Eidul Adha yang menjelang tiba, menyingkap kembali sirah pengorbanan dan kesabaran Nabi Ismail A.S. Ketika masih bayi, Baginda bersama ibunya di bawa oleh bapanya, Nabi Ibrahim A.S. berkelana jauh dari bumi kelahiran. Sang anak dan ibunya ditinggalkan di Makkah yang ketika itu merupakan belantara padang pasir tanpa tubuh-tumbuhan.

Tatkala Nabi Ibrahim bergerak meninggalkan mereka, Siti Hajar bertanya, “Kenapa kamu tinggalkan kami di bumi yang tiada tumbuh-tumbuhan, makanan, air dan bekalan?”

Nabi Ibrahim menjawab, “Benar!”.

Seraya Siti Hajar berkata: “Jika begitu kami tidak akan sesat.”

Sirah juga mengungkapkan kisah Siti Hajar berlari-lari antara Safa dan Marwah untuk mencari air buat Nabi Ismail yang kehausan. Dalam kesusahan ada kesenangan. Dari tumit kakinya yang dihentakan ke bumi, terbit mata air. Dari mata air dibina telaga zam zam yang menarik suku Jurhum untuk menetap di Makkah. Nabi Ismail membesar di kalangan suku Jurhum dan mengahwini wanita dari suku tersebut.

Nabi Ibrahim datang kembali kembali ke Makkah menemui putera sulungnya dengan membawa firman Ilahi :

Maksudnya : “(Ibrahim berkata) Wahai anakku, sesungguhnya aku telah melihat di dalam mimpi bahawa aku menyembelih kamu, maka telitikanlah apa pandangan kamu. (Ismail berkata) Wahai bapaku, lakukanlah apa yang telah diperintahkan kepadamu. Nescaya kamu akan mendapati bahawa aku ini, Insya Allah, tergolong dari kalangan mereka yang sabar.
(Surah al-Saaffat :102)

Pedoman agung dari peristiwa yang diabadikan sempena Hari Raya Eidul Adha setiap tahun adalah kesabaran dan keyakinan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail dalam melaksanakan perintah Ilahi. Dengan kesabaran dan keyakinan, Makkah maju membangun dari belantara padang pasir kepada kota yang padat penduduknya. Telaga zam zam memberi kehidupan. Nabi Ibrahim bersama puteranya Nabi Ismail membina semula Baitullah dan menjadikan Makkah sebagai pusat ibadah.

Dari leluhur Nabi Ismail, lahir nabi akhir zaman yang membawa Islam sebagai rahmatan lil alamin. Ajaran Islam yang pada awalnya dicemuh dan ditindas, kini tersemat dalam kalbu dan nurani manusia dengan kesabaran dan keyakinan dakwah Rasulullah SAW sehingga menjadikan Islam sebuah tamadun yang gemilang.

Meneladani sirah ini memberikan kekuatan buat kita semua bagi mendepani cabaran masa kini. Kesabaran dan keyakinan penting untuk menjamin penyelesaian yang holistik demi kemaslahatan pada masa akan datang.

Meskipun Eidul Adha tahun ini menuntut kita untuk berkorban dalam dimensi yang lain, kita harus yakin bahawa ianya penting bagi melindungi kesihatan dan keselamatan diri dan keluarga. Patuhi peraturan dan SOP yang ditetapkan, amalkan tertib penjagaan kesihatan yang berkesan demi kesejahteraan kita bersama.

Saya berdoa ke hadrat Allah SWT, semoga kesabaran hari ini akan mencipta keagungan masa hadapan.

Salam Eidul Adha, Maaf Zahir & Batin.

DATO’ SERI MOHAMED AZMIN ALI
20 Julai 2021
10 Zulhijjah 1442H