Perutusan Hari Kemerdekaan 2014

30 OGOS 2014

Tarikh keramat 31 Ogos membawa kita merenungi kembali makna kemerdekaan. Tahun ini, kemerdekaan kita berusia 57 tahun. Secara relatif, masih muda jika dibandingkan dengan Amerika Syarikat yang merdeka pada tahun 1776.

Namun begitu, usia muda bukan alasan untuk kita mengabaikan tanggungjawab sebagai rakyat untuk terus memperkukuh asas kenegaraan yang telah dibina selama ini. Tatkala kita bersyukur ke hadrat Allah SWT atas kurniaan kemerdekaan ini, wajarlah kita menghayati kembali pesan Dato’ Seri Anwar Ibrahim ketika Amanat Pimpinan KEADILAN 2009 yang menekankan kepentingan Sistem Demokrasi Berparlimen, Raja Berperlembagaan dan Institusi Raja – Raja Melayu. Dato’ Seri Anwar mengungkapkan bahawa isu raja-raja Melayu perlu ditangani dengan sikap sederhana dan berhikmah tetapi tegas.

Dalam konteks ini tiga sikap terhadap raja perlu dibentangkan ; pertama sikap Hang Tuah yang setia membuta tuli, kedua sikap Hang Jebat yang menderhaka dan menumpahkan darah rakyat yang tidak berdosa, manakala di antara keduanya adalah Bendahara Paduka Raja, yang setia lagi bijaksana.

Pendirian Bendahara Paduka Raja boleh dibandingkan dengan pendirian Edmund Burke yang berdepan dengan Revolusi Perancis, dan Hang Jebat pula sebagai seorang Jacobin. Kesetiaan serta kebijaksanaan Bendahara Paduka Raja menjamin keutuhan institusi kenegaraan dan mengambil kira kebajikan rakyat negeri Melaka. Manakala sikap Hang Jebat yang seumpama Jocobin itu berkobar – kobar ibarat pendekar dan tidak bertanggungjawab menumpahkan darah rakyat. Pendirian Jebat dan Jacobin haruslah kita elak kerana kita tidak mahu Reign of Terror bermaharajalela.

Reformasi yang dicita – citakan KEADILAN senantiasa mengambil iktibar dari Revolusi Gemilang Inggeris; perubahan demi kesejahteraan rakyat. Amanah dan mandat rakyat harus di pelihara sebagai tanggungjawab demi kemakmuran negara.

Ayuh lah sekalian rakyat kita memperkukuh muafakat rakyat untuk pengukuhan bangsa yang merdeka dan berdaulat, demi sebuah negara Malaysia yang gagah.

Salam perjuangan

Mohamed Azmin Ali
Timbalan Presiden KEADILAN