AZMIN ALI

Tag: Catatan Peribadi

Kasih Anak: Saya Tidak Pernah Derhaka

Allahyarham ayahanda saya, Pak Ali senantiasa mendidik saya untuk patuh kepada tuntutan Al Quran, berakhlak luhur dan tuntas istiqamah kepada prinsip perjuangan. Didikan dari kecil untuk menghormati serta mengasihi kedua ibu-bapa sesuai dengan pesan ajaran agama Islam menjadi pegangan saya.

Saya tidak pernah menderhaka kepada ibu saya. Saya senantiasa kasih dan sayang kepada ibu dan bapa saya. Saya tetap mendoakan semoga ibu saya senantiasa berada dalam lindungan Allah SWT dan mendapat rahmatNya serta beroleh kesihatan yang baik. Saya turut mendoakan semoga Allahyarham ayahanda saya mendapat husnul khatimah dan ditempatkan ruhnya di syurga yang penuh nikmat.

Saya menyeru kepada media supaya tidak menganggu ibu saya dan UMNO janganlah mengheret ibu saya ke dalam kancah politik UMNO yang kotor dan jijik. Institusi keluarga termasuk hubungan kekeluargaan perlu disejahterakan dan bukannya diaibkan di dada media.

Saya tetap sayang dan hormat ibu saya. Saya juga bersyukur dianugerahkan isteri, Shida yang taat dan setia serta anak-anak yang memahami citra perjuangan yang murni ini.

Saya bertekad untuk meneruskan perjuangan menjana perubahan melalui wacana segar yang mengangkat dasar kepedulian rakyat. Saya berazam untuk melawan budaya politik jelek yang disuburkan oleh UMNO dan media yang ditunggangi mereka.

Saya berserah segala-galanya kepada Allah SWT dalam menghadapi mehnah ini tetapi saya tidak akan tunduk menyerah kepada tekanan fitnah UMNO. Saya akan tumpu kepada usaha dan kerja- kerja Parti selaku Pengarah Jabatan Pilihanraya Pusat (JPRP) untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke 13 yang dijangkakan pada bulan Jun 2012.

Mohamed Azmin Ali
Timbalan Presiden KEADILAN

Pengalaman di Turki bersama Recep Tayyip Erdoğan

Gambar ini dirakamkan di Istana Dolmabahce, Istanbul sejurus selepas perbincangan dengan Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdoğan pada 3 Februari 2012

Perdana Menteri Turki, Tayyip Erdoğan gembira bertemu Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang baru dibebaskan oleh mahkamah dari pertuduhan fitnah. Beliau dan keluarga senantiasa mendoakan keselamatan dan kesejahteraan DSAI dan rakyat Malaysia.

Erdoğan dan Anwar bincang panjang perkembangan Arab Spring dan dunia Islam. Kedua dua pemimpin berkongsi pandangan dan yakin bahawa angin perubahan dan reformasi akan terus segar demi kebebasan dan hak asasi umat, demokrasi dan negara hukum. Erdoğan terus mendoakan semoga rakyat Malaysia akan berjaya dalam gerakan reformasi dan bersama Turki untuk membangunkan negara dan umat.

Delegasi Malaysia yang diketuai oleh DSAI juga mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Turki, Abdullah Gul di Ankara. Cuaca sejuk sehingga minus 21 dan salji tebal menyambut kami di Lapangan Terbang Ankara.

Antara tajuk perbincangan yang menarik dengan Presiden Abdullah Gul ialah komitmen Ak Party dan Kerajaan untuk terus membawa perubahan demi kesejahteraan rakyat Turki termasuk meningkatkan kualiti pendidikan dan juga menyediakan kemudahan kesihatan percuma melalui pembinaan hospital di setiap daerah yang dilengkapi dengan kelengkapan berteknologi tinggi dan doktor pakar.

DSAI dan rombongan juga mengadakan perbincangan rasmi dengan Menteri Luar Turki, Ahmet Davutoglu dan Menteri Kewangan Turki, Mehmet Simsek. Ahmet Davutoglu memberikan pandangan beliau mengenai Syria dan Egypt serta perkembangan kemajuan Arab Spring.

Pada hari pertama setibanya di Turki iaitu 2 Feb 2012, DSAI telah menyampaikan ucaptama di Istana Dolmabahce yang dianjurkan oleh Prof Dr. Bekir Karliga, Penasihat Kanan kepada Perdana Menteri. Tajuk ucapan DSAI ialah Islam, Democracy and Arab Spring: Quest for Freedom and Justice in the Muslim World. Lebih 200 peserta menyertai wacana ini termasuk beberapa orang naib canselor universiti, tokoh tokoh akademik, ahli ahli perniagaan dan juga perwakilan Turkish-Malaysian Business Council.

DSAI dan Azmin juga telah diundang oleh Dr. Halit Eren, Ketua Pengarah IRCICA untuk melawat Research Centre for Islamic History, Art and Culture di Istanbul dan juga perpustakaan yang mengumpulkan lebih 10,000 koleksi buku tamaddun Islam.

Lawatan kerja ke Turki selama 5 hari amat berjaya untuk mengukuhkan lagi hubungan dua hala di antara Malaysia dan Turki.

AZMIN ALI

Deepavali Nal Valthukal

Raja Naragasura yang zalim dan menindas rakyatnya akhirnya tewas di tangan Maha Krishnan. Kemenangan itu disambut sebagai cahaya kebenaran yang akhirnya menewaskan kezaliman dan penindasan yang berlaku. Perayaan Diwali adalah tanda kebaikan dan hak mengatasi kejahatan dan kebatilan. ‘Dipa’ yang bermaksud cahaya dan ‘Gavali’ yang bermakna barisan, memberi perlambangan yang estetik untuk meraikan kemenangan kebenaran itu.

Malaysia hari ini harus membentuk sebuah negara madani yang berteraskan lunas-lunas demokrasi dan semangat perlembagaan persekutuan. Salah guna kuasa, politik perkauman yang sempit serta korupsi yang membelenggu harus ditolak oleh rakyat pelbagai kaum di Malaysia. Harapan saya agar muncul semangat pencerahan dikalangan rakyat untuk melawan kezaliman dan penindasan yang berlaku.

Semoga Hari Deepavali ini memberikan seribu makna buat seluruh rakyat Malaysia khususnya masyarakat India untuk terus berjuang demi kebenaran dan keadilan.

Unggal Anivakum En Yenni Deepavali Nal Valthukal

Mohamed Azmin Ali

Mat Indera

Orang Melayu-Islam bingkas menolak idea pengagihan ekonomi dan sistem pengurusan yang dikemukakan Karl Marx, Webber dan Engel kerana mereka dicap komunis dan sosialis. Tetapi konsep dan idea yang sama dijulang dan diraikan apabila ia keluar dari pemikiran Abu Dzar, dan Abdul Rahman Auf.

Kenapa begitu? Menurut pemikir Islam, Sheikh Taha Jabir Alwani,  ini semua persepsi yang dibina atas emosi dan prejudis. Sentimen diutamakan dan kebenaran dipinggirkan.

Tidakkah ini sama dengan isu Mat Indera yang cuba ditonjolkan oleh Mat Sabu. Beliau mahu penilaian adil diberikan kepada Mat Indera dan pejuang kemerdekaan lain. Berbanding kebanyakan pemimpin Umno-BN yang dijulang, Mat Indera adalah seorang muslim yang kuat beribadah, seorang hafiz dan amat cintakan kemerdekaan Negara dan bangsanya. Cukuplah. Jangan bohongi sejarah. Sudah tiba masanya kita keluar dari kelambu penipuan media dan cendekiawan sempit Umno-BN.

AZMIN ALI

Perubahan dan Hijrah ke Arah Kebaikan

Umat Islam menyambut ketibaan Maal Hijrah saban tahun memperingati pengorbanan Rasulullah S.A.W. melalui peristiwa berhijrah dari Mekah ke Madinah.

Hijrah membawa pengertian yang luas, iaitu keluar dari medan perjuangan yang sempit ke gelanggang yang lebih luas dan ia adalah pemisah di antara yang hak dengan yang batil. Ia juga merangkumi perpindahan kepada hidup yang lebih baik, lebih maju, lebih mulia dan lebih bermakna serta berada dalam lingkungan rahmat dan keredhan Illahi.

Allah s.w.t berfirman di dalam surah Ar. Ra’d ayat 11 yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka.”

Hijrah menuntut kepada pengorbanan yang besar, demi melaksanakan segala perintah Allah S.W.T. Perubahan ke arah kebaikan adalah tuntutan hidup daripada sesuatu yang buruk kepada yang baik, dan daripada yang baik kepada yang lebih baik, daripada sifat Mazmumah kepada sifat Mahmudah.

Umat Islam harus senantiasa mengamalkan sikap ini dalam kehidupan seharian mereka. Dengan tekad, komitmen dan azam untuk berubah selaras dengan tuntutan agama, setiap usaha ke arah perubahan itu akan pasti memberi manfaat kepada diri, keluarga, masyarakat dan negara. “Budaya Hijrah” dalam kehidupan seharian harus dipraktikkan, sebagaimana yang disarankan melalui sebuah hadis Nabi Muhammad S.A.W. :

Yang bermaksud: “Seorang Muslim itu ialah orang yang menyelamatkan saudara Muslim yang lain daripada (kejahatan) lidah dan tangannya. Dan seorang yang berhijrah ialah sesiapa yang berhijrah daripada perkara yang ditegah oleh Allah.”
(Hadis riwayat al-Bukhari, Abu Daud dan Nasa’i)

Melihat kepada peristiwa Hijrah kita akan mendapati ia adalah suatu perjuangan membina masa depan untuk lebih baik. Justeru intipati Hijrah perlulah dihayati secara mendalam dan bukannya sekadar menjadi sambutan wajib tahunan semata-mata yang diraikan setiap tahun tanpa kita merenung, melihat sedalam-dalamnya dan menghayati makna sebenar Hijrah.

Sesungguhnya, perubahan dan penghijrahan kepada kebaikan adalah tuntutan agama. Apabila umat bertindak untuk mengubah nasib dan keadaan diri mereka serta masyarakat, InsyaAllah, usaha tersebut akan mendapat keberkatan daripadaNya. Allah akan mengubah keadaan mereka dari kehinaan dan kerendahan kepada kemuliaan dan ketinggian.

Mohamed Azmin Ali
1 Muharram 1432H
7 Disember 2010

Tragedi Tanah Runtuh Bukit Antarabangsa Menuntut Pertanggungjawaban Bersama

6 Disember 2010, genap dua tahun berlakunya tragedi tanah runtuh yang menimpa penduduk di Bukit Antarabangsa. Peristiwa ini seharusnya diingati untuk memupuk kesedaran yang mendalam dan meluas betapa pentingnya memelihara dan melestarikan alam sekitar dari segala bentuk pembangunan yang merosakkan alam dan membahayakan nyawa manusia.

Pembangunan dan Kualiti Hidup

Bersempena dua tahun tragedi ini, kita wajar bertanya kembali, apakah maksud dan tujuan sebenar bagi pembangunan, apakah bentuk dan wajah yang mahu kita ciptakan atas nama pembangunan?

Bagi kami dalam Pakatan Rakyat, matlamat bagi pembangunan haruslah bertujuan untuk meningkatkan kualiti dan mutu penghidupan rakyat. Inilah yang perlu difokuskan dan bukannya kuantiti projek-projek perumahan baru atau projek-projek pembangunan yang lainnya.

Pembangunan dan kelulusan sesuatu projek atas alasan pertumbuhan ekonomi tidak seharusnya dilakukan dengan cara meluluskannya tanpa perencanaan yang berimbang dan meminggirkan peraturan sehingga menyebabkan banyak masalah di kemudian hari seperti kerosakan alam sekitar yang parah, kepadatan yang menyesakkan disesebuah kawasan sehingga mengakibatkan menurunnya kualti dan mutu penghidupan kita.

Setiap rakyat Malaysia berhak menikmati kualiti hidup yang lebih baik dan ini bermakna segala projek pembangunan wajar menitik beratkan konsep mesra alam termasuk menyediakan akses yang selesa serta kemudahan ruang-ruang awam yang luas dan mencukupi.

Ketelusan dan Pertanggungjawaban

Faktor utama tragedi sebegini boleh berlaku dihadapan mata kita adalah kerana kurangnya ketelusan dan pertanggungjawaban (transparency and accountability) daripada semua pihak.

Menginsafi perkara ini, kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor telah mengambil inisiatif dengan mewartakan Akta Kebebasan Maklumat (Freedom of Information Act) melalui Dewan Negeri Selangor agar segala maklumat berhubung dengan cadangan dan kelulusan sesuatu projek akan dapat dipantau secara langsung oleh rakyat.

Ini tentunya membimbangkan pihak-pihak yang telah lama selesa bekerja dan bergerak dengan cara lama. Kita dapat lihat bagaimana Kementerian Kerja Raya cuba mempersulitkan pengumuman dan pendedahan yang mahu dibuat oleh Kerajaan Negeri Selangor melalui laporan kajian kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa dengan mengancam untuk mengenakan tindakan undang-undang dibawah Akta Rahsia Negara.

Tetapi, dengan kesedaran yang semakin meluas dikalangan rakyat dan juga tekanan yang berterusan dari ahli keluarga mangsa kejadian dan pemilik rumah di Bukit Antarabangsa, Kerajaaan Persekutuan akhirnya mengalah. Ini adalah suatu contoh yang jelas bahawa kesedaran yang meluas dikalangan rakyat adalah suatu kekuatan yang dapat menundukkan mana-mana penguasa dan pemimpin yang angkuh.

Bersempena dengan ulang tahun kedua tragedi tanah runtuh ini, disamping berdoa kepada mereka yang telah pergi, marilah kita sama-sama memastikan agar tragedi yang sama tidak lagi berulang, lebih-lebih lagi apabila ianya berlaku akibat dari kerakusan kita merosakkan alam atas nama pembangunan demi mengaut keuntungan.

Mohamed Azmin Ali
6 Disember 2010

Perjalanan Menyambut Panggilan Allah Untuk Melakukan Haji

Masjid Nabawi
Klik sini untuk koleksi gambar di tanah suci

Alhamdulillah, kami selamat kembali ke tanah air pada 7 Disember 2009 setelah berada di tanah haram selama 17 hari. Pengalaman pertama menunaikan ibadah Haji memang mencabar. Sememangnya ibadah Haji menuntut kesabaran dan pengorbanan. Pengalaman Haji yang sulung ini mendidik saya untuk menegakkan keadilan dan persamaan serta menolak perkauman. Mengingatkan saya kepada catatan Malcolm X !

Walaupun saya berkesempatan untuk melakukan Umrah 3 atau 4 kali sebelum ini khususnya di bulan Ramadhan, namun pengalaman Haji mempunyai kelainannya. Saya dan isteri bersyukur kerana dapat melakukan manasik Haji iaitu mengikut cara Baginda Rasulullah SAW sedaya upaya kami.

Kehadiran kami di kota Mekah untuk menyambut panggilan Allah bermula dengan tawaf umrah pada 20 November 2009. Tawaf mengelilingi Kaabah adalah satu gerakan ketaatan dan kepatuhan kepada Allah SWT. Hari-hari yang berikutnya menjelang hari Wuquf tertumpu kepada amalan dan ibadat dalam Masjidil Haram.

Sehari sebelum Wuquf iaitu pada 8 Zulhijjah 1430 H, hujan lebat membasahi bumi Mekah dan membanjiri kota Jeddah dan juga Arafah. Media melaporkan lebih 100 orang terkorban dalam banjir di Jeddah walaupun ada maklumat jumlah kematian mencecah angka 1,000 orang. Saya sedang menunaikan Solat Zohor ( sekitar jam 12.10 tengahari ) di depan Multazam apabila hujan lebat turun selama lebih kurang 30 minit. Jamaah yang solat di dataran sekeliling Kaabah sujud di atas dataran yang dibasahi oleh hujan rahmat dari Allah SWT. Inilah pengalaman paling manis dalam hidup saya. Read More