Perutusan Bersempena Dengan Hari Keputeraan Nabi Muhammad S.A.W

Hari ini umat Islam sekali lagi menyambut kelahiran junjungan Nabi Muhammad SAW yang diraikan pada 12 Rabi’ al-Awwal saban tahun. Peringatan yang berulang – ulang setiap tahun ini adalah kesempatan untuk kita menghayati sirah Baginda dengan pemaparan yang benar dan baik meskipun selepas lebih 1400 tahun.

Di Malaysia, umat Muhammad ini adalah umat terbesar dan Islam adalah agama Persekutuan sepertimana yang termaktub dalam Perlembagaan. Justeru, tanggungjawab asas bagi Muslim di Malaysia adalah untuk memahami dan menjiwai ini tarbiyah Nabinya, bukan hanya dalam soal amalam harian malah juga dalam soal kemasyarakatan dan kenegaraan.

Ramai pengkaji sejarah dunia sentiasa meletakkan Rasulullah sebagai tokoh yang merobah sejarah. Ahli sejarah ulung, Arnold Toynbee mengkagumi Nabi Muhammad SAW sebagai tokoh yang berusaha untuk membanteras faham perkauman sempit dan prasangka ras. Yang terbaharu adalah kajian pemikiran politik Francis Fukuyama yang bertajuk “The Origins of Political Order” yang meletakkan Rasulullah SAW sebagai salah seorang tokoh terpenting dalam sejarah dunia yang membentuk keteraturan politik. Sebelum Baginda, tanah Arab hanya mempunyai sistem sosial yang berasaskan suku kaum yang berperang sesama sendiri. Rasulullah SAW menyatukan suku – suku kaum di bawah payung negara yang berlandaskan prinsip persaudaraan kemanusiaan dan kedaulatan undang – undang.

Tentu sahaja akhlak Nabi Muhammad SAW adalah akhlak yang terpuji (al – akhlak al – Karim) dengan kekuatan seorang pemimpin yang bersifat benar, amanah, adil lagi bijaksana. Asas – asas sifat Baginda ini begitu sesuai dalam lanskap kenegaraan Malaysia sebagai negara – bangsa yang merangkumi pelbagai kaum dan kerencaman agama.

Kita juga tertarik dengan ketinggian darjat ihsan dan keadilan yang dimiliki oleh Rasulullah SAW bukan sahaja disisi masyarakat Islam tetapi juga di mata masyarakat bukan Islam. Justeru, dalam konteks kehidupan masyarakat majmuk seperti Malaysia, kita wajar menterjemahkan dengan jernih dan jelas akan sifat – sifat seperti ihsan, keadilan dan wasatiyyah (kesederhanaan) junjungan Nabi Muhammad SAW dalam segenap aspek kehidupan.

Adapun risalah Nabi Muhammad SAW berbeza dengan misi para Nabi dan Rasul sebelumnya. Risalah Baginda bukan ditujukan hanya bagi satu – satu kaum sahaja, sebaliknya untuk sekalian umat bangsa – bangsa manusia. Baginda adalah pembawa rahmat Allah SWT untuk seluruh alam. Firman Allah SWT :

“Dan tidaklah Kami mengutuskan kamu Muhammad melainkan bertujuan membawa rakmat kepada semua warga alam. (surah al -Anbiya’ : 107).

Dengan teras kefahaman ini, ia dengan sendirinya adalah penolakan kepada amalan gelap perkauman (‘asabiyyah al – qaum). Persoalan ini nampaknya semakin menjadi cabaran dan jerlus pasir kepada umat Islam yang mutakhir ini terus dibisikkan dengan kefahaman keras atas nama agama dan bangsa.

Selain itu, risalah Baginda juga konsisten dalam menentang perbuatan zalim, penghinaan, penyebaran fitnah, perbuatan rasuah, salah guna kuasa, pembaziran wang individu dan rakyat, pembohongan dan lain – lain amalam keji. Kesemuanya adalah petanda kekeliruan moral klasik yang wajar dihindari oleh Muslim. Junjungan bersabda
“Hanya sanya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak”.

Di hujung segala sambutan Maulidur Rasul, kita seharusnya beriltizam untuk terus meneladani peribadi Junjungan Nabi Muhammad SAW sebaik – baiknya. Jalan terbaik tentunya dengan peningkatan aspek keilmuan dengan secara khusus terus menelaah sirah, ikhtiar untuk melakukan pembaharuan intelektual atau tajdid akal (tajdid al’aql) dan pemurnian jiwa (tazkiyyat al-nafs) serta sekaligus menunjukkan teladan baik (qudwah hasanah). Semoga sambutan tahun ini akan lebih bermakna untuk diri kita dan manfaatnya akan dapat dikecapi oleh seluruh masyarakat yang cintakan kebenaran (al-haq), keihsanan (al-ihsan) dan keadilan (al’adl).