Perutusan Deepavali – Diwali dan Reformasi

Selain kuih murukku dan gerak tari seiring serta hiasan yang berwarna-warni, Deepavali membawa maksud yang berpaksi pada soal kebebasan, keadilan dan kebenaran. Secara literal, ‘Diwali’ itu ertinya ‘barisan pelita’ dan seterusnya diangkat sebagai pesta cahaya. Menurut legenda Hindu, asal perayaan ini lahir dari peristiwa pertarungan Maha Krishnan yang telah berjaya mengalahkan Raja Naragasura, seorang devaraja yang kejam dan gemar memeras dan menindas rakyatnya. Perayaan kemenangan itu, disambut dengan hiasan pelbagai warna serta cahaya lampu yang cerah dan terang. Intipatinya adalah kebaikan mengatasi kejahatan.

Deepavali mengundang kita sebagai rakyat Malaysia untuk meraikan pluralisme dan menuntut kita untuk memahami kepercayaan agama jiran tetangga. Ini merupakan asas penting supaya kemajmukan itu menjadi teras kekuatan dan toleransi menjadi kelaziman masyarakat. Semoga negara kita akan maju ke hadapan meninggalkan politik lapuk etnosentrik.

Reformasi Menuju Putrajaya membawa maksud dan semangat yang sama. Ianya mengajak masyarakat bergerak bersama-sama dengan Parti Keadilan Rakyat dan Pakatan Rakyat melaksanakan reformasi dalam perjalanan menuju ke Putrajaya untuk menjulang keadilan dan kebenaran.

Selari dengan semangat menentang kezaliman, keazaman menuntut kebaikan perlu diteruskan. Kita memerlukan pemerkasaan dan pemberdayaan untuk bersiap siaga mendepani cabaran yang mendatang.

Justeru itu, ayuh kita bangkit dan angkat martabat, darjat dan harakat rakyat ke tingkat yang lebih bermaruah.

Bersama kita meneruskan agenda Reformasi Menuju Putrajaya.

Selamat Menyambut Diwali.

Mohamed Azmin Ali
5 November 2010

Comments: 5

Comments are closed.