Perutusan Eidul Fitr 1436 H Dato’ Menteri Besar Selangor

10 Julai 2015
23 Ramadhan 1436H

Kita telah sampai kepada hari-hari penghujung Ramadhan yang mulia. Kita telah bersama-sama melaksanakan Jihad Al-Akbar seperti yang disebutkan oleh Rasulullah SAW kepada para sahabat tatkala pulang dari perang Badar yang berlaku dalam bulan Ramadhan: “Kamu pulang dari Jihad Al-Asghar, jihad kecil, kepada Jihad Al-Akbar, jihad yang lebih besar.” Sahabat-sahabat Baginda bertanya, “Apakah itu Jihad Al-Akbar?” Jawab baginda, “Jihad melawan hawa nafsu.”

Nafsu amarah, nafsu serakah, egoisme adalah penyakit yang menghinggapi manusia, individu mahupun kolektif. Nafsu amarah mencipta sengketa, perbalahan, peperangan dan pertumpahan darah dan penindasan di sana sini. Akibat dari nafsu serakah, dunia dan kelangsungan manusia diancam oleh perubahan iklim. Negara berada dijurang kemuflisan kerana segelintir manusia menjadi hamba nafsu serakah. Wang rakyat dijadikan wang sendiri. Dan egoisme menyempitkan dada manusia dari melihat kebajikan rakyat yang lebih utama dan luas.

Maka Ramadhan adalah Madrasah Ruhiyyah, bulan penyucian diri dari penyakit hati, memerangi hawa nafsu dan ego. Jihad Ma’nawi ini pastinya akan membawa keberkatan dan kerahmatan kepada umat Islam dan umat manusia keseluruhannya. Hari ini istilah “jihad” dikelirukan. Golongan militan yang membunuh manusia tidak berdosa, Islam dan bukan Islam, mendakwa mereka melaksanakan jihad. Kekeliruan ini ditambah oleh media antarabangsa yang menggelarkan pengganas Islam sebagai “jihadist”.

Kehidupan insan adalah satu perjuangan yang punya marhalah-marhalah atau tingkat-tingkatnya. Imam Ibnul Qayyim ketika memperkatakan tentang marhalah-marhalah ini, memulakannya dengan jihad melawan nafsu untuk mempelajari kebenaran, kemudian jihad beramal dengannya, kemudian jihad bersabar di atas bebanan amal tersebut. Semua ini dikira sebagai jihad. Mana-mana kekurangan pada marhalah-marhalah ini atau tergopoh-gapah kadang-kadang tidak membawa kepada amal yang dituntut.

Alhamdulillah, dalam bulan Ramadhan Al-Mubarak ini saya bertuah dapat mengiringi DYMM Tuanku Sultan Selangor menjelajah masjid-masjid di seluruh pelusuk Negeri bagi menjalani pelbagai kegiatan amal seperti memberi bantuan kepada anak-anak yatim dan fakir miskin, iftar serta solat tarawih bersama rakyat jelata. Inisiatif DYMM Tuanku telah memberikan dorongan kepada pengurusan masjid untuk meningkatkan kegiatan ibadah, ilmu dan kebajikan dalam kerangka melaksanakan Jihad Ma’nawi untuk mencapai keberkatan kepada rakyat dan solidariti sesama manusia.

Dengan semangat ini, Kerajaan Negeri Selangor melihat setiap usaha untuk merancakkan pembangunan berkualiti dan membela nasib rakyat sebagai Jihad Ma’nawi. Dan inisiatif DYMM Tuanku menemui rakyat perlu dicontohi oleh semua peringkat kepimpinan agar sentiasa mendampingi rakyat dan tidak mencipta jarak antara pemimpin dengan rakyat.

Kita juga perlu mengambil iktibar dari keperibadian dan susuk kepimpinan Khalifah Umar Al-Khattab. Tarikh al-Tabari melaporkan Khalifah Umar berkata: “Apabila saya berada dalam kedudukan yang selesa, tetapi rakyat sukar menemui saya; maka saya terus turun ke tempat yang sama taraf dengan rakyatku.”

Dalam pemerintahan Khalifah Umar, Negara Islam berkembang pesat di Timur Tengah, menakluki Syria, Iraq dan Mesir. Tarikh al-Tabari melaporkan hasrat Umar untuk menjelajah segenap pelusuk negara menemui rakyatnya: “Jika saya hidup, Insya Allah, saya akan berjalan sepanjang tahun untuk menemui rakyat. Gabenor-Gabenor tidak perlu memberi tahu saya dan mereka juga tidak perlu datang menemui saya. Saya akan pergi ke Syam (Syria) dan akan duduk di sana selama dua bulan. Kemudian saya akan pergi ke Jazirah (Iraq) dan duduk di sana selama dua bulan. Kemudian saya akan ke Mesir dan duduk di sana selama dua bulan. Kemudian saya akan pergi ke Bahrain dan duduk di sana dua bulan. Kemudian saya akan pergi ke Kufah dan duduk di sana dua bulan. Kemudian saya akan pergi ke Basrah dan duduk di sana dua bulan. Alangkah bagusnya tahun itu.”

Dengan mendampingi rakyat kita dapat menyelami harapan, hasrat dan permasalahan mereka. Dengan memahami hasrat dan permasalahan mereka barulah kita dapat merangka kebijakan dan dasar yang bersesuaian untuk memenuhi keperluan mereka. Pemimpin tidak boleh bersikap angkuh bahawa mereka tahu segala-galanya hanya dengan membaca berita dan laporan dari pegawai. Gejala putus hubungan atau disconnect dari rakyat sudah barang pasti akan menggasir keberkesanan kerajaan dalam menjalankan amanah rakyat. Sebaliknya dengan berusaha mendampingi rakyat, memerah daya fikiran untuk membela nasib mereka, Insya Allah, kita akan diberikan petunjuk, seperti firman Allah SWT: “Mereka yang berjuang ke jalan Kami, nescaya Kami akan tunjukkan jalan-jalan Kami. Sesungguhnya Tuhan beserta dengan orang-orang yang berbuat baik.” (Surah Al- Ankabut : Ayat 69).

Tatkala kita menjalankan ibadah puasa kita tidak boleh melupakan saudara-saudara kita; umat Islam Rohingya yang melarikan diri dari negara mereka akibat penindasan agama; umat Islam Uighur di Cina yang dihalang berpuasa, lebih dari 150,000 mengharungi Lautan Mediterranean untuk mencari perlindungan di Eropah akibat kekacauan di negara-negara mereka. Perang di Yemen, perang saudara di Syria dan pertempuran dengan ISIS terus meragut nyawa umat Islam, kemusnahan harta benda dan menyebabkan penderitaan tak terkira kepada, kanak-kanak, wanita dan orang tua.

Dekad-dekad terakhir ini merupakan zaman gelap di dunia Islam sejak runtuhnya Empayar Uthmaniyah 100 tahun lalu. Beberapa negara Islam di bom, kedaulatan negara diceroboh dan ditakluki oleh kuasa besar. Arab Spring, kebangkitan rakyat menjatuhkan pemerintahan kuku besi di Timur Tengah dipatahkan dengan rampasan kuasa di Mesir dan perang saudara di Syria dan Libya. Ketiadaan perpaduan di kalangan negara-negara Islam untuk mewujudkan dialog ke arah penyelesaian sengketa mengakibatkan dunia Islam berantakan dan beberapa negara Islam menjadi boneka kepada kuasa besar asing.

Ulama dari pelbagai mazhab dan cendekiawan dunia Islam telah berusaha untuk mencari jalan membanteras keganasan dan persengketaan yang terbit akibat perbedaan mazhab dengan menghasilkan Pesanan Amman. Pesanan tersebut, hasil dari Inisiatif Raja Jordan, Raja Abdullah Kedua perlu diberikan perhatian serius dan wajar disebarluaskan ke segenap lapisan umat.

Kita bersyukur kerana dalam masa dunia Islam dilanda perang dan sengketa, umat Islam di Asia Tenggara terus hidup dalam suasana aman dan tenteram serta dapat memberikan tumpuan kepada pembangunan ekonomi, sosial dan pendidikan. Namun kita juga masih menghadapi cabaran. Kita berhadapan dengan isu pelarian Rohingya dan percubaan ISIS yang cuba melebarkan sayapnya ke rantau ini. Justeru itu usaha Nahdlatul Ulama, yang mendapat dukungan dari Presiden Jokowi, mengemukakan konsep Islam Nusantara boleh membangun citra Islam yang lebih lunak, yang sebati dengan budaya dan sejarah dakwah Islam di rantau ini sejak dari zaman kedatangan Islam secara aman.

Meskipun umat Islam Asia Tenggara belum pernah mencipta tamadun yang gemilang seperti yang pernah dicapai oleh Bani Abbasiah yang berpusat di Baghdad, Andalusia, Uthmaniah, Mughal di India dan Safawi di Iran, namun umat Islam Asia Tenggara telah berjaya membina pembangunan secara kumulatif sejak pasca Perang Dunia Kedua. Dari segi jumlah penduduk Islam, Asia Tenggara merupakan rantau terbesar dunia Islam namun sehingga kini rantau ini masih dilihat sebagai rantau pinggiran atau periphery. Dengan kerancakan ekonomi, pembangunan sosial dan pendidikan, umat Islam rantau ini berpotensi berubah dari pinggir menjadi paksi.

Bagi Malaysia, Indonesia dan rantau ini keseluruhannya menjadi paksi kepada dunia Islam kita perlu memberikan keutamaan kepada membangun demokrasi yang menyelesaikan masalah rakyat, melaksanakan pembangunan berkualiti, membina institusi-institusi pendidikan dan penyelidikan untuk melahirkan insan berilmu dan berketrampilan. Negara majoriti Islam rantau ini perlu memupuk muafakat moral untuk memainkan peranan yang bermakna dalam isu-isu antarabangsa, persoalan perdamaian dan penghapusan konflik.

Namun keberkesanan peranan negara seperti Malaysia dalam arena antarabangsa amat bergantung kepada modal moral yang kita miliki. Modal ini diperolehi melalui demokrasi yang telus dan kewibawaan pemimpin negara yang bebas dari tohmahan rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Justeru itu, rakyat perlu bangkit untuk menuntut reformasi institusi-institusi negara dan membersihkan negara dari pemimpin rasuah. Hanya dengan cara ini kita boleh mengembalikan maruah negara dan memiliki kekuatan moral untuk memainkan peranan di pentas dunia.

Di kesempatan ini, mengambil kesempatan Ramadhan Al-Mubarak saya ingin mengumumkan bahawa Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan telah berjaya memuktamadkan Penstrukturan Semula Industri Air Selangor dengan termeterainya Perjanjian Tambahan di antara kedua-dua Kerajaan Negeri dan Persekutuan menerusi Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) pada 10 Julai 2015. Perjanjian ini merupakan satu mercutanda yang akan memastikan kelangsungan kepada ekonomi dan sosial rakyat Negeri Selangor.

Perjanjian ini sangat penting kerana air merupakan talian hayat kepada kehidupan rakyat dan industri. Mereka, penghuni rumah dan pengguna industri, berhak menerima bekalan air berkualiti dan tanpa gangguan. Sebagai negeri yang paling pesat membangun, Selangor menghadapi peningkatan cabaran dalam membekalkan air akibat peningkatan penduduk dan kepesatan pembangunan industri. Dengan perjanjian ini, Selangor akan mengambil alih keseluruhan industri air di Selangor untuk manfaat rakyat.

Akhirnya, setelah menjalani tarbiah Ramadhan selama sebulan saya mendoakan Allah SWT memberikan kita kekuatan dan keikhlasan untuk melipatgandakan usaha dan amal yang membawa kemakmuran kepada semua. Setelah menjalani Jihad Al-Akbar marilah kita merayakan fitrah insani yang dipenuhi dengan sifat-sifat kemuliaan yang dikurniakan Allah SWT.

Eid Mubarak.

MOHAMED AZMIN ALI