Permatang Kuarza Gombak Sasar Pengiktirafan UNESCO

Sumber : Selangorku.com

GOMBAK, 28 SEP : Kerajaan Selangor mensasarkan Permatang Kuarza Gombak di Empangan Klang Gates diiktiraf sebagai tapak warisan dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO).

Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali, berkata langkah awal untuk menjadikan kawasan itu sebagai tapak warisan kebangsaan sudah dimulakan dan diluluskan mesyuarat Exco pada Jun 2013.

MB lancarkan Coffee Table Book Permatang Kuarza Gombak (9)Katanya aset geologi dimiliki kuarza itu mempunyai nilai tinggi dan boleh ditarafkan sebagai warisan rantau, melebihi taraf warisan kebangsaan.

“Kerajaan Negeri mahu Permatang Kuarza ini bukan sahaja diiktiraf sebagai tapak warisan kebangsaan, tetapi menjadi tapak warisan dunia dalam kategori warisan semula jadi.

“Ia berikutan kawasan ini adalah tembok batuan semulajadi luar biasa di pinggir Banjaran Titiwangsa yang membentuk permatang terpanjang di dunia iaitu 14 kilometer (km) dengan kelebaran 50 meter.

“Kawasan ini juga memiliki 265 spesies tumbuh-tumbuhan yang menjadikan kuarza sebagai habitat mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Buku ‘Coffee Table’ Permatang Kuarza Gombak Selangor di Tapak Rekreasi Empangan Klang Gates, hari ini.

MB lancarkan Coffee Table Book Permatang Kuarza Gombak (5)Buku itu bertujuan memastikan hasil penemuan dengan kepelbagaian biologi dan geologi di kawasan berkenaan dijadikan rujukan pihak berkepentingan serta tatapan generasi akan datang.

Ia juga bakal dijadikan dokumen sokongan untuk membantu kawasan itu mendapat pengiktirafan tapak warisan kebangsaan dan tapak warisan dunia oleh UNESCO.

Pada masa sama, Mohamed Azmin berkata Kerajaan Negeri di bawah program Warisan Selangor berhasrat menjadikan tiga kawasan lain sebagai tapak warisan kebangsaan.

Katanya ia meliputi Bandar Kuala Kubu Bharu di Hulu Selangor, Bukit Melawati di Kuala Selangor dan Bandar Diraja Klang.

“Kerajaan Negeri memastikan tapak warisan bernilai tinggi ini terus dipelihara dan dipulihara untuk diangkat sebagai pengiktirafan negara dan seterusnya dunia.

“Tapak bernilai warisan lama ini harus dikekalkan dan dirancang secara holistik tanpa ada unsur pencorobohan yang boleh menggugat dan menghilangkan warisan yang terbentuk jutaan tahun dahulu,” katanya.