Raja Berjiwa Rakyat

Iftar bersama DYMM Sultan Selangor

klik sini untuk galeri gambar

Tuanku Sultan Selangor baru sahaja berangkat balik dari Majlis Berbuka Puasa dan Penyampaian Sumbangan Hari Raya untuk fakir miskin dan anak-anak yatim dalam Parlimen Gombak. Atas sifat Ahli Parlimen Gombak, saya turut menyambut keberangkatan Tuanku dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah ke majlis ini yang disempurnakan di Masjid Al Syakirin, Batu 6 Jalan Gombak. Turut hadir ialah YAB Dato’ Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim, pemimpin-pemimpin masyarakat, pegawai-pegawai kanan kerajaan negeri dan ketua-ketua jabatan serta lebih 1,000 rakyat Gombak. Tuanku Sultan bersama-sama umat Islam menyempurnakan 20 rakaat Solat Tarawikh dan disusuli dengan Solat Witir dan kemudian berangkat ke majlis morei.

Tuanku Sultan sempat bertitah kepada saya sejurus sebelum Solat Isya’ tentang pembangunan umat Islam di daerah Gombak. Saya turut memaklumkan kepada Tuanku Sultan tentang perbincangan saya baru-baru ini dengan Persatuan Kebajikan Gombak Setia ( PKGS ) untuk memelihara kepentingan dan masa depan hartanah orang-orang Melayu dan umat Islam di Gombak Setia.

Pada majlis ini, Tuanku telah berkenan untuk menyampaikan sumbangan Hari Raya kepada lebih 200 penerima di kalangan fakir miskin dan anak-anak yatim dalam Parlimen Gombak. Sesungguhnya zakat itu adalah tuntutan Allah SWT ke atas umat Islam demi kepatuhan dan ketaqwaan kita kepadaNya.

Pada kesempatan ini, saya ingin menyeru kepada mereka yang berkemampuan untuk membayar zakat dan menyumbang kepada yang memerlukan pembelaan. Semoga Allah SWT akan terus menyuburkan perniagaan mereka dan semoga dimurahkan rezeki para dermawan dan pembayar zakat.

Bagi pihak seluruh rakyat Gombak, saya menjunjung kasih di atas limpah perkenan Tuanku untuk mencemar duli dan berangkat ke majlis yang murni ini untuk bersama-sama dengan rakyat dalam Parlimen Gombak.

AZMIN ALI

Comments: 11

Comments are closed.