Perjalanan Menyambut Panggilan Allah Untuk Melakukan Haji

Masjid Nabawi
Klik sini untuk koleksi gambar di tanah suci

Alhamdulillah, kami selamat kembali ke tanah air pada 7 Disember 2009 setelah berada di tanah haram selama 17 hari. Pengalaman pertama menunaikan ibadah Haji memang mencabar. Sememangnya ibadah Haji menuntut kesabaran dan pengorbanan. Pengalaman Haji yang sulung ini mendidik saya untuk menegakkan keadilan dan persamaan serta menolak perkauman. Mengingatkan saya kepada catatan Malcolm X !

Walaupun saya berkesempatan untuk melakukan Umrah 3 atau 4 kali sebelum ini khususnya di bulan Ramadhan, namun pengalaman Haji mempunyai kelainannya. Saya dan isteri bersyukur kerana dapat melakukan manasik Haji iaitu mengikut cara Baginda Rasulullah SAW sedaya upaya kami.

Kehadiran kami di kota Mekah untuk menyambut panggilan Allah bermula dengan tawaf umrah pada 20 November 2009. Tawaf mengelilingi Kaabah adalah satu gerakan ketaatan dan kepatuhan kepada Allah SWT. Hari-hari yang berikutnya menjelang hari Wuquf tertumpu kepada amalan dan ibadat dalam Masjidil Haram.

Sehari sebelum Wuquf iaitu pada 8 Zulhijjah 1430 H, hujan lebat membasahi bumi Mekah dan membanjiri kota Jeddah dan juga Arafah. Media melaporkan lebih 100 orang terkorban dalam banjir di Jeddah walaupun ada maklumat jumlah kematian mencecah angka 1,000 orang. Saya sedang menunaikan Solat Zohor ( sekitar jam 12.10 tengahari ) di depan Multazam apabila hujan lebat turun selama lebih kurang 30 minit. Jamaah yang solat di dataran sekeliling Kaabah sujud di atas dataran yang dibasahi oleh hujan rahmat dari Allah SWT. Inilah pengalaman paling manis dalam hidup saya.

Hujan lebat menembusi khemah-khemah yang sedia terpasang di padang Arafah menyebabkan tilam-tilam dan bumi Arafah basah. Ada juga khemah yang ditenggelami air. Kami tiba di Arafah pada 8 Zulhijjah ( Hari Tarwiyah )dengan berihram dan bermalam di dalam khemah Maktab 84. Setiap maktab ditempatkan 2,500 orang jamaah Haji. Malamnya, saya mengalami kesukaran untuk tidur kerana terdapat jamaah yang berdengkur kuat; mungkin kerana keletihan ! Kemudahan bilik air agak sederhana dan terpaksa beratur panjang menunggu giliran masing-masing.

Keesokan harinya, 9 Zulhijjah ( Hari Arafah ), lebih 3 juta umat Islam yang sudah berada di Padang Arafah bersedia untuk Wuquf yang bermula dari tergelincir matahari ( Zohor ) sehinggalah terbenam matahari ( Maghrib ). Wuquf membawa maksud berhenti iaitu berada di bumi Arafah. Sebaik sahaja masuk waktu Zohor, jamaah mendengar Khutbah Arafah di maktab masing-masing dan disusuli dengan Solat Zohor dan Asar secara jamak taqdim dan qasar. Kemudiannya, para jamaah khusyu’ dengan amalan munajat kepada Allah SWT termasuk berzikir, bertaubat, berdoa, bertalbiyah, bersalawat ke atas Baginda Rasulullah SAW dan disulami dengan solat-solat sunat. Adalah disunatkan untuk keluar dari khemah dan mengadap Kiblat dan Jabal Rahmah untuk berdoa sejurus sebelum terbenam matahari.

Setelah terbenam matahari dan selesai Solat Maghrib dan Isya’, kami dan para jamaah yang lain mula berpusu-pusu bergerak ke Muzdalifah untuk mabit dan mengutip 7 biji batu sebesar kacang kuda bagi melontar Jumrah Al Aqabah. Mabit di Muzdalifah cukup sekadar berhenti dan melalui kawasan Muzdalifah selepas tengah malam dan sebelum Subuh. Rombongan kami kemudiannya terus bergerak masuk ke Mekah untuk menyempurnakan tawaf Haji dan Sa’ie. Saya dan isteri selesai sebaik sahaja masuk waktu Subuh. Selepas Subuh, saya dibawa oleh Ustaz Dasuki untuk melakukan tahallul. Saya bercukur sehingga bersih rambut atau botak buat kali pertama dalam hidup saya. Mencukurkan rambut kepala dengan bersih atau botak adalah lebih afdhal daripada memendekkannya kerana Rasulullah SAW mendoakan sebanyak tiga kali untuk orang yang bercukur agar diberi rahmat dan ampunan manakala hanya sekali untuk orang yang memendekkannya. Sekembali saya ke bilik penginapan, Shida terkejut melihat penampilan baru saya – botak ! Maka gugurlah 10 pantang larang berihram kecuali 3 lagi yang melibatkan jimak atau pergaulan suami isteri. Pada peringkat ini, kami sempurna Tahallul Awal.

Kami bergegas bersiap untuk masuk semula ke Masjidil Haram untuk menunaikan Solat Eidul Adha. Saya merasa sayu teringat anak-anak kesayangan; Liyana, Shazrin, Amira, Afifah, Basheer dan Yusof serta ibu saya di Malaysia. Inilah kali pertama saya dan Shida beraya di perantauan dan berpisah dengan anak-anak serta keluarga. Eidul Adha jatuh hari Jumaat.

Kami kemudiannya dibawa masuk ke Mina untuk melontar Jamrah Aqabah dan mabit pada sebahagian malamnya. Kami melontar ketiga-tiga jamrah mengikut tertib iaitu Jamrah Ula, Jamrah Wusta dan Jamrah Aqabah dan mabit pada sebahagian malamnya pada hari-hari Tasyriq kecuali 13 Zulhijjah kerana kami melakukakan Nafar Awal. Waktu melontar ketiga-tiga jamrah tersebut bermula dari tergelincir matahari namun kami terpaksa melontar di waktu malam kerana kesesakan setelah waktu Zohor walaupun kemudahan bertingkat disediakan untuk menampung jamaah yang ramai. Pada 12 Zulhijjah suasana menjadi sesak kerana ramai jamaah yang melakukan Nafar Awal. Kami terpaksa berjalan kaki sehingga ke Terowong Muassem sebelum dibenarkan membuat “u-turn” bagi memulakan urusan melontar ketiga-tiga jamrah.

Alhamdulillah, kami diberikan peluang yang mudah oleh Allah SWT untuk menyempurnakan rukun dan wajib Haji. Kesihatan kami terganggu sedikit dengan batuk dan selsema tetapi tidak menganggu kami untuk menyempurnakan panggilan Allah dengan baik dan sempurna. Kata orang di Mekah; yang tidak batuk di Mekah hanya unta !

Kami kekal menginap di Mekah untuk beberapa hari sebelum bertolak ke Madinah bagi program Ziarah khususnya Maqam Baginda Rasulullah SAW dan juga Masjid Quba’. Saya merasakan cukup tenteram dan aman ketika Iqtikaf di Masjid Nabawi khususnya bermunajat di Raudhah.

Saya dan Shida mengucapkan terima kasih dan jazakallah kepada teman-teman dan keluarga yang telah mendoakan keselamatan dan kesejahteraan kami di sepanjang tempoh kami berada di tanah haram. Kami juga sempat memohon pertolongan Allah SWT supaya menyelamatkan umat Islam dan rakyat Malaysia dan negara Malaysia dari kezaliman dan kemusnahan di tangan orang-orang yang zalim.

AZMIN ALI

Comments: 11

Comments are closed.