Rumah Selangorku Terus Mendapat Sambutan Rakyat

TEKS UCAPAN YAB MOHAMED AZMIN ALI DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR MAJLIS PECAH TANAH DAN PELANCARAN PROJEK RUMAH MAMPU MILIK / RUMAH SELANGORKU KAMPUNG JAWA, KLANG

18 APRIL 2015

Yang Berhormat Dato’ Noordin Bin Sulaiman,
Pegawai Kewangan Negeri Selangor ;

Yang Berhormat Dato’ Iskandar Bin Abdul Samad,
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar ;

Ahli – Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri ;

Yang Berbahagia Tuan Haji Azlan Md Alifiah,
Pengurus Besar PKNS merangkap Ahli Lembaga Pengarah Selaman Sdn Bhd ;

Yang Berusaha Puan Nor Azrina Dato’ Azlan,
Ahli Lembaga Pengarah Selaman Sdn Bhd ;

Yang Berusaha Encik Dzulkarnain Bin Ahmad,
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Selaman Sdn Bhd ;

Yang Berusaha Puan Norzaton Aini Binti Mohd Kassim,
Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor ;

Yang Berbahagia Dato’ Mohamad Bin Yacob,
Yang Di Pertua Majlis Perbandaran Klang ;

Yang Berusaha Tuan Haji Mohd Zainal Bin Mohd Nor,
Pegawai Daerah Klang ;

Yang Berhormat Ahli – Ahli Dewan Negeri Selangor & Parlimen ;

Ahli – Ahli Majlis dan pimpinan masyarakat, seterusnya saudara saudari sekalian.

1. Alhamdulillah, bersyukur kerana pada pagi ini, kita dapat bersama – sama berhimpun dan memberi dukungan kepada salah sebuah anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), iaitu Selaman Sdn Bhd untuk membangunkan perumahan mampu milik sekaligus merealisasikan gagasan ‘Pembangunan Berkualiti, Rakyat Dipeduli’.

2. Dalam usaha kita mencapai sasaran pembinaan 15,000 unit rumah mampu milik dalam tempoh 3 tahun, penyertaan syarikat milik Kerajaan Negeri khususnya PKNS seharusnya terus digalakkan. Sehingga hari ini, Kerajaan Negeri bersama pemaju hartanah swasta telah memberikan komitmen untuk membina sejumlah 7,089 unit rumah mampu milik yang bermula awal tahun 2015. Ini membuktikan dasar perumahan mampu milik Kerajaan Negeri Selangor menepati keperluan rakyat hari ini.

3. Perkara ini disahkan oleh Laporan Pasaran Hartanah yang terbaru dikeluarkan oleh National Property Information Centre (NAPIC) minggu lalu di mana Negeri Selangor telah diisytiharkan sebagai pendahulu pembangunan segmen kediaman dalam industri hartanah dengan sumbangan 25% kepada pasaran. Laporan ini turut menunjukkan permintaan rumah mampu milik semakin meningkat. Pembangunan rumah mampu milik ini telah menyumbang 84% jualan dalam sektor hartanah.

4. Sebagai sebuah negeri maju yang menyaksikan pembangunan yang pesat, kita berdepan dengan cabaran kehidupan di bandar. Kadar jenayah semakin meningkat. Kawasan lapang yang hijau semakin berkurangan telah mengekang aktiviti sosial dan riadah. Sistem pengangkutan awam yang tidak bersepadu dan masih rendah menyebabkan tiada connectivity dan memisahkan serta mengurangkan interaksi komuniti (reducing community interaction within neighbourhood).

5. Kehidupan di bandar semakin tidak efisyen dan tidak sustainable. Fenomena baru iaitu kemiskinan bandar perlu ditangani segera. Kita perlukan idea baru bagaimana mensejahterakan kehidupan di bandar. Perumahan sering dikaitkan dengan bandar (new township).

6. Model pembangunan perumahan semakin mencabar. Keperluan visi baru untuk menyediakan perumahan bagi generasi akan datang dengan rekabentuk baru untuk memenuhi citarasa dan permintaan masyarakat hari ini termasuk lokasi yang convenience dan kemudahan pengangkutan awam. Kita perlu menawarkan a democratic and prosperous community living that is affordable for all. Maka harga yang berkemampuan dan kemudahan pinjaman adalah cabaran utama yang perlu diambil kira untuk menjayakan program perumahan mampu milik.

7. Kemudahan yang satu ketika dulu hanya dinikmati oleh golongan kaya seperti keluasan yang selesa (sekurang – kuranya 3 bilik tidur), kolam renang, perpustakaan awam, taman permainan perlu disediakan dalam konsep baru pembangunan mampu milik. Usaha ini akan membina visi baru for the affordable township of the future.

8. Demi menjamin mutu kehidupan yang lebih kondusif dan berkualiti, Kerajaan Negeri ingin mengesyorkan kepada pemaju – pemaju hartanah supaya lebih kreatif dan berinovasi dalam perancangan dan pembangunan rumah mampu milik dengan menumpukan ciri – ciri reka bentuk (convergence of design), kos yang efektif dan inovasi kewangan bagi mencapai kemampanan (sustainable development) dalam menyediakan perumahan yang selesa dan berkualiti.

9. Kita juga mahu perumahan rakyat yang dibangunkan memiliki kemudahan infrastruktur yang lengkap dan sempurna dengan perancangan yang holistik. Setiap perancangan untuk membangun perumahan harus juga mengambil kira perubahan cuaca global yang memerlukan sistem saliran yang baik dan berfungsi. Perancangan yang holistik ini akan memastikan kehidupan bermasyarakat yang lebih harmoni dan sejahtera.

10. Kita tidak mahu membangun rumah ‘sangkar merpati’ yang tidak memberikan keselesaan buat rakyat. Kita mahu pembangunan perumahan ini mengambil kira soal kemudahan dan prasarana yang mesra komuniti seperti kemudahan tempat letak kereta, jogging track, taman hijau serta ruang kemudahan child care centre untuk menjamin persekitaran yang kondusif dan kehidupan yang berkualiti.

11. Istilah mampu milik yang dikaitkan dengan kualiti rumah yang rendah, kemudahan yang tidak dilengkapi dengan penyelenggaraan yang baik, pembinaan yang tidak berkualiti perlu dikikis dalam persepsi awam.

12. Kerajaan Negeri sedar jumlah permintaan perumahan mampu milik yang begitu tinggi di Lembah Klang. Kos sara hidup yang tinggi menyebabkan permintaan rumah mampu milik bukan sahaja semakin mendesak dikalangan yang berpendapatan rendah tetapi juga dikalangan kelas menengah. Keluarga muda dan graduan muda bercita – cita memiliki rumah sendiri mendapati harga semakin mahal. Untuk maksud itu, Kerajaan Negeri akan membangunkan tanah – tanah rezab Melayu di Negeri Selangor untuk tujuan perumahan mampu milik yang sekaligus akan menaikkan nilai hartanah tanah rezab Melayu di Negeri Selangor.

13. Selain itu, pembinaan rumah mampu milik adalah ikhtiyar Kerajaan Negeri untuk menjana aset rakyat; sebagai wealth creation (penciptaan kekayaan). Industri hartanah mempunyai potensi pelaburan yang tinggi untuk mempertingkat kualiti hidup rakyat. Pegangan aset rakyat melalui pelaburan sebegini akan turut sama mempertingkatkan taraf hidup rakyat sekaligus membasmi kemiskinan di Negeri Selangor.

14. Kerajaan Negeri berharap lebih banyak pemaju swasta termasuk pemaju hartanah bumiputera yang akan mengambil peluang ini untuk bersama – sama terlibat dalam program perumahan mampu milik secara besar – besaran di Negeri Selangor. Bagi menarik lebih ramai pemaju hartanah menjalinkan perkongsian bijak (smart partnership) dengan Kerajaan Negeri, Skim Insentif Galakan Rumah Selangorku 2015 telahpun dilancarkan dengan menawarkan :

a. Bayaran premium tanah pada kadar 10% ;
b. Pengecualian caj pemajuan ;
c. Pertimbangan penambahan kepadatan (density) sehingga 120 unit per ekar ;
d. Kelulusan segera (fast track) bagi proses yang melibatkan agensi Kerajaan.

15. Skim ini telah menarik minat 38 projek oleh pemaju swasta yang meliputi lebih 13,000 unit Rumah Selangorku.

16. Pada pagi ini, Kerajaan Negeri berbangga dengan inisiatif Selaman Sdn Bhd dan PKNS untuk mendukung program pembangunan 84 unit Rumah Selangorku di Kampung Jawa, Klang. Kita mengharapkan agar ikhtiyar ini diteruskan demi merealisasikan hasrat dan impian rakyat untuk memiliki kediaman yang selesa dan sempurna.

17. Maka dengan lafaz , marilah kita bersama – sama menyempurnakan Majlis Pecah Tanah dan Pelancaran Rumah Selangorku di Kampung Jawa, Klang.