AZMIN ALI

Tag: Parti Keadilan Rakyat

Ucapan Timbalan Presiden Rapat Pimpinan Kebangsaan 2012 Parti Keadilan Rakyat

1. Sepanjang lebih satu dekad kita bersama dalam perjuangan untuk melakukan perubahan, ramai antara kita punya pengalaman tersendiri; pengalaman manis dan getir. Dalam usia perjuangan yang muda, anggota parti telah diasak dan diuji. Cabaran yang bertali arus telah menjadikan anggota parti matang. KEADILAN muncul sebagai sebuah parti yang terbilang dalam peta politik di sejagat raya.

2.Perjuangan yang berteraskan reformasi adalah untuk membina Malaysia yang gagah, makmur dan sejahtera.

Prinsip keadilan yang mendasari perjuangan KEADILAN bukan sahaja bersifat perjuangan politik tetapi satu gerakan massa. Ianya juga bertepatan dengan tuntutan Islam. Apabila Rasulullah S.A.W. didatangi oleh segerombolan kabilah – kabilah Arab dan ditanya apa risalah dan misi Baginda ? Lantas Rasulullah mengungkapkan perintah Allah;


Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan.

Surah An-Nahl, Ayat 90

Perintah ini jelas menunjukkan bahawa keadilan adalah nilai terpenting di dalam Islam. Malahan, semua rasul yang diutuskan oleh Allah S.W.T. adalah untuk menegakkan keadilan.

3. Maka kita perlu yakin perjuangan ini berada dilandasan yang menepati tuntutan agama dan juga tuntutan massa. Apa yang menggarap seluruh kekuatan dan menyatupadukan kita semenjak 1998 ? Kerana berlakunya ketidakadilan dan kezaliman. Lantas rakyat bangkit menuntut keadilan dan menjadi moral force kepada perjuangan yang menjadikan keadilan sebagai ideologi politik baru. Alexis de Tocqueville menyatakan : “Hanya ada satu undang – undang sejagat yang disepakati oleh sebilangan besar manusia. Undang – undang itu adalah keadilan”.

4. Malah keadilan perlu dipromosikan sebagai norma baru dalam politik global kerana ia menjawab segala keterbatasan ideologi lampau. Justeru, KEADILAN layak bersama – sama menerajui gerakan keadilan antarabangsa bersama parti politik lain di dunia yang meletakkan prinsip keadilan sebagai asas ideologi mereka.

5. Cabaran hari ini bukan sekadar isu – isu furu’ tetapi prinsip keadilan sosial, distributive justice dan masyarakat madani. Keyakinan ini diterjemah dalam bentuk penggubalan dasar. Belanjawan Pakatan Rakyat yang dipimpin oleh KEADILAN jelas menolak dasar yang berasaskan kaum tetapi berpegang kepada keperluan.

Program ekonomi untuk golongan kelas menengah dan rakyat miskin menjadi tumpuan kita. Sarjana Amartya Sen juga menyentuh prinsip yang sama dalam bukunya ‘The Idea of Justice’. Maka pilihan dalam PRU 13 yang akan datang ialah tentang adil atau ketidakadilan.

6. KEADILAN pernah mengalami zaman kegelapan pada tahun 2004 apabila mampu mempertahankan hanya satu kerusi Parlimen di Permatang Pauh oleh Dr. Wan Azizah Wan Ismail. Tatkala itu ada sejumlah kecil pimpinan yang mulai memperlahankan langkah. Tidak kurang juga mereka yang terus memisahkan diri daripada parti.

7. Namun, saya bangga kerana saudara – saudari yang hadir di dewan ini adalah pejuang yang setia dan tetap bersama perjuangan ini. Perubahan itu memang sukar. Tetapi saya yakin, dengan kesabaran, kebijaksanaan dan kesungguhan, kita pasti akan tiba di Putrajaya.

8. Renungilah pesanan Syeikh Dr. Yusuf al Qardhawi yang disampaikan pada 11 Januari 2011, hari Hosni Mubarak melepaskan jawatan. Beliau menyebut : “Tidak masuk akal bahawa kebatilan boleh mengatasi kebenaran, tidak masuk akal si taghut boleh mengatasi rakyat.”

9. Pasca 2004, kita bangkit dengan semangat baru, keyakinan baru, perpaduan dan muafakat yang akhirnya membawa berkat.

Wahai anakanda dengarlah wasiat
Duduklah engkau dalam muafakat
Supaya ringan beban yang berat
Sebarang kerja membawa berkat

Wahai anakanda dengarlah amanat
Jangan sesekali tinggalkan muafakat
Elok berunding sebelum berbuat
Supaya kerjamu jadi selamat

10. Alhamdulillah, kita menyaksikan gabungan upaya pejuang parti dan dokongan rakyat seluruhnya telah mencetuskan satu tsunami yang mengubah lanskap politik negara. Gabungan itu memiliki satu sinergi, dinamika tenaga cergas dan minda yang segar untuk menggerakkan massa ke arah reformasi.

11. Clamour for change bukan hanya terbatas di kalangan anggota KEADILAN. Ianya juga menjadi tuntutan rakyat kerana mereka mahukan sesuatu yang terbaik untuk anak – anak mereka dan generasi akan datang. Seperti yang diungkapkan oleh Sasterawan A. Samad Said beberapa hari yang lalu ketika berucap di Majlis Penyerahan Watikah sebagai Sasterawan Tamu Selangor, beliau menegaskan: “Dalam keadaan sekarang, saya rasa berdosa jika tidak bersuara”.

12. Yakinlah kemahuan rakyat Malaysia untuk melaksanakan perubahan tidak pernah surut. Sampaikan pesan kepada rakyat bahawa kita boleh melaksanakan Malaysia yang gagah. Together we could make a difference.

13. Parti keramat ini muncul sebagai parti terbesar dan sekaligus menyanggah andaian bahawa KEADILAN adalah the weakest link. Lebih bermakna apabila PAS dan DAP bermuafakat untuk bersama KEADILAN membentuk Pakatan Rakyat. Rakyat meletakkan harapan yang besar kepada muafakat ini yang memberi ruang kepada kewujudan sebuah negara demokratik dengan sistem dua parti.

14. Sepanjang perjuangan ini, kita berkesempatan untuk menjelajah ke seluruh negara termasuk kawasan pedalaman.

Memandu dan menaiki bot berjam – jam ke Ulu Krian di Sarawak, Kampung Taginambur di Kota Belud, Kuala Balah di Jeli, Kampung Tong Pelu di Pedu semata – mata untuk bertemu dengan rakyat dan membawa mesej perubahan.

15. Anak muda di Sabah, Sarawak, Kelantan dan seluruh pelusuk negara; yang cerdik dan punyai potensi; terhalang untuk melanjutkan pelajaran ke universiti kerana dihambat dengan kemiskinan dan kos pengajian yang tinggi. Anak – anak peneroka dan nelayan terpaksa dibebankan dengan hutang PTPTN semata – mata untuk menimba ilmu. Justeru itu, kita mesti membawa kemenangan untuk KEADILAN bagi merealisasikan harapan rakyat dengan memansuhkan PTPTN dan memberi pendidikan percuma.

16. Peneroka FELDA di Keratong dan Semencu gigih mengusahakan ladang sawitnya. Pahit derita mereka untuk mendapatkan hasil tani demi menanggung kos sara hidup ditempelak dengan dasar yang menguntungkan syarikat dan kroni. Lantaran itu, generasi kedua tidak terjamin masa depannya sementara peneroka asal berputih mata melihat saham FGV terus merudum. Maka sekali lagi menjadi tanggungjawab kita bersama untuk mengibarkan panji KEADILAN bagi merubah kehidupan warga felda dengan membatalkan Felda Plantations bagi tujuan membuka ladang – ladang untuk generasi kedua.

17. Golongan pengusaha dan peniaga wanita di Pasar Siti Khadijah, Kota Bharu adalah cerminan wanita gigih dan punyai kemahiran keusahawanan. Ini membuktikan wanita perlu diberikan pengiktirafan sebagai agen perubahan dan pemangkin ekonomi negara. Tahniah kepada Wanita KEADILAN yang mencetus suatu gagasan baru dalam usaha mengangkat martabat wanita melalui program yang terancang dalam Agenda Wanita Malaysia. Saranan yang disambut baik antaranya Caruman Wanita Nasional.

18. 10 tahun lalu, ketika saya berceramah di Negeri Perlis, saya didatangi oleh seorang tua yang dipapah oleh anaknya. Orang tua ini sedang dirawat di dalam hospital dan meminta kebenaran doktor untuk keluar sebentar bagi menemui saya. Pakcik dari keluarga miskin ini datang semata – mata untuk menyatakan sokongan kepada KEADILAN kerana keyakinannya KEADILAN akan mengubah kehidupan keluarganya yang miskin.
Sebagai komitmen beliau bersama perjuangan, pakcik tua yang uzur ini memberikan sumbangan RM 1.20 sebagai titipan buat anak – anak saya. Maka isu kemiskinan perlu menjadi agenda utama KEADILAN. Kita perlu mendukung agenda yang menjamin pertumbuhan lestari dan pengagihan yang adil seperti yang dicerakinkan dalam belanjawan Pakatan Rakyat yang bertemakan Ekonomi Rakyat, Negara Berkat. Antara langkah untuk membasmi kemiskinan tegar, KEADILAN akan menaikkan Pembayaran Kebajikan daripada RM 300 kepada RM 550 sebulan. Ikhtiyar ini akan membebaskan lebih 84,000 keluarga daripada belenggu kemiskinan tegar.

19. KEADILAN mengiktiraf Hari Malaysia dan merintis penghayatan serta semangat Perjanjian Malaysia 1963 yang memberi kesemakmuran kepada rakyat Sabah dan Sarawak. Justeru, KEADILAN mengulangi tekad untuk menjunjung Perjanjian Malaysia melalui Deklarasi Kuching. Iltizam ini diperkukuhkan lagi di dalam Belanjawan Pakatan Rakyat 2013 yang menjanjikan bayaran 20% royalti minyak, penubuhan syarikat minyak milik Kerajaan Negeri dan membina Lebuhraya Pan – Borneo dari Kuching ke Kota Kinabalu dan Pantai Timur Sabah.

20. Kesungguhan KEADILAN untuk membela nasib rakyat Sabah dan Sarawak telah mencambahkan agen Reformasi dan perubahan di Negeri Bawah Bayu dan Bumi Kenyalang.

Kita menyaksikan tokoh masyarakat KDM dan Bumiputera Islam bersama dengan perjuangan KEADILAN. Selamat berjuang Dato’ Seri Lajim Haji Ukin, Dato’ Seri Wilfred Bumburing, Senator Maijul Mahap dan Tan Sri Ibrahim Menudin.

21. KEADILAN dan Dato’ Seri Anwar Ibrahim secara tuntas membicarakan soal perubahan dan reformasi. Hasil ketekunan kita bersama, gelombang kebangkitan rakyat tidak mampu disekat sehingga Perdana Menteri Najib terpaksa memperkenalkan program transformasi. Persoalannya siapakah yang layak dan boleh dipercayai untuk memimpin perubahan ?

22. Permulaan perjalanan perjuangan reformasi lebih satu dekad yang lalu menimbulkan banyak tanda tanya dan persepsi. Namun, saya yakin dengan visi Saudara Anwar Ibrahim. Meskipun beliau berhadapan dengan pelbagai bentuk mehnah dan cabaran, Saudara Anwar Ibrahim tekad melaksanakan harapan untuk rakyat Malaysia.

23. Saya mengenali Saudara Anwar Ibrahim hampir 30 tahun. Keperibadian, keyakinan dan akhlak beliau tidak pernah berubah, sama seperti hari pertama saya mengenali beliau. Beliau adalah insan berprinsip yang pertahan soal nilai dan bicara keperitan rakyat miskin.

24. Apabila bicara soal tradisi keilmuan, beliau ungkap peluang pendidikan yang berkualiti untuk setiap anak Malaysia. Bicara soal wanita, beliau tegas wanita perlu diberdayakan. Bicara isu pekerja, beliau mahu gaji minima dilaksanakan. Bila bicara soal ekonomi rakyat, bukan sahaja beliau tekankan soal pertumbuhan, tetapi juga soal pengagihan yang adil kepada semua kaum.

25. Hal yang sama dalam budaya KEADILAN. Kita dididik dengan nilai murni, maruah, integriti dan kejujuran. Ini lah yang hendak kita semai dalam masyarakat. Menurut Saudara Anwar, kejayaan tidak diukur dengan kemewahan, akan tetapi berdasarkan keupayaan untuk merobah kehidupan masyarakat.

26. Saudara Anwar Ibrahim adalah pejuang rakyat yang tuntas membawa obor reformasi. Wibawa kepimpinan beliau tidak dapat disanggah lagi.

Teman – teman seperjuanganku,

27. This is the man that we can trust his words. Ini lah insan yang boleh kita pegang kata – katanya. Ini lah insan yang berpegang kepada prinsip. Ini lah insan yang kita yakini untuk mengubah kehidupan rakyat Malaysia. Sekiranya kita mahu menjayakan gagasan besar yang diungkapkan tadi, ini lah sosoknya. Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri rakyat Malaysia.

Teman – teman seperjuangan,

28. JPRP telah mengagihkan segala kelengkapan pilihan raya ke seluruh negara. Potensi SISMEP telah diperkenalkan. Logistik atau paraphernalia telahpun berada di semua cabang dan ranting. Ini membuktikan bahawa persiapan kita kali ini jauh lebih baik daripada PRU 12.

29. Kita dalam fasa terakhir rundingan pengagihan kerusi dengan rakan – rakan dalam Pakatan Rakyat dan juga rakan – rakan seperjuangan di Sabah dan Sarawak. Saya ingin memberi jaminan bahawa proses rundingan kerusi ini tidak akan meminggirkan dan mengorbankan kepentingan parti keramat ini.

30. Kita akan maju ke hadapan dengan segala upaya untuk melaksanakan perubahan dalam pilihan raya ini. Biarpun berhadapan dengan budaya samseng dan culture of fear, kita tidak akan berundur malah kita lebih nekad untuk menumbangkan pihak lawan.

31. Kita tidak bersendirian. NGOs seperti SUARAM dan mahasiswa yang berani kini menjadi sasaran pemerintah yang rapuh dan tergugat kerana kita bersama menjadi agen perubahan dan demokrasi negara.

32. Kita sudah punya dasar yang jelas, kita ada pemimpin yang wibawa dan boleh dipercayai, kita ada laskar teruji dengan latihan, sarat dengan pengalaman, lengkap dengan ilmu dan peralatan. Seluruh kekuatan kita sudah siap siaga. Hanya menunggu seruan untuk bertempur di medan perang.

33. Pada petang ini, wahai teman-teman seperjuanganku, selaku Pengarah Pilihan Raya, saya meniup semboyan perang. Ayuh ! Seluruh pejuang keadilan, kita ikrarkan kesediaan kita untuk bertempur di medan pilihan raya. Adat pejuang pantang undur sekali – kali. Ini tekad kita. Ini tekad anak Malaysia. Bersama KEADILAN dan semangat reformasi, akan kita jayakan ibu pertiwi.

34. Ayuh seluruh pejuang keadilan, kita bersama mengubah harapan. Kita kibarkan panji KEADILAN. Kibarkan panji ini sejagat raya. Demi rakyat semua.

Mohamed Azmin Ali
Timbalan Presiden
Parti Keadilan Rakyat

Perutusan Eidul Fitr 1433 H

FinalOutputBannerEidulFitr1433CO

Syawal yang menjelang adalah keraian kepada kemenangan ruhiyyah. Kemenangan setelah umat Islam keluar daripada Ramadhan yang menjadi medan tarbiyyah ruhiyyah serta kejayaan menundukkan hawa nafsu serta mempertingkatkan amalan dan ketaqwaan untuk mendapat keredhaanNya.

Perjuangan sepanjang bulan Ramadhan yang berlalu kini disambut dengan Eidul Fitr yang bermakna kembali kepada fitrah sebagai seorang manusia yang bersih dan suci. Terdapat dalam fitrah manusia juga adalah semangat keadilan dan kebencian kepada kezaliman. Maka merayakan fitrah juga bermakna merayakan semangat keadilan dan menggilap iltizam menentang kezaliman. Sesungguhnya perjuangan melawan hawa nafsu dan memperbaiki diri ke arah kebaikan merupakan jihad yang dituntut oleh Islam. Namun, Sheikh Yusuf Qardawi dalam Taurah Sha’ab turut mengingatkan kita kepada hadis yang menyebut bahawa :

“Sebaik – baik jihad adalah menyatakan kebenaran pada penguasa yang zalim”
(Riwayat Imam Ahmad)

Justeru saya menyeru para pencinta kebenaran agar memperkukuh tekad perjuangan yang kian bersemarak ini. Kita harus sedar negara Malaysia ini harus diselamatkan daripada budaya rasuah, fitnah serta ketidakadilan yang merosakkan jalinan ukhwah dalam masyarakat. Nilai moral dan akhlak yang baik perlu dipupuk agar mengembalikan kemuliaan insan yang kian tercemar.

Kemuliaan Insan, atau Dignity of Man merupakan tema utama yang diungkapkan pemikir Islam seperti Ibnu Qutaibah yang kemudiannya mempengaruhi pemikir utama zaman Renaissance iaitu Pico Della Mirandola. Tidaklah lengkap “weltanschauung“, pandang dunia pemikiran manusia sekiranya tidak meletakkan peranan insan atau manusia sesuai dengan fitrahnya. Hasrat ini pastinya merentasi sempadan keyakinan, warna kulit mahupun ras.

Oleh kerana itu tidaklah salah menjelang sambutan Eidul Fitr, hari kemenangan menawan nafsu serta kejahatan, hari insan kembali kepada fitrah iaitu kepada kebaikan, kita bersama-sama merenung tema Sambutan Hari Kemerdekaan ke 55 yang disaran Pakatan Rakyat; Sebangsa Senegara Sejiwa. Apatah lagi Sambutan Kemerdekaan ke 55 kali ini juga dalam bulan Syawal. Tema tersebut sejajar dengan gesaan fitrah sekaligus mengangkat harakat kemuliaan insan kerana ianya meraikan persamaan dan menerima perbezaan. Bukanlah asing terutamanya buat umat Islam untuk meraikan persamaan antara mereka yang punya keyakinan berbeza dan ras kerana pesan Al Quran untuk kita saling kenal mengenali; Li Taarafu dan Kalimatus Sawa. Dengan semangat ini rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama boleh mencipta zaman baru, satu Renaissance bangsa Malaysia.

Akhir kata, saya dan keluarga mengucapkan salam eidul fitr kepada seluruh umat Islam khususnya rakyat Malaysia. Semoga kemenangan ini menguatkan azam dan tekad kita untuk bersatu demi rakyat dan menegakkan keadilan.

Minal ‘aidin wal faidzin, maaf zahir dan batin.

Eid Mubarak

Mohamed Azmin Ali

Kenyataan Media – Perkembangan Negeri Sabah

30 Julai 2012
KEADILAN melihat perkembangan politik Negeri Sabah sebagai kejayaan agenda reformasi yang disemai lebih 10 tahun yang lalu dan kini menyaksikan hasilnya dengan kebangkitan rakyat Sabah yang berani meruntuhkan tembok ketakutan dan kezaliman; lalu menuntut reformasi yang tulen.

Dua pengumuman penting di Tuaran dan di Beaufort pastinya mengubah landskap politik Sabah dan menzahirkan iltizam politik rakyat Sabah untuk mencetus serta melaksanakan agenda perubahan.

KEADILAN mengalu – alukan pengumuman Datuk Seri Panglima Haji Lajim Haji Ukin dan Datuk Seri Panglima Wilfred Mojilip Bumburing yang meletakkan semua jawatan dari parti masing-masing; UMNO dan UPKO serta kesediaan mereka untuk bersama Pakatan Rakyat dalam usaha melakukan perubahan dalam sistem kenegaraan.

Kita juga menyambut baik iltizam mereka untuk menjana kekuatan rakyat bagi melakukan perubahan di Negeri Sabah. Makanya kerana komitmen yang jelas di kalangan pimpinan Negeri Sabah yang berani mengambil risiko; KEADILAN tidak teragak-agak untuk bersama-sama mereka demi rakyat Sabah.

Kerjasama yang disepakati bersama Pakatan Rakyat merupakan titik permulaan kepada perubahan politik Malaysia dalam Pilihan Raya Umum ke 13. Slogan ‘Ini kali-lah’ menandakan angin perubahan telah sampai ke bumi Sabah. Sudah tiba masanya untuk rakyat Sabah sendiri menentukan masa depan Negeri Sabah serta menikmati hasil kekayaan Negeri yang selama ini diagihkan secara tidak adil oleh pentadbiran UMNO – Barisan Nasional (BN). Rakyat Sabah juga perlu menolak UMNO – BN yang mengkhianati semangat pembentukan Malaysia.

Dua pengumuman penting yang bersejarah itu menjadi bukti betapa rakyat Sabah sudah hilang keyakinan kepada kepimpinan Dato’ Seri Najib Tun Razak dan BN. Tambah pula, pentadbiran Dato’ Seri Najib hanya sekadar menabur janji dan sepanjang beliau menjadi Perdana Menteri, ianya ditandai kegagalan untuk menepati janji.

Tekad rakyat Sabah untuk bersama Pakatan Rakyat pada hari ini adalah berpaksikan kepada keyakinan mereka terhadap agenda Pakatan Rakyat untuk melaksanakan perubahan. Mereka yakin dengan dasar – dasar Pakatan Rakyat yang terkandung dalam Buku Jingga dan pelaksanaannya akan menepati dan memenuhi hasrat dan cita – cita murni rakyat Malaysia yang mahukan urus tadbir yang baik serta pengagihan ekonomi yang adil kepada semua rakyat.

KEADILAN turut mengalu – alukan penubuhan Pakatan Perubahan Sabah (PPS) dan Angkatan Perubahan Sabah (APS) serta kesediaannya bersatu di bawah payung Pakatan Rakyat untuk menjana arus perubahan dalam Pilihan Raya Umum ke 13.

Ini menandakan keyakinan rakyat Sabah kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai peneraju utama dalam Pakatan Rakyat yang insha Allah akan dinobatkan sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke 7. Semoga kebangkitan rakyat Sabah pada hari ini akan menghasilkan kejayaan dengan tertubuhnya Kerajaan Rakyat Negeri Sabah dalam Pilihan Raya Umum ke 13.

Salam reformasi

Mohamed Azmin Ali
Timbalan Presiden

Jangan ikut rentak BN tabur duit pada kroni – Azmin

Dari: Keadilandaily.com
SHAH ALAM 9 Julai: Kerajaan Selangor diingat supaya tidak mengikut rentak Kerajaan Pusat mengagihkan
keuntungan kepada kroni dengan menggunakan peruntukan daripada bajet tambahan berjumlah RM13 bilion yang
dibentang di Dewan Rakyat baru-baru ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Antarabangsa, Azmin Ali berkata, peruntukan Perbekalan Tambahan (2012) oleh Kerajaan Pusat itu langsung tidak memberi keuntungan kepada rakyat, sebaliknya untuk mengkayakan kroni.

“Saya tidak mahu peruntukan tambahan yang akan dikeluarkan kerajaan negeri mementingkan pihak tertentu.”
“Jangan jadi seperti Umno Barisan Nasional yang mementingkan kroni mereka,”

katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan 2012 di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini.

Beliau mengambil contoh penganugerahan Kerajaan Pusat kepada jutawan Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhary yang
mendapat projek gula.

“Atas dasar kononnya mahu berikan kepada Bumiputera, kerajaan ambil daripada bapa gula, Robert Kuok dan berikan kepada Syed Mokhtar.” “Tapi apa jadi? Atas nama kontrak diberikan kepada Melayu, sudah empat kali harga gula naik, berlainan masa
Robert Kuok yang pegang,” kata Ahli Parlimen Gombak itu lagi.

Kata beliau, keputusan itu dibuat kerajaan tanpa memikirkan kesannya kepada rakyat, yang akhirnya dibebani mereka.
“Kerajaan Pusat menggunakan kuasa majoriti dalam Parlimen, tapi kroni dapat berbilion. Sama juga kesnya dengan teksi.”

“RM13 bilion ini langsung tidak memberikan manfaat kepada rakyat tapi lebih kepada kroni. Pemandu teksi bukan mahu
tayar tapi permit,” katanya yang menerima aduan, hanya tiga tayar sahaja boleh dibeli dengan wang yang diperuntukkan
kerajaan.

Majlis Penyerahan SISMEP Oleh Timbalan Presiden Peringkat Negeri Pahang

[nggallery id=43]

Oleh: PKR PAHANG
Alhamdulillah, petang semalam (28 Jun 2012) selesai sudah Majlis Penyerahan SISMEP 3.0 serta penyerahan peralatan/bahan jentera PRU bagi KEADILAN Negeri Pahang yang telah dilancarkan oleh Timbalan Presiden, YB Azmin Ali bertempat di Restoren Tanjung, Jalan Haji Ahmad, Kuantan.

Pengerusi KEADILAN Pahang, Dato’ Fauzi Abd Rahman secara resminya telah menerima SISMEP 3.0 dari Timbalan Presiden, YB Azmin Ali bagi kegunaan seluruh jentera Pilihanraya di setiap Cabang KEADILAN di Negeri Pahang. SISMEP ini akan digunakan sebagai alat mengesan nama dan daftar pemilih yang sah dan ianya terbukti berkesan di dalam beberapa Pilihanraya sebelum ini.

Kesemua Cabang juga telah menerima beberapa peralatan dan bahan kempen untuk digunakan semasa Pilihanraya Umum yang bakal diadakan tidak beberapa lama lagi. Sehubungan itu, kesemua Cabang bersama jentera masing-masing diminta untuk meningkatkan lagi gerak kerja dan menggunakan segala peralatan yang dibekalkan sebaik mungkin.

Pelancaran SISMEP & Penyerahan Bahan-Bahan Kempen PRU 13

[nggallery id=40]

Kota Bharu, 22 Jun 2012 – Majlis Perlepasan Konvoi Pilihan Raya Peringkat Negeri Kelantan berlangsung meriah dengan hampir 50 buah kenderaan 4×4 siap dengan bendera Malaysia, Kelantan dan KEADILAN diiringi 6 buah motosikal berkuasa tinggi mengelilingi Bandar Kota Bharu.

Konvoi tersebut telah dilepaskan oleh YB Mohamed Azmin Ali, Timbalan Presiden KEADILAN yang juga Pengarah Jabatan Pilihan Raya Pusat (JPRP).

YB Mohamed Azmin sebelum itu menghadiri Majlis Pelancaran SISMEP 3.0 yang berlangsung di Kelantan Trade Centre bermula jam 3 petang. Program yang dianjurkan oleh JPRP dengan kerjasama Majlis Pimpinan KEADILAN Negeri Kelantan turut dihadiri YB Hajah Zuraida Kamaruddin, Ketua Wanita KEADILAN juga Encik Zakaria Abd Hamid, Ketua Sekretariat JPRP.

Kelantan merupakan Negeri ke 12 menerima kunjungan JPRP dalam acara Jelajah Pelancaran SISMEP ke seluruh negara. Dalam program tersebut, YB Azmin telah menyampaikan taklimat kepada kira – kira 250 orang pimpinan dan penggerak KEADILAN Negeri Kelantan.

Penjualan Rahsia Pertahanan Negara: KEADILAN Desak PDRM, SPRM dan ATM Jalankan Siasatan Segera


Pendedahan SUARAM bahawa syarikat yang berkait dengan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak telah menjual rahsia pertahanan negara adalah satu krisis nasional yang mendesak tindakan segera.

Baru-baru ini, berdasarkan kertas siasatan kes saman yang dibawa oleh SUARAM berhubung pembelian kapal selam Scorpene yang melibatkan rasuah, peguam Joseph Breham telah mendedahkan perkara-perkara berikut:

1.Sebuah syarikat bernama Terasasi (Hong Kong) Limited telah menjual dokumen sulit pertahanan negara kepada sebuah syarikat Perancis bernama DCNS;

2.Dokumen sulit pertahanan negara itu adalah laporan penilaian prestasi kapal selam Scorpene berasaskan keperluan pertahanan yang digariskan oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM);

3.Dokumen sulit itu dijual pada harga 36 juta Euro (bersamaan RM142 juta); dan

4.Terasasi (Hong Kong) Limited dimiliki oleh Abdul Razak Baginda dan ayahnya Abdul Malim Baginda. Kedua-dua tokoh ini adalah penasihat utama Dato’ Seri Najib dan disyaki merupakan proksi kepada beliau.

Skandal pembelian Scorpene kini melangkaui persoalan rasuah dan penyelewengan dana rakyat semata-mata. Pendedahan ini menunjukkan bagaimana pimpinan Umno/Barisan Nasional tidak teragak-agak untuk menggadaikan kemerdekaan dan keselamatan negara demi mengumpul kekayaan peribadi.

Tindakan menjual rahsia pertahanan negara ini adalah pengkhianatan pada tahap tertinggi yang mesti dijawab oleh Dato’ Seri Najib sendiri kerana ia berlaku semasa beliau memimpin Kementerian Pertahanan.

Saya ingin mengingatkan Dato’ Seri Najib bahawa penjualan laporan penilaian prestasi Scorpene dan keperluan pertahanan tersebut bermakna negara asing telah mendapat maklumat terperinci strategi pertahanan negara melibatkan menggunakan Scorpene.

Secara langsung, dengan terdedahnya strategi tersebut ia membuka ruang untuk memanipulasi kelemahan Scorpene. Tindakan ini membahayakan nyawa perajurit negara yang mengendalikan kapal selam Scorpene yang sudah beroperasi.

Sebab itu, saya mendesak Dato’ Seri Najib supaya tidak mengambil mudah skandal penjualan rahsia pertahanan negara ini. Beliau harus tampil memberikan jawapan bagaimanakah rahsia tersebut boleh dijual oleh penasihat utama beliau sendiri.

Saya juga mendesak pihak berkuasa yang terbabit iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) supaya memulakan siasatan segera untuk membawa mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan. Sekiranya Angkatan Tentera Malaysia tidak terlibat dalam penjualan maklumat strategik negara, maka saya mendesak pimpinan tertinggi Angkatan Tentera Malaysia untuk membuat laporan polis dengan segera.

AZMIN ALI
TIMBALAN PRESIDEN KEADILAN
6 JUN 2012

Ucapan di BERSIH 3.0 hanya ‘motivasi’, kata Azmin

Dari Malaysiakini

WAWANCARA Sebulan berlalu sejak perhimpunan menuntut pilihan raya bersih dan adil BERSIH 3.0 diadakan namun isunya masih belum reda, terutama melibatkan timbalan presiden PKR Azmin Ali.

Beliau antara yang paling awal mendapat perhatian, malah pada pagi selepas perhimpunan berkenaan lagi kerana didakwa mempengaruhi para peserta perhimpunan dan menyebabkan kekacauan.

Bercakap kepada Malaysiakini dalam satu wawancara minggu lalu, MP Gombak itu berkata beliau tidak berniat untuk menghasut peserta perhimpunan supaya melanggar penghadang di Dataran Merdeka itu.

Beliau bersama ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pemimpin aktivis parti itu Badrul Hisham Shaharin menghadapi tuduhan di mahkamah atas dakwaan berhubung perhimpunan tersebut.

Azmin dituduh bersubahat dan menghasut peserta perhimpunan berkenaan supaya “membuka sekatan besi halangan di Dataran Merdeka yang mungkin menyebabkan rusuhan atau gaduh-gempur di kawasan tersebut.”

Azmin bagaimanapun menyatakan bahawa ucapannya itu hanyalah sebagai “motivasi” kepada orang ramai yang hadir.

“Tentulah pada masa itu, pemimpin politik perlu memotivasikan anggota kami dan rakyat supaya bangkit dan mempertahankan hak mereka sebagai rakyat Malaysia… Untuk menuntut pilihan raya bersih dan adil. Adakah itu satu jenayah?,” katanya.

Katanya isu melanggar penghadang itu telah mengalihkan fokus daripada “jenayah lebih serius” seperti dakwaan manipulasi pilihan raya.

Tambahnya, beliau juga berucap ketika perhimpunan tersebut atas permintaan seorang pegawai polis kanan untuk mententeramkan orang ramai.