Sembah Ucapan Tahniah di Istiadat Menjunjung Duli sempena Pemasyhuran Gelaran DYTM Raja Muda

Menghadap

Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj,
Sultan dan Yang DiPertuan Negeri Selangor Darul Ehsan serta segala daerah takluknya ;

dan

Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor,
Tengku Permaisuri Norashikin.

Ampun Tuanku,

Mewakili sekalian rakyat jelata, patik menyusun jari sepuluh, merafak sembah taat setia dan menjunjung kasih ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku dan Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor bersempena Istiadat Menjunjung Duli sempena Pemasyhuran Gelaran Duli Yang Teramat Mulia Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj sebagai Raja Muda Selangor.

Patik sekalian berdoa semoga Duli Yang Maha Mulia Tuanku dan Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor dilanjutkan usia dalam kesihatan dan keafiatan, untuk terus bersemayam di atas takhta Negeri Selangor Darul Ehsan.

Tatkala kota megah dibina,
Jadi mashyur tiada perinya;
Permaisuri sudah di singgahsana,
Balairong ini tambah serinya.

Ampun Tuanku,

Patik memohon limpah keizinan dan perkenan Tuanku untuk patik menyampaikan Sembah Ucapan Tahniah mewakili sekalian rakyat bersempena Istiadat Menjunjung Duli sempena Pemasyhuran Gelaran Duli Yang Teramat Mulia Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj sebagai Raja Muda Selangor.

Menghadap

Duli Yang Teramat Mulia Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj,
Raja Muda Selangor.

Putera muda bijak bistari,
Segak pula duduk di depan;
Raja Muda cahaya negeri,
Lembayung bangsa di masa hadapan.

‘Waris negeri’ kebanggaan rakyat jelata,
Elok kampung ada tuanya,
Elok negeri ada warisnya.

‘Waris negeri’ sepantun pohon,
Rimbun daunnya bakal tempat berteduh,
Kuat dahannya bakal tempat bergantung,
Yang dikukuhkan dengan adatnya,
Adat yang turun dan berkembang,
Adat yang diikat dengan syarak,
Adat bertalikan Kitabullah.

Hampir lima dekad yang lalu, sejarah merakamkan Istiadat Mengangkat Sumpah dan Menjunjung Duli seorang Raja Muda yang hari ini telah pun bersemayam sebagai Sultan dan Yang DiPertuan Negeri Selangor Darul Ehsan.

Hari ini sangat bersejarah dan penuh gilang gemilang. Kita menyaksikan sekali lagi Istiadat Menjunjung Duli sempena Pemasyhuran Gelaran Duli Yang Teramat Mulia Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj sebagai Raja Muda Selangor ke 7 yang mewarisi Takhta Kesultanan Selangor.

Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan telah mengasuh seorang putera dengan penuh kasih sayang, mendidik dengan penuh hikmah serta mengajar supaya tertib dan berakhlak mulia.

Sesungguhnya, ia terpancar pada raut dan budi pekerti Raja Muda. Dari mana datangnya buah kalau tidak dari pohonnya; dari mana datang azimat kalau tidak dari gurunya; ke mana turunnya daulat, dari raja kepada puteranya.

Patik sekalian amat kagum dengan keperibadian Tuanku yang cekal menjalani latihan lasak ketenteraan di Royal Military Academy Sandhurst yang menjadi idaman Tuanku sejak remaja.

Di sana, Tuanku menjalin persahabatan sejati dengan pegawai-pegawai kadet dari tanah air. Ikatan ini Tuanku namakan ‘Skuad Malaya’. Meskipun berlatih di bumi asing, Tuanku tidak pernah lupa dan tercabut dari akar dan kesetiaan tulen terhadap Angkatan Tentera Malaysia. Sesungguhnya, Tuanku telah menghayati kata-kata pujangga: Hubbul Watan Minal Iman – Cintakan tanah air sebahagian dari iman.

Akademi tersohor ini telah melahirkan seorang graduan yang memiliki kemahiran dan kepakaran ilmu ketenteraan, berdisiplin tinggi dan memiliki daya ketahanan fizikal dan mental.

Semasa latihan, Tuanku ditusuk hingga ke tulang oleh kedinginan musim sejuk. Ini menzahirkan ciri-ciri kelasakan fizikal dan kekuatan emosi. Tuanku telah menyelami kelemahan diri sebagai langkah membina kekuatan untuk menjadi pegawai dan pemimpin yang wibawa.

Inilah hikmah dan kebesaran sikap tawadhu’ atau humility yang dimiliki oleh Tuanku seperti yang diungkapkan oleh penyair T. S. Eliot:

“The only wisdom we can hope to acquire
Is the wisdom of humility: humility is endless.”

Ciri-ciri kepahlawanan ini sememangnya merupakan tradisi dan jati diri yang mengalir dalam darah leluhur yang membangun kerajaan, mencipta keteraturan dan sistem pemerintahan di seantero rantau Nusantara.

Hasilnya, ketrampilan Tuanku jelas membuktikan bahawa Tuanku menepati ciri-ciri seorang pemimpin yang berupaya menilik benih zaman, mana yang tumbuh dan mana yang sambang.

Patik berbangga di atas pentauliahan Tuanku sebagai Pegawai Tentera dalam Rejimen Askar Melayu DiRaja di Kem Terendak, Melaka; kem yang sama patik pernah berkhidmat sebagai guru matematik untuk anak-anak perajurit di Maktab Rendah Sains MARA, Terendak.

Tuanku mesra menyantuni sekalian rakyat jelata; ular menyusur akar, tidak akan hilang bisanya; laksana kata pendita, berlian di dalam gelap, tetap memancar sinarnya.

Patik tersentuh dengan kesudian Tuanku mencemar Duli untuk mendampingi rakyat dalam pelbagai acara seperti program Ihya’ Ramadhan untuk menyemarakkan Islam sebagai rahmatan lil alamin; dan aktiviti sukan demi melahirkan generasi masa hadapan yang sihat, cerdas dan gagah. Di mana gahnya seorang putera, kalau tidak dikelilingi segala pengiring nan perkasa.

Patik dan sekalian rakyat ingin menyembah taat setia ke atas Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor dan memperbaharui ikrar mempertahankan institusi Raja Berperlembagaan. Selagi ada bulan dan matahari, begitulah kesetiaan rakyat kepada Raja dan Negara kekal abadi.

Institusi Raja Melayu bagaikan sauh, agar bahtera bangsa tidak dihanyutkan oleh taufan dan badai. Raja dan rakyat berpisah tiada. Institusi Raja Berperlembagaan adalah payung kestabilan dan kemakmuran Negeri Selangor untuk kekal sebagai sebuah negeri maju yang peduli rakyat.

Daeng berlima dari Makassar,
Di Tanah Melayu membuka negeri,
Menjadi raja membangun bangsa;
Gagah pertiwi menjadi besar,
Kasihnya rakyat tiada terperi,
Daulatlah raja sepanjang masa.

Ampun Tuanku,

Akhirul kalam, patik dan sekalian rakyat memohon ke hadrat Allah SWT semoga Duli Yang Maha Mulia Tuanku dan Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor dikurniakan kesihatan, dipelihara keselamatan dan kesejahteraan yang berpanjangan supaya dapat terus memerintah Negeri Selangor Darul Ehsan dengan segala kemuliaan.

Doa sekalian rakyat juga dipanjatkan ke hadrat Allah SWT untuk Duli Yang Teramat Mulia Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, Raja Muda Selangor dan seterusnya kepada puteri – puteri dan adinda – adinda Tuanku, waris – waris serta kerabat DiRaja sekalian, semoga berada dalam keadaan kesejahteraan, dikurniakan taufik dan hidayah, serta senantiasa dalam perlindungan Allah SWT.

Ampun Tuanku.