Peruntukan Segera Untuk Sabak Bernam

SABAK BERNAM – Kerajan Negeri Selangor mengumumkan peruntukan segera berjumlah RM600,000 bagi kos penyelenggaraan sistem perparitan di tiga kampung di Sabak Bernam yang dilanda banjir kilat, baru-baru ini.

Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali berkata, peruntukan sebanyak RM400,000 akan digunakan bagi membaik pulih saliran parit utama di Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Desa Kasih Tebuk Pulai, manakala RM200,000 lagi di dua kampung iaitu di Batu 38 dan Bagan Nakhoda Omar.

Beliau yang sebelum ini diberikan taklimat oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) berkata, salah satu punca banjir kilat yang berlaku di kampung itu adalah disebabkan masalah sistem perparitan utama kampung yang tidak diselenggara dengan baik.

“Sudah tentu perkara ini perlu diselesaikan segera kerana komitmen kerajaan negeri tidak mahu masalah ini berulang yang menjadi beban kepada penduduk,” katanya ketika berucap pada majlis perjumpaan bersama mangsa banjir di PPRT Desa Kasih Tebuk Pulai, di sini, semalam.

Mohamed Azmin berkata, JPS juga memaklumkan kos penyelenggaraan sistem perparitan itu perlu diselesaikan segera bagi memudahkan air dari parit utama disalur ke kunci air berdekatan sejauh tiga kilometer.

“Kita mahu pendekatan dan penyelesaian yang komprehensif dan menyeluruh bagi kerja penyelenggaraan sistem perparitan dalam kampung ini dan kawasan berdekatan supaya paras air itu dapat disalurkan terus ke kunci air dan tidak menenggelami kediaman penduduk,” katanya.

Beliau berkata, masalah sistem perparitan di kampung itu dan di kawasan berhampiran juga sering dibangkitkan Adun Sabak, Sallehen Mukhyi yang prihatin dengan masalah yang dihadapi penduduk di kawasan rendah berkenaan.

Menurutnya, kerajaan negeri yang mengeluarkan peruntukan itu meminta agar JPS, Pejabat Daerah dan Tanah Sabak Bernam serta Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) berganding bahu agar memastikan ia dapat ditangani segera.

“Saya tak mahu kalau saya datang ke sini, tengok kerja tak jalan kerana kita bimbang musim tengkujuh dan tak mahu ia kembali berulang. Saya akan pantau secara peribadi, namun saya yakin dengan komitmen agensi berkaitan dapat menyelesaikan masalah ini segera,” katanya.

Sinar Harian pada 8 Oktober lalu melaporkan, hujan berterusan selama kira-kira empat jam menyebabkan Pekan Sabak Bernam dan beberapa kampung berhampiran dilanda banjir kilat.

Antara kampung yang ditenggelami air antaranya Kampung Batu 38 Baroh, Bagan Nakhoda Omar, Banting, Teluk Rhu dan Sekendi berikutan hujan lebat bermula dari jam 8 pagi hingga 11 tengah hari.

Rata-rata penduduk menyifatkan banjir kilat yang melanda kampung terlibat merupakan yang terburuk pernah berlaku dalam tempoh lebih 40 tahun.

DSC_0003 DSC_0124 DSC_0171 DSC_0181 DSC_0244 DSC_0264 DSC_0284 DSC_0290 DSC_0315 DSC_0333 DSC_0335 DSC_0347 DSC_0377 DSC_0383 DSC_0404 DSC_0420 DSC_0422 DSC_0276