Selangor bina rumah mampu milik, tanding rumah ‘mampu tengok’ PR1MA

Selangor merancang membina rumah mampu milik berharga antara RM100,000 dan RM220,000 bagi memberi kelegaan kepada rakyat memandangkan projek kerajaan persekutuan Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) dianggap gagal.

Menteri Besar Mohamed Azmin Ali berkata, selain hakikat yang sehingga kini tiada satu pun unit rumah di bawah PR1MA yang dapat dilihat, harganya yang mencecah RM400,000 seunit disifatkan hanya sebagai rumah “mampu tengok”.

“PR1MA mana dia? Sasaran 80,000 (unit rumah), tidak ada pun.

“Dia (kerajaan pusat) beli projek rumah yang dibina daripada sektor komersial. Kerana itu mereka tidak boleh jual rumah mampu milik dan itulah kebimbangan terbesar kita,” katanya kepada media selepas merasmikan program bersama penjawat awam daerah Hulu Langat di Hulu Selangor hari ini.

Katanya, tidak seperti kerajaan pusat, kerajaan negeri berkelebihan mengusahakan projek rumah mampu milik dengan kos yang rendah kerana ia mempunyai tanah sendiri.

Timbalan presiden PKR itu juga memberi jaminan yang kerajaan negeri akan dapat mengekalkan harga rumah mampu milik pada kadar yang ditetapkan walaupun dengan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) April depan.

Katanya, kerajaan negeri mensasarkan pembinaan 15,000 unit rumah mampu milik dalam tempoh 2 atau 3 tahun dan akan memberi tumpuan kepada kawasan bandar dan lokasi berdekatan kemudahan pengangkutan awam.

“Perumahan kita akan ditempatkan di kawasan strategik seperti di bandar dan dekat dengan pengangkutan awam. Jika tidak, ia tersasar daripada matlamatnya,” katanya.

Azmin berkata, beberapa pemaju sudah tampil menyatakan kesediaan terbabit dalam projek itu dan permohonan mereka mendapatkan kebenaran membina daripada kerajaan tempatan akan dipertimbangkan.

Azmin berkata kebenaran membina yang dikeluarkan akan membolehkan kerajaan negeri berada di landasan yang disasarkan bagi membolehkan semua rumah mampu milik dapat disiapkan menjelang 2018.

“Pemaju harus mula membina rumah pada 2015, atau mereka tidak akan dapat menerima insentif daripada kerajaan negeri,” katanya.

Antara insentif yang ditawarkan kerajaan negeri kepada pemaju termasuk pengurangan bayaran premium tanah bagi kebenaran serta merta membina rumah. – 12 Disember, 2014.

– See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/selangor-bina-rumah-mampu-milik-tanding-rumah-mampu-tengok-pr1ma-kata-azmin#sthash.MjMRGIDK.dpuf