Persidangan Antarabangsa Tokoh Ulama’ Melayu Nusantara 2015

Persidangan Antarabangsa Tokoh Ulama’ Melayu Nusantara 2015

28 APRIL 2015

1. Persidangan pagi ini amat bermakna buat Asia Tenggara dan umat Islam. Asia Tenggara merupakan rantau nombor wahid bagi dunia Islam. Umat Islam merupakan 40 peratus daripada jumlah penduduk Asia Tenggara. Ini menjadikan Islam sebagai agama terbesar di rantau ini.

2. Umat Islam Asia Tenggara juga merupakan umat Islam yang termaju dari segi ekonomi, pendidikan dan kemajuan sosial berbanding dengan saudara – saudara kita di rantau yang lain. Umat Islam serantau turut memainkan peranan menjadikan Asia sebagai paksi kegiatan ekonomi dunia — satu proses yang akan mengalihkan pusat kegiatan ekonomi dunia dari Barat ke Timur.

3. Umat Islam bersama dengan umat yang lain, sama ada China atau India akan membangun apa yang dinamakan sebagai “Abad Asia”. Umat Islam Asia Tenggara berada di kedudukan strategik, di tengah – tengah China dan India, dunia kuasa besar ekonomi yang sedang muncul.

4. Fakta ini bukan untuk bermegah – megah, sebaliknya untuk memberikan kita dorongan dan rangsangan untuk kembali berpegang kepada tradisi ilmu agama, bekerja dengan lebih gigih dan bersaing secara sihat dengan umat lain di Asia dalam membentuk tamadun baru dunia.

5. Dari segi demografi, umat Islam di seluruh dunia mempunyai masa depan yang cerah. Sementara umat lain menghadapi gejala kebekuan penduduk atau bahkan ada yang menguncup, umat Islam kini berkembang secara purata 1.8 peratus setahun berbanding dengan purata pertumbuhan penduduk dunia pada paras 1.12 peratus. Di seluruh dunia, umat Islam kini berjumlah lebih daripada 2 bilion. Meskipun Islam hari ini adalah agama kedua terbesar di dunia, tetapi Islam merupakan agama yang paling pesat berkembang.

6. Menurut unjuran Pew Research Centre, menjelang tahun 2070, jumlah umat Islam akan menyamai jumlah umat Kristian, masing – masing 32 peratus dari jumlah penduduk dunia. Kajian sama mengunjurkan bahawa umat Islam akan menjadi umat terbesar di dunia pada tahun 2100, iaitu seramai 35 peratus daripada jumlah penduduk dunia.

7. Unjuran demografi ini menuntut umat Islam mempunyai pandangan global yang baru. Umat Islam perlu keluar dari psikologi mangsa, victimhood psychology, sering mengeluh dan melihat diri umat sebagai mangsa penjajahan, konspirasi umat lain dan sistem antarabangsa yang tidak adil. Sarjana sains politik dan pakar strategi antarabangsa John Mearsheimer menegaskan bahawa jumlah penduduk adalah asas kekuatan yang paling utama. Umat Islam seharusnya boleh menghadapi cabaran dunia dengan keyakinan.

8. Dengan menjadikan Islam sebagai agama yang terbesar di dunia, umat Islam menggalas tanggungjawab yang amat berat. Justeru, kerana Asia Tenggara merupakan wilayah terbesar umat Islam, maka secara langsung, umat Islam rantau ini mempunyai tanggungjawab yang jauh lebih besar dalam memberikan pengarahan dan hala tuju kepada umat Islam seluruh dunia. Peranan ini tidak boleh dipelopori oleh kepimpinan ulama’ rantau ini kecuali mereka mempunyai gagasan dan idea – idea yang baru untuk mendepani cabaran semasa.

9. Ulama’ dalam sejarah peradaban Islam mempunyai kedudukan tinggi dan mulia. Ini dijelaskan melalui Al Quran yang mengungkapkan kemuliaan para ulama’ dalam pelbagai istilah seperti ‘ilm, ‘ulama, ya’lamun, ulul albab dan sebagainya. Selain itu, Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW bersabda:

“Sesungguhnya ulamak adalah pewaris para nabi”
(Hadis Riwayat Abu Daud dan Tarmizi)

10. Dari segi sejarah rantau ini, tokoh seperti Hamzah Fansuri, Nuruddin al-Raniri, Hamzah al Samtrani, Abdul Samad al-Palembani, Abdul Rauf Singkil, Daud Fatani, Sheikh Arshad al-Banjari dan ramai lagi telah memulakan tradisi pemikiran tinggi. Seperti yang dinukilkan oleh pemikir – filasuf Melayu – Islam Malaysia, Profesor Syed Muhammad Naquib al-Attas :

“Dari sumber – sumber kesusasteraan Melayu yang berunsurkan intelektualisme dan rasionalisme Islam pada abad ke – 16 dan ke – 17, terbayang pada pandangan akal gambaran perubahan mendalam yang telah berlaku terhadap jiwa masyarakat Melayu : kecapi yang belum pernah terpetik melagukan irama falsafah murni, kini berlagam diiringi seruling tasawwuf menyuarakan bisikan fikiran dan perasaan halus luhur.”

11. Pada masa yang sama, kesemua ulama’ di Alam Melayu ini mempunyai jalinan antarabangsa melalui dua pusat ilmu Islam yang dikenali sebagai ‘al – Haramayn – dua tanah suci, iaitu Mekah dan Madinah. Para ulama’ Nusantara telah mengkaji kitab – kitab klasik atau turath bersama syeikh – syeikh yang berwibawa dalam ilmu. Mereka mempelajari ilmu – ilmu warisan Islam (al-turath) seperti tafsir, hadith, ‘aqidah, fiqh, usul al – fiqh, sirah, tasawwuf, akhlaq, bahasa ‘arab, ilmu falak dan lain – lain bidang ilmu dengan penuh dedikasi.

12. Ternyata, mereka sememangnya dapat meraih status sebagai manusia berilmu kerana kedalaman ilmu yang ada disisi mereka serta keteladanan rohani dan akhlak yang terpuji dengan sifat ikhlas kehidupan harian.

13. Ulama’ Nusantara bukan sekadar memainkan peranan sebagai penyebaran ilmu dan kegiatan dakwah. Mereka juga meniupkan semangat juang di kalangan rakyat di rantau ini. Melalui pendidikan mereka menyemai benih kesedaran dan perjuangan kemerdekaan tanah air daripada cengkaman penjajahan Barat. Di Aceh misalnya, Teuku Daud Berueh, seorang ‘alim yang terkenal telah mengetuai barisan ulama’ Aceh menentang penjajahan Belanda. Begitu juga di negara kita, para ulama’ seperti Tuan Guru Haji Hassan Munas atau Tok Janggut adalah tokoh yang menggerakkan rakyat untuk menentang penjajah Inggeris di Pasir Puteh, Kelantan pada tahun 1915. Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbung, turut melawan kehadiran penjajah Inggeris di Negeri Terengganu. Pengasas Ma’had Ihya al – Syarif, Gunung Semanggol dan Hizbul Muslimin (HAMIM), Ustaz Abu Bakar al – Baqir mendapat jolokan ‘bahaya dari gunung’ pernah meringkuk dalam penjara kerana menentang penjajahan Inggeris di Negeri Perak.

14. Malangnya, sumbangan dan peranan para ulama’ tidak dihargai setimpal dengan pengorbanan mereka. Selama ini ahli – ahli sejarah Malaysia hanya mengupas peranan golongan nasionalis Melayu sebagai penentang penjajah Inggeris walhal para ulama’ juga mempunyai peranan yang besar dalam usaha menuntut pembebasan dari penjajah. Malahan pada tahun 1948, himpunan ulama’ telah berbaris dari Butterworth, Pulau Pinang sehingga ke Alor Star, Kedah bagi membantah gagasan Malayan Union. Fakta ini membuktikan bahawa ulama’ memainkan peranan yang sangat penting dalam kehidupan bermasyarakat bukan sahaja dalam bidang dakwah, tetapi juga dalam bidang siasah.

15. Dalam konteks ijtima’ ulama’ Nusantara pada hari ini, kita wajar membicarakan peranan ulama’ dalam konteks semasa dan masa hadapan. Sesungguhnya, dunia sedang berkembang dengan begitu pesat. Pelbagai cabaran ideologi dan pemikiran yang mencabar akidah, syari’at dan akhlak umat. Ulama’ terkenal Uiniversiti Al – Azhar di Mesir, Sheikh Muhammad Al – Ghazali telah menyatakan bahawa fenomena pergelutan pemikiran telah mencengkam minda dan jiwa umat Islam. Cabaran pemodenan hidup, fenomena kebendaan (maddiyyah) yang keterlaluan, hedonisme serta rempuhan globalisasi telah menggugat jati diri umat Islam.

16. Dalam beberapa aspek penilaian, misalnya ekonomi, pendidikan dan kemajuan sosial, kita melihat umat Islam Asia Tenggara telah bangkit semula meskipun buat sekian lama rantau ini dianggap sebagai pinggir dunia Islam berbanding dengan Timur Tengah dan Asia Selatan yang pernah melahirkan kegemilangan tamadun Islam seperti Abbasiah di Timur Tengah dan Mughal di Asia Selatan.

17. Kejayaan dan kegemilangan tamadun Islam ini adalah berdasarkan beberapa faktor. Pertama, umat Islam Asia Tenggara berpegang kepada prinsip kesederhanaan dan prinsip ini menjadi sebahagian daripada budaya umat Islam – Melayu rantau ini. Justeru itu, kita meski mengambil langkah – langkah proaktif untuk membenteras anasir ekstrem dan militan yang cuba bertapak di rantau ini. Sekiranya anasir ini bersarang di Asia Tenggara, maka Islam Asia Tenggara akan terheret ke dalam lubang hitam atau black hole yang memerlukan puluhan tahun untuk dipulihkan.

18. Kita menyaksikan bagaimana ekstremisme, kefanatikan dan militanisme telah mengheret umat Islam Timur Tengah ke dalam lubang hitam yang penyelesaiannya belum lagi kelihatan sehingga hari ini. Merebaknya militanisme di Timur Tengah hari ini adalah akibat demokrasi yang dibungkam dan pemerintahan otokratik yang menyekat kebebasan bersuara serta penodaan terhadap hak asasi manusia.

19. Justeru itu, strategi paling berkesan untuk membenteras militanisme adalah dengan menyuburkan demokrasi, memberikan hak kepada rakyat untuk bersuara dan memelihara hak, darjat serta kemuliaan rakyat. Maka, para ulama’ rantau ini perlu memainkan peranan yang signifikan dalam membangun demokrasi umat Islam di rantau ini.

20. Selain itu, umat Islam rantau ini telah menjadikan masyarakat bukan Islam sebagai rakan keamanan, pembangunan dan kemakmuran. Kita menghargai sumbangan mereka terhadap pembangunan ekonomi sementara mereka menghargai sikap sederhana dan toleransi yang telah memberi peluang kepada mereka untuk berniaga dan mengamalkan agama dan budaya masing – masing.

21. Saya yakin masih ada ruang untuk meningkat semangat yang disebut dalam Al – Quran sebagai li-ta’arafu yang bermaksud saling kenal mengenal. Dialog antara tamadun dan inter-faith dialogue atau dialog antara agama perlu dijadikan sebagai wahana untuk menghayati konsep li-ta’arafu yang dianjurkan oleh Al – Quran.

22. Meskipun ada persoalan minoriti Islam di negara – negara seperti Thailand, Filipina dan Myanmar; dan kita amat prihatin terhadap nasib saudara – saudara kita di sana yang hidup sebagai minoriti, namun pendirian kita adalah persoalan ini perlu diselesaikan secara aman dan melalui proses politik dan perundingan. Kita sama – sekali menolak penggunaan keganasan, violence atau penentangan bersenjata untuk menyelesaikan pertelingkahan. Ianya tidak dapat menyelesaikan masalah, bahkan menyebabkan keadaan lebih buruk.

23. Berdasarkan tahap kemajuan yang telah dicapai oleh umat Islam Asia Tenggara, saya yakin kita boleh meningkatkan prestasi tersebut dengan menghayati urutan keutamaan umat Islam masa ini dan masa akan datang.

24. Kita perlu meningkatkan pelaburan dalam bidang pendidikan dan pembangunan sumber daya manusia. Meskipun agama Islam akan menjadi agama nombor satu dalam masa 80 tahun dari sekarang, namun, sekiranya majoriti umat Islam buta huruf, tidak mempunyai pendidikan, wanita didiskriminasi dan tidak dapat memberi sumbangan kepada produktiviti, maka umat Islam akan ditinggalkan jauh ke belakang oleh umat yang jumlahnya jauh lebih sedikit.

Firman Allah SWT dalam Surah Al Anfal, ayat 60 :

“ Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan – pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh – musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya.”

25. Ulama’ sebagai pewaris para nabi mempunyai tanggungjawab yang cukup berat. Para ulama’ bukan sahaja perlu menguasai ilmu – ilmu agama secara komprehensif, tetapi mereka juga harus menguasai ilmu kontemporari (al-‘ulum al-mu’asarah).

26. Di negara ini, tiga tamadun besar dunia; tamadun Islam Melayu, tamadun Cina dan tamadun India membuka ruang yang luas untuk kita menyampaikan seruan syiar Islam dengan hikmah dan bijaksana (fatanah). Justeru, kita perlu melahirkan golongan ulama’ yang dapat menguasai ilmu perbandingan agama (‘Ilmul muqaranatil adyan) seperti al – Biruni (Kitab al – Hind), Hujjatul Islam al – Ghazali (Kitab al – Iqtisad fil ‘Itiqad), al – Sharastani (Kitab al – Milal wa al – Nihal) dan al – Baghdadi (Kitab al – Firaq) yang telah memberi sumbangan besar dalam dialog antara agama pada zaman silam.

27. Dalam konteks Alam Nusantara, interaksi antara ulama’ Islam dengan tokoh – tokoh agama bukan Islam tentunya akan dapat merealisasikan perintah Al Quran bagi menyebarkan dakwah Islam sebagai rahmatan lil alamin, agama yang membela keadilan, agama kemanusiaan dan agama kedamaian. Kita berbangga dengan usaha Hamka, tokoh ulama terkenal Indonesia dalam Tafsir al – Azhar kerana pandangan beliau mengenai isu kepelbagian agama di Indonesia serta kepentingan toleransi beragama mengikut panduan Al Quran.

28. Filasuf Francis Bacon, pemikir di zaman Renaissance pernah berkata bahawa ilmu adalah kuasa, “knowledge is power”. Justeru itu, untuk menghayati saranan firman Allah SWT dalam ayat yang disebutkan tadi, umat Islam perlu dilengkapkan dengan ilmu, sains dan teknologi. Bahkan, defisit paling nyata umat Islam hari ini adalah dalam bidang ilmu, sains dan teknologi. Selagi kita tidak dapat menghapuskan kesenjangan dalam ilmu tersebut, selagi itulah umat Islam akan berada di belakang umat – umat yang lain.

29. Umat Islam tidak boleh hanya kekal sebagai pengguna teknologi, seperti telefon pintar, applikasi apps dan kemudahan teknologi serba canggih. Umat Islam harus diberdayakan supaya mampu menghasilkan teknologi yang boleh digunakan dan dikongsi oleh umat – umat yang lain. Namun, selagi kita tidak melakukan reformasi dan merakyatkan ilmu sains dan teknologi, selagi itulah kita tidak akan dapat menghasilkan teknologi untuk manfaat umat manusia dan tamadun abad ke – 21.

30. Akhirnya, menjadi harapan kita agar Persidangan Antarabangsa Tokoh Ulama’ Melayu Nusantara ini mempelopori wacana – wacana baru demi kepentingan umat Islam serantau. Saya cukup yakin dan percaya, dengan wacana baru yang lebih segar, kita mampu merangkul segala kekuatan ummah untuk melakukan anjakan dalam peradaban umat Islam hari ini. Semoga hasrat dan cita – cita ini menjadi pemangkin kepada kelangsungan tamadun Islam yang gemilang di Nusantara. Maka, dengan lafaz , marilah kita bersama – sama menyempurnakan Perasmian Persidangan Tokoh Ulama’ Melayu Nusantara 2015.

Sekian, terima kasih.