Tatkala bulan mengambang di bulan kesepuluh Panchangam Tamil, ianya menandakan tibanya Hari Thaipusam. Perayaan Thaipusam adalah sambutan untuk meraikan kemenangan perjuangan menegakkan kebenaran dan kebaikan mengatasi kebatilan.

Thaipusam yang menghimpunkan penganut Sanatana Dharma merupakan upacara kerohanian yang membawa mesej yang jelas tentang penyucian jiwa dan pengorbanan abadi. Sambutan ini juga adalah cultural genius yang menjadi tarikan dan menyumbang kepada perpaduan masyarakat kosmopolitan di negara ini.

Pengiktirafan Kerajaan terhadap perayaan ini menzahirkan penghormatan terhadap martabat masyarakat Hindu yang membentuk keluarga besar bangsa Malaysia. Menjadi harapan saya agar sambutan Thaipusam ini menggilap kembali tekad dan iltizam seluruh rakyat Malaysia untuk terus memperkukuh perpaduan, hidup dalam rukun harmoni, saling hormat-menghormati serta tuntas meraikan kepelbagaian.

Sesungguhnya ketabahan dan usaha yang tuntas dalam memerangi COVID-19 harus menjadi matlamat bersama demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara. Semoga Thaipusam yang akan berlangsung disambut secara sederhana dengan penuh semangat keharmonian dan muhibah.

Thaipusam Nal Valthukal!

Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali

27 Januari 2021