Siaran Media – Pakej rangsangan RM35 bilion mensejahterakan rakyat dan memampankan perniagaan serta mencerdaskan ekonomi

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menyambut baik pelaksanaan 40 inisiatif di dalam Pelan Jana Semula Ekonomi (PENJANA) yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Semenjak Kerajaan membuka semula hampir kesemua sektor ekonomi pada 4 Mei 2020, Malaysia terus mencatatkan kejayaan dalam usaha membendung penularan COVID-19 diimbangi dengan langkah mencerdaskan ekonomi negara. Jumlah kes COVID-19 kini di tahap satu digit, dengan kebarangkalian yang kecil untuk peningkatan mendadak. Dengan hampir semua sektor telah dibuka semula, 83 peratus pekerja sudah kembali bekerja.

Walau bagaimanapun, Kerajaan menyedari akan cabaran yang dihadapi oleh syarikat-syarikat untuk memulakan operasi mereka. Dalam sesi libat urus yang dijalankan oleh MITI, antara cabaran yang dihadapi oleh persatuan perdagangan dan industri, badan-badan profesional, Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) adalah kekangan aliran tunai, kawalan pergerakan pekerja dan gangguan rantaian bekalan. Kerajaan komited untuk menangani cabaran-cabaran ini bersama sektor swasta dengan memperkenalkan pakej rangsangan PRIHATIN yang bernilai RM260 bilion untuk mempercepatkan pemulihan ekonomi.

Pakej PENJANA yang bernilai RM35 bilion adalah bukti iltizam Kerajaan untuk merencanakan agenda negara ke arah pemulihan ekonomi yang pantas. PENJANA adalah pemudahcara untuk memakmurkan rakyat, merancakkan aktiviti perniagaan serta menjana kemampanan ekonomi.

Pelanjutan tempoh 3 bulan bagi Program Subsidi Upah dengan peruntukan RM5 bilion akan dapat menjamin perlindungan pekerjaan rakyat Malaysia. Sebanyak RM600 akan diperuntukkan bagi setiap seorang pekerja di mana usaha ini akan terus membantu pihak industri dan PKS menangani kekangan aliran tunai. Pengenalan subsidi upah menerusi pakej rangsangan terdahulu telah diterima baik oleh pekerja dan majikan serta telah menyelamatkan lebih daripada 2.2 juta pekerjaan. Kini dengan pembukaan hampir kesemua industri dan lebih 12 juta orang pekerja telah kembali bekerja semula, pelanjutan program ini diyakini akan terus memberi bantuan kepada para pekerja.

Para pekerja di dalam sektor-sektor yang amat terkesan akibat pandemik ini, seperti pelancongan, turut akan menikmati faedah daripada Program Subsidi Upah. Melalui pengenalan insentif antara RM600 ke RM1,000 kepada majikan yang menawarkan peluang pekerjaan kepada penganggur dan pelatih industri, Kerajaan dapat memastikan manfaat-manfaat yang disediakan akan dapat dinikmati oleh setiap lapisan masyarakat.

Dalam usaha untuk menggalakkan lebih ramai pekerja bekerja dari rumah, Kerajaan telah mengumumkan pelepasan cukai untuk pembelian perkakasan ICT. MITI melihat inisiatif Kerajaan dalam perkara ini adalah amat penting dalam usaha Kerajaan untuk melangkah ke arah ekonomi digital. Insentif ini sememangnya akan mendorong sektor swasta untuk kekal produktif dan anjal, meskipun bekerja dari rumah. Ini seterusnya akan meningkatkan penggunaan teknologi dalam proses kerja, dan seterusnya mencapai hasrat Kerajaan untuk membudayakan pendigitalan di dalam komuniti perniagaan amnya, dan ekonomi secara menyeluruh.

PENJANA turut menawarkan pelbagai kelebihan sebagai pemangkin ekonomi utama negara, termasuklah PKS, Syarikat Peringkat Pertengahan (MTCs), Perusahaan Sosial dan Start-Up. Langkah ini menunjukkan tindakan Kerajaan yang pantas dalam memenuhi keperluan entiti-entiti ini. Langkah ini akan menyuntik dinamisma baru dalam sektor PKS yang merupakan pencipta pekerjaan terbanyak dalam ekonomi.

Sektor ini juga perlu melakukan anjakan paradigma melalui penggunaan teknologi dan inovasi termasuk pendigitalan supaya kecekapan dan produktivitinya melonjak.

Bantuan kewangan khas berjumlah RM500 juta yang disalurkan kepada PUNB dan MARA adalah amat bertepatan dalam usaha untuk mengukuhkan penglibatan Bumiputera dan memastikan kemampanan perniagaan dan keusahawanan.

MITI juga mengalu-alukan geran padanan RM10 juta untuk Perusahaan Sosial. Secara definisinya, Perusahaan Sosial adalah perniagaan yang berfokuskan kepada model keuntungan yang mementingkan objektif tanggungjawab sosial, seperti meningkatkan mata pencarian golongan B40 dan terpinggir atau melindungi kesejahteraan alam sekitar. Geran padanan ini adalah langkah yang tepat bagi memupuk budaya perniagaan yang inklusif dan bertanggungjawab untuk kebaikan bersama masyarakat.

Peruntukan RM100 juta bagi Teknologi dan Inovasi Sandbox Nasional akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan pesat start-up di Malaysia. Ini penting dalam memastikan Malaysia kekal sebagai destinasi bagi pembangunan start-up yang secara tidak langsung akan menarik pemain industri teknologi yang berpotensi sebagai game changer.

Skim insentif cukai yang diperkenalkan dalam PENJANA dijangka akan menarik lebih banyak pelaburan dan mencipta peluang pekerjaan baru yang berteknologi tinggi. Pengecualian cukai sepenuhnya selama 10 tahun akan diberikan bagi pelaburan baharu dalam harta tetap antara RM300 juta hingga RM500 juta manakala pelaburan dalam harta tetap melebihi RM500 juta akan menikmati pengecualian cukai sepenuhnya selama 15 tahun. Galakan Khas Elaun Pelaburan Semula akan diberikan bagi tahun taksiran 2020 hingga 2021.

Insentif-insentif cukai ini akan memberikan impak positif yang amat diperlukan bagi pelaburan dan penciptaan pekerjaan. MITI yakin kesemua insentif-insentif ini akan meningkatkan pelaburan domestik dan asing selain menarik syarikat-syarikat multinasional untuk memindahkan operasi mereka ke Malaysia.

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), sebuah agensi di bawah MITI, akan menubuhkan satu unit baharu – Project Acceleration and Coordination Unit (PACU) yang akan memudahkan proses kelulusan, selain mempercepatkan pelaksanaan projek-projek pengilangan. Proses kelulusan lesen pengilang bagi industri tidak sensitif juga akan disingkatkan ke 2 hari bekerja sahaja.

MITI yakin dengan adanya pelan pemulihan terbaharu ini bersama dengan kelonggaran kawalan pergerakan akan memberikan anjakan bagi memacu dan menyuburkan semula ekonomi negara sekaligus menjamin pemulihan ekonomi yang menyeluruh.

DATO’ SERI MOHAMED AZMIN ALI
MENTERI KANAN
MENTERI PERDAGANGAN ANTARABANGSA & INDUSTRI
SABTU, 6 JUN 2020

Article by Azmin Ali

Leave a comment