Ribuan Ahli Pas, Umno Hadir Beri Sokongan

Pekan kecil Manek Urai pagi ini bertukar wajah apabila ribuan penyokong PAS dan Umno
mengiringi calon masing-masing ke pusat penamaan calon bagi pilihanraya kecil DUN
kawasan tersebut pagi ini.

Walaupun proses penamaan calon itu hanya bermula jam 9 pagi, tetapi penyokong kedua
belah pihak sudah mula berkumpul seawal jam 7 pagi sebelum berarak ke pusat penamaan
calon di SMK Sultan Yahya Petra 1.

Penyokong Umno berhimpun di ibu pejabat parti itu di Kuala Krai sambil memukul gendang
dan gong tradisional Kelantan mengikut rentak dikir barat, sementara menunggu ketibaan
pemimpin mereka.

Pertama tiba di situ ialah pengerusi badan perhubungan Umno Kelantan, Datuk Mustapa
Mohamed. Setiausaha Agung Umno, Datuk Tengku Adnan Mansor turut hadir untuk memantau
persiapan untuk proses penamaan calon.

Pada jam 8.30 pagi, kira-kira 2,000 penyokong Umno sudah bersedia untuk
mula berarak ke pusat penamaan calon.

Hadir mengiringi calon Umno – Tuan Aziz Tuan Mat, 39 – ialah Timbalan Presiden Umno,
Tan Sri Muhyiddin Yassin; Naib Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Datuk
Mohd Shafie Apdal, serta Ketua Pemuda dan Wanita Umno – Khairy Jamaluddin dan Datuk
Shahrizat Abdul Jalil.

Sementara kira-kira 2,000 penyokong PAS pula mula berhimpun di persimpangan Jalan
Kuala Krai pada kira-kira jam 7 pagi.

Dan ketika parti itu mengadakan sembahyang hajat di Masjid Al-Jauhar, jumlah penyokong
PAS sudah bertambah kepada hampir 10,000 orang

Dengan diketuai oleh Mursyidul Am PAS yang juga menteri besar Kelantan, Datuk Nik
Aziz Nik Mat, mereka mula berarak mengiringi calon PAS – Mohd Fauzi Abdullah, 50 –
ke pusat penamaan calon pada kira-kira jam 8.10 pagi.

SMK Sultan Yahya Petra 1 terletak sejauh kira-kira 1.4 km.