Serangan terhadap bas ‘Jelajah Merdeka Rakyat’ tidak gugat jelajah PKR

Dari The Malaysian Insider

image
Bas Merdeka Rakyat

PETALING JAYA, 1 Sept — Walaupun bas “Jelajah Merdeka Rakyat” diserang dengan batu dan disimbah cat merah, PKR hari ini menegaskan akan terus melakukan siri jelajah tersebut seperti yang dirancang.
Timbalan presidennya, Azmin Ali menegaskan, tindakan serangan itu tidak akan membantutkan usaha PKR untuk menyampaikan mesej reformasi di seluruh negara.

“Jika tujuan serangan ini untuk menyekat kempen jelajah Datuk Seri Anwar Ibrahim, ia sedikit pun tidak menggugat nekad kami untuk turun menyampaikan mesej reformasi di seluruh pelosok negara.

“Beliau (Anwar) akan meneruskan kempen ke Kedah, Perak, dan Perlis hari ini hingga Ahad menggunakan bas yang sama selepas siasatan pihak polis terhadap bas itu selesai,” kata Azmin ketika sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini.

Bas berkenaan telah diserang di Pasar Siti Khadijah, apabila ia di letakkan di lokasi itu untuk program awal pagi ini iaitu program pertemuan ketua pembangkang itu dengan pengunjung pasar berkenaan sekitar jam 4.20 pagi di dan disedari oleh petugas KeadilanEventSpecialist yang tidur di dalam bas apabila dikejutkan dengan bunyi kuat.

Berdasarkan pemeriksaan, mereka mendapati cermin bas pecah di bahagian sisi hadapan pemandu akibat dilempar beberapa ketul bata simen dan kantung plastik berisi cat merah turut dilempar di bahagian pemandu bas berkenaan.

“Serangan yang dibuat memang mensasarkan bahagian pemandu. Saya berani menyimpulkan bahawa serangan ini dirancang agar bahagian pemandu rosak dan menghalang bas ini meneruskan perjalanan dan membantutkan program ini,” kata ahli parlimen Gombak ini lagi.

Sehubungan itu, PKR mendesak Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan pihak polis mengambil tanggungjawab penuh terhadap insiden ini, namun Azmin enggan membuat spekulasi pihak yang bertanggungjawab dalam insiden serangan tersebut.

Malah, Azmin juga menggesa rakyat agar menghukum parti politik yang menaungi budaya samseng seperti ini.

“Saya yakin, kali ini pun rakyat tidak mendapat sebarang maklum balas dari Datuk Seri Najib Razak dan siasatan polis tidak akan membuahkan tindakan keras terhadap kaki samseng yang terlibat.

“Ia seolah-olah satu rangsangan terus dari Najib kepada samseng lain untuk terus berlaku kasar terhadap mengancam keselamatan pimpinan utama PKR dan Pakatan Rakyat (PR),” katanya lagi.

Azmin turut menjangkakan insiden keganasan dan serangan akan meningkat dengan pilihan raya umum ke-13 dijangka berlaku tidak lama lagi dan beliau turut menyeru penyokong PKR dan rakyat untuk menolak budaya samseng ini dengan menolak Umno dan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya akan datang.

“Saya yakin serangan akan meningkat dan PKR akan bersama-sama rakyat menolak budaya samseng ini dengan menumpaskan Umno BN.”

Turut difahamkan, petugas PKR hanya membersihkan cat di cermin bas tersebut dan bas #jelajahmerdekarakyat itu akan meneruskan perjalanan dalam keadaan cermin yang retak memandangkan cermin berkenaan memerlukan tempoh seminggu untuk ditempah.

Bas berkenaan telah pun selesai menjalani siasatan pihak polis dan telah memulakan perjalanan, dan Anwar  dijangka akan bertemu petugas bas berkenaan di Grik, Perak.

Berkenaan permit penumpang bas terbabit, Azmin menjelaskan PKR telah pun memohon permit berkenaan sejak seminggu yang lalu kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) namun pihaknya masih lagi belum menerima sebarang maklum balas berhubung perkara itu.

“Kami berharap pihak bertanggungjawab dan berwajib dapat memberikan permit secara adil kepada kami.

“Apa-apa pun kita akan teruskan menggunakan bas itu untuk program jelajah kami,” tambahnya.

One comment

  • […] Link Tagged Ahad, Azmin Ali, Bata Simen, Bunyi, Cermin, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Gombak, gugat, Hari Ini, Kedah, Merdeka, Mesej, Perak, Perlis, Petaling Jaya, Pkr, Rakyat, Reformasi, Rosak, Serangan, Seri Anwar Ibrahim, Siri, Terhadap, tidak, Tidak Akan, Tidur, ‘Jelajah. Bookmark the permalink. « Where will the money come from? […]

  • Comments are closed.