Perutusan YAB. Dato’ Menteri Besar Selangor Sempena Sambutan Maal Hijrah 1436h

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Alhamdulillahi Rabbil A’lamin, segala pujian dan rasa syukur ke hadrat Allah S.W.T. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. para sahabat serta ahli keluarga baginda sekalian.

Hijrah bukan sekadar satu peristiwa penting bagi umat Islam bahkan ianya satu detik yang mencorakkan sejarah dunia. Dengan berhijrah dari Mekah ke Madinah, Rasulullah S.A.W membawa umat Islam keluar daripada keadaan sebuah masyarakat yang ditindas kepada pembangunan sebuah negara. Madinah dijadikan ruang oleh Rasulullah dan para sahabat untuk menggunakan kebijaksanaan mereka untuk mencipta satu umat baru yang kemudiannya menyatukan Jazirah Arab dan kemudiannya membina satu empayar dan tamadun.

Rasulullah tidak mahu umatnya kekal dengan jumlah kecil dalam suasana ditindas. Terus kekal sebagai masyarakat yang tertindas akan melahirkan “persecution complex”, hilang inisiatif, sentiasa bersikap negatif dan sering menyalahkan orang lain. Gejala “persecution complex” ini menular luas di dunia Islam hari ini menyebabkan umat Islam tertinggal di belakang berbanding dengan Negara China, India dan Korea Selatan. Sebelum ini, dunia Islam hanya mundur berbanding dengan Barat tetapi kini dunia Islam turut terus dalam persaingan dengan negara-negara Asia. Dan umat Islam masih menyalahkan penjajahan yang telah pergi lebih setengah abad dan ketidakadilan sistem antarabangsa sebagai alasan ketertinggalan mereka.

Dengan menggali semangat Hijrah umat Islam boleh keluar dari kepompong “persecution complex” dan membina keyakinan baru sebagai peserta yang memberi sumbangan positif kepada tamadun kontemporari. Penguasan ilmu dan teknologi tentunya merupakan pra-syarat kepada penyertaan tersebut. Atas dasar inilah, Kerajaan Negeri Selangor komited untuk membuat pelaburan dalam bidang pendidikan yang akan membina modal insan untuk memberi sumbangan kepada memperkayakan tamadun dunia.

Sekian, wassalam.

MOHAMED AZMIN BIN ALI