Selangor Cyber Valley pemangkin bandar pintar

Sumber : Selangorku.com

SHAH ALAM, 25 FEB: Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menyarankan Selangor Cyber Valley yang dijenamakan semula oleh Perbandanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dibangunkan dengan elemen ‘internet on things’.

Katanya, elemen itu selaras dengan gagasan Smart Selangor seterusnya menarik pelaburan baru.

“Keputusan PKNS ini sangat bertepatan kerana hari ini kita hadapi cabaran getir dan ia memerlukan kepimpinan tegas dan berani untuk bawa perubahan dengan idea baru dan bukan sekadar memperkukuhkan imej PKNS.

“Saya yakin kawasan ini akan menjadi mercu tanda kepada Selangor dengan memastikan pembangunan kawasan ini akan merangkumi ciri-ciri sebuah smart city kerana lokasi strategik berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan pelabuhan antarabangsa Westport,” katanya di Majlis Penjenamaan Semula Taman Sains Selangor 2, di SACC, di sini.

Mohamed Azmin berkata pembangunan Cyber Valley itu juga harus mempunyai lokaliti, kedudukan fizikal dan ciri-ciri unik secara holistik dengan dunia cyber masa kini.

“Jarang sekali kita lihat aplikasi ‘internet on things’ dan pembangunan smart city serta smart state sebagai satu pendekatan baru yang akhirnya dapat menjamin kesejahteraan dan kemakmuran sebuah komuniti,” katanya.

Beliau turut memuji usaha PKNS dalam usaha mencari peluang baru menambah pendapatan pelaburan untuk negeri.

“Selama ini kita terlalu bergantung pada pengurusan tanah sebagai sumber utama pendapatan negeri dan sudah tentu pendekatan ini tidak kekal dalam keadaan pembangunan di negeri Selangor.

“Sudah menjadi tanggungjawab semua pihak sedaya upaya mencari sumber baru dengan menggunakan pendekatan ‘internet on things’,” katanya.