Siaran Media – Industri dan aktiviti ekonomi di Klang boleh terus beroperasi

Mesyuarat Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) ke-22 secara maya yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri pagi ini telah membincangkan secara khusus isu penularan pandemik COVID-19 termasuk situasi kes-kes COVID-19 terbaru di Daerah Klang.

Saya telah melaporkan kepada Sidang MKN mengenai hasil perbincangan saya awal pagi ini dengan Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Dato’ Indera Dr. Sha’ari Ngadiman berhubung situasi kesihatan di Daerah Klang dan langkah-langkah proaktif yang telah dilaksanakan oleh Jabatan Kesihatan Negeri untuk membendung penularan COVID-19 di Negeri Selangor. Sidang MKN telah memberi perhatian dan mengambil maklum tentang perkembangan dan situasi semasa termasuk maklum balas yang diterima daripada persatuan-persatuan industri dan dewan-dewan perniagaan tempatan dan antarabangsa.

Negeri Selangor menyumbang 24 peratus kepada keseluruhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia dan 30 peratus daripada keseluruhan sektor pembuatan negara. Daripada aspek pasaran buruh, terdapat hampir 3.5 juta pekerja di Selangor iaitu 23.2 peratus daripada jumlah keseluruhan tenaga buruh negara.

Daerah Klang merupakan pusat aktiviti perindustrian yang besar serta merupakan hab utama bagi pelabuhan kontena di Malaysia, dengan sumbangan aktiviti perdagangan di Pelabuhan Klang melebihi RM400 bilion pada tahun 2019.

Justeru, setelah mempertimbangkan situasi kesihatan semasa di Daerah Klang dan kepentingan menjamin kemampanan ekonomi, Sidang MKN hari ini telah memutuskan untuk membenarkan semua sektor ekonomi di Daerah Klang untuk terus beroperasi seperti biasa dengan pematuhan ketat kepada Prosidur Operasi Standard (SOP). Pihak berkuasa diarah untuk meningkatkan penguatkuasaan pematuhan SOP untuk menjamin keselamatan pekerja-pekerja dan rakyat di Daerah Klang.

Kerajaan menyedari bahawa syarikat dan industri termasuk Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) telah melabur untuk mewujudkan kemudahan dan langkah-langkah keselamatan dan protokol kesihatan tambahan di premis pekerjaan masing-masing semenjak Kerajaan membuka semula operasi sektor ekonomi pada awal Mei 2020.

Sehubungan ini, MITI ingin mengingatkan bahawa syarikat-syarikat dan industri yang berkaitan WAJIB mematuhi SOP yang ditetapkan. Kegagalan syarikat untuk berbuat demikian boleh mengakibatkan operasi diberhentikan serta merta dan berdepan dengan tindakan undang-undang mengikut akta dan peraturan semasa.

Keputusan Kerajaan ini mengambil kira keperluan untuk mengimbangi perlindungan keselamatan dan kesihatan rakyat serta menjamin kelangsungan pekerjaan dan usaha mencerdaskan ekonomi selain memastikan tiada gangguan rantaian bekalan seperti logistik, pengangkutan, makanan & minuman dan lain-lain lagi.

Dalam memastikan keberkesanan dan kemampanan fasa pemulihan ekonomi pada masa ini, Kerajaan bertegas tidak akan berkompromi dalam usaha menjamin keselamatan dan kesihatan rakyat.

-TAMAT-

 

DATO’ SERI MOHAMED AZMIN ALI

MENTERI KANAN

MENTERI PERDAGANGAN ANTARABANGSA & INDUSTRI KHAMIS,

8 OKTOBER 2020