Prestasi Ekonomi Suku Keempat 2019

KENYATAAN MEDIA
MENTERI HAL EHWAL EKONOMI

PRESTASI EKONOMI SUKU KEEMPAT 2019

Ekonomi Malaysia menyederhana pada kadar 3.6% pada suku keempat 2019. Berdasarkan pertumbuhan yang sederhana ini, pertumbuhan ekonomi bagi keseluruhan tahun 2019 adalah sebanyak 4.3%. Prestasi ekonomi Malaysia yang dicatatkan pada tahun 2019 adalah lebih baik berbanding beberapa negara serantau yang mencatat perkembangan yang lebih rendah. Trend ini juga dilihat sejajar dengan pertumbuhan negara-negara Asia yang lain. Prestasi ekonomi yang menyederhana ini secara keseluruhannya adalah berikutan prestasi ekonomi dunia yang mencatat pertumbuhan yang lebih perlahan sejajar dengan kelemahan dalam aktiviti perdagangan global.

Pertumbuhan pada suku keempat 2019 disokong oleh aktiviti permintaan dalam negeri yang terus menggalakkan, terutamanya penggunaan swasta yang berkembang sebanyak 8.1% berbanding 7.0% pada suku ketiga 2019. Pelaburan swasta juga turut mencatatkan pertumbuhan yang lebih baik, iaitu 4.2% berbanding 0.3% pada suku sebelumnya.

Dari sudut pengeluaran, pertumbuhan tersebut disumbang oleh sektor perkhidmatan, pembuatan dan pembinaan. Penyederhanaan pertumbuhan kali ini terutamanya disebabkan oleh penguncupan sektor pertanian dan perlombongan. Penguncupan sektor pertanian adalah disebabkan oleh faktor ketidaktentuan cuaca dan pengurangan penggunaan baja pada awal tahun yang telah memberi kesan kepada pengeluaran kelapa sawit. Sektor perlombongan juga mencatatkan penguncupan, namun pada kadar yang lebih baik berikutan pemulihan pengeluaran di beberapa loji yang telah ditutup sementara bagi kerja-kerja penyelenggaraan berjadual pada suku sebelum ini.

Walaupun sumbangan sektor luar semakin mengecil berikutan permintaan global yang berkurangan, namun akaun semasa imbangan pembayaran masih mencatat lebihan sebanyak RM49.7 bilion atau 3.4% kepada pendapatan negara kasar (2018: RM30.6 bilion atau 2.2%). Kedudukan rizab antarabangsa masih kukuh sebanyak RM424.1 bilion atau USD103.6 bilion mencukupi untuk membiayai 7.5 bulan import tertangguh. Pelaburan langsung asing juga turut mencatatkan aliran masuk bersih yang berterusan sebanyak RM32.8 bilion (2018: RM32.6 bilion).

Menyedari kepentingan untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat, langkah yang diambil oleh Kerajaan sebelum ini bagi mengurangkan harga petrol dan pengenalan semula cukai jualan dan perkhidmatan (SST) telah mengurangkan kadar inflasi kepada 0.7% (2018: 1.0%) dan seterusnya mendorong kepada peningkatan kuasa beli rakyat. Ini membolehkan rakyat meningkatkan perbelanjaan untuk keperluan hidup. Ini juga dapat dilihat melalui perbelanjaan dan penggunaan swasta yang tinggi. Kerajaan menyedari mengenai perkembangan ekonomi semasa yang menyederhana dan akan terus memantau bagi memastikan kebajikan rakyat tidak terjejas. Selain itu, rakyat juga mendapat manfaat berikutan 104,000 peluang pekerjaan baharu yang berjaya diwujudkan pada tahun 2019.

Prospek pertumbuhan ekonomi bagi tahun 2020 dijangka terkesan ekoran wabak Penyakit Coronavirus (COVID-19) menyebabkan berlakunya gangguan bekalan global. Antara sektor yang akan terjejas adalah industri berkaitan pelancongan, pengangkutan dan pembuatan. Bagi mengurangkan kesan negatif tersebut dan memastikan bahawa kesejahteraan rakyat terus terbela, Kerajaan sedang mengambil langkah proaktif yang boleh mempergiatkan lagi aktiviti ekonomi dalam negeri di samping terus menggalakkan eksport terutamanya produk berkaitan penjagaan kesihatan, elektrik & elektronik dan keluaran berasaskan kelapa sawit.

Pakej rangsangan ekonomi juga sedang diperincikan untuk menyokong pertumbuhan ekonomi dan pada masa yang sama memberi keutamaan kepada kesejahteraan rakyat. Kerajaan juga akan memastikan projek pembangunan yang telah diluluskan bagi tahun 2020 serta inisiatif baharu di bawah pakej rangsangan ekonomi yang akan diperkenalkan pada penghujung Februari 2020 dapat dilaksanakan dengan segera. Selain itu, langkah Kerajaan untuk mengurangkan kadar tol dan memastikan harga petrol yang stabil akan membantu meringankan beban sara hidup rakyat di samping memperkukuhkan pelancongan domestik. Tambahan pula, Bank Negara Malaysia telah mengurangkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) kepada 2.75% pada 22 Januari 2020 yang turut akan menyokong pertumbuhan ekonomi dalam negeri agar terus berkembang.

Kerajaan akan terus memantau perkembangan semasa bagi memastikan pertumbuhan ekonomi kekal kukuh di samping menjamin keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan rakyat.

DATO’ SERI MOHAMED AZMIN ALI
Menteri Hal Ehwal Ekonomi

13 Februari 2020

Leave a comment