 7.3 juta telah disalurkan. Tabung Pendidikan Anak – Anak Pekerja Ladang untuk semua kaum, setakat ini sebanyak RM 720,000 telah dibelanjakan untuk 120 orang. Sejumlah RM 14.7 juta telah dibelanjakan untuk program Mesra Usia Emas. Khidmat Krisis Sehenti / One Stop Crisis Centre ( OSCC ) pula menelan belanja sebanyak RM 450,000.
Kita juga sudah lama mengiktiraf 16 September sebagai Hari Malaysia dan Kerajaan Negeri Selangor sudahpun menganjurkan perayaan rasmi menyambut Hari Malaysia baru – baru ini.
Gagasan 1Malaysia menekankan aspek utama perpaduan dengan mengamalkan prinsip – prinsip kenegaraan yang berasaskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara. Namun, UMNO mengkhianati semangat perlembagaan dan demokrasi dengan tidak menghormati suara dan pilihan rakyat yang telah memilih Pakatan Rakyat untuk mentadbir Negeri Perak. Perampasan kuasa politik secara haram tidak menepati semangat 1Malaysia ; rakyat didahulukan. Ini secara terang – terangan membelakangkan pilihan rakyat, bukannya mendahulukan rakyat.
Kerajaan pimpinan UMNO dan Barisan Nasional juga tidak menghormati hak rakyat dengan tidak memberikan royalti kepada rakyat Terengganu selain juga tidak memberi royalti yang setimpal kepada Sabah dan Sarawak.

Pejabat YB Azmin Ali

Comments: 24

Comments are closed.