Perubahan dan Hijrah ke Arah Kebaikan

Umat Islam menyambut ketibaan Maal Hijrah saban tahun memperingati pengorbanan Rasulullah S.A.W. melalui peristiwa berhijrah dari Mekah ke Madinah.

Hijrah membawa pengertian yang luas, iaitu keluar dari medan perjuangan yang sempit ke gelanggang yang lebih luas dan ia adalah pemisah di antara yang hak dengan yang batil. Ia juga merangkumi perpindahan kepada hidup yang lebih baik, lebih maju, lebih mulia dan lebih bermakna serta berada dalam lingkungan rahmat dan keredhan Illahi.

Allah s.w.t berfirman di dalam surah Ar. Ra’d ayat 11 yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka.”

Hijrah menuntut kepada pengorbanan yang besar, demi melaksanakan segala perintah Allah S.W.T. Perubahan ke arah kebaikan adalah tuntutan hidup daripada sesuatu yang buruk kepada yang baik, dan daripada yang baik kepada yang lebih baik, daripada sifat Mazmumah kepada sifat Mahmudah.

Umat Islam harus senantiasa mengamalkan sikap ini dalam kehidupan seharian mereka. Dengan tekad, komitmen dan azam untuk berubah selaras dengan tuntutan agama, setiap usaha ke arah perubahan itu akan pasti memberi manfaat kepada diri, keluarga, masyarakat dan negara. “Budaya Hijrah” dalam kehidupan seharian harus dipraktikkan, sebagaimana yang disarankan melalui sebuah hadis Nabi Muhammad S.A.W. :

Yang bermaksud: “Seorang Muslim itu ialah orang yang menyelamatkan saudara Muslim yang lain daripada (kejahatan) lidah dan tangannya. Dan seorang yang berhijrah ialah sesiapa yang berhijrah daripada perkara yang ditegah oleh Allah.”
(Hadis riwayat al-Bukhari, Abu Daud dan Nasa’i)

Melihat kepada peristiwa Hijrah kita akan mendapati ia adalah suatu perjuangan membina masa depan untuk lebih baik. Justeru intipati Hijrah perlulah dihayati secara mendalam dan bukannya sekadar menjadi sambutan wajib tahunan semata-mata yang diraikan setiap tahun tanpa kita merenung, melihat sedalam-dalamnya dan menghayati makna sebenar Hijrah.

Sesungguhnya, perubahan dan penghijrahan kepada kebaikan adalah tuntutan agama. Apabila umat bertindak untuk mengubah nasib dan keadaan diri mereka serta masyarakat, InsyaAllah, usaha tersebut akan mendapat keberkatan daripadaNya. Allah akan mengubah keadaan mereka dari kehinaan dan kerendahan kepada kemuliaan dan ketinggian.

Mohamed Azmin Ali
1 Muharram 1432H
7 Disember 2010

Article by Azmin Ali