AZMIN ALI

Tag: Parti Keadilan Rakyat

Azmin kata peluangnya dalam PKR ‘tak terancam’

Dari Malaysiakini

Timbalan presiden PKR Azmin Ali berkata beliau tidak merasakan bahawa peluangnya dalam parti “terancam” dengan jumlah anggota keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini menduduki jawatan penting dalam parti tersebut.
“Saya tidak merasakan apa-apa ancaman dalam konteks itu kerana saya percaya kepada proses demokrasi di dalam parti,” katanya ketika ditanya dalam satu wawancara dengan Malaysiakini.

Jelasnya, pemimpin berkenaan dipilih bukan kerana nepotisme atau kronisme tetapi diputuskan anggota parti tersebut melalui demokrasi.

“Pada waktu ini presiden (isteri Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail) dan naib presiden (anak perempuan Anwar, Nurul Izzah) dipilih dari kalangan anggota keluarga.

“Dalam pemilihan parti selepas ini kita tidak tahu. Saya tidak tahu apa jawatan saya selepas ini. Biarlah kita jalankan kerja dahulu. Sekarang fokus kita ialah pada pilihan raya umum.

“Lepas itu kita boleh bincang masa depan parti,” katanya yang hanya ketawa apabila ditanya sekiranya beliau akan menjadi presiden PKR pada satu masa nanti.

Mengulas lanjut, Azmin berkata Nurul Izzah sendiri terlibat di dalam reformasi sejak pemecatan Anwar pada September 1998 dan memainkan peranan penting dalam menggembleng sokongan kepada Anwar.

Jangan dipengaruhi nepotisme

“Kelantangan beliau, keberanian beliau untuk bersama rakyat dan parti untuk mengerakkan gerakan rakyat dan ini diiktiraf anggota parti, bukan diangkat oleh presiden dan ketua umum tapi dipilih oleh anggota parti.

“Baik, Alhamdulillah pemilihan dia dibuat secara sah. Kita perlu maju ke depan dan pastikan keputusan yang dibuat dalam parti dan kerajaan negeri dan pusat insya-Allah tidak dipengaruhi elemen (nepotisme).

“Itu sahaja peringatan saya. Saya tak mahu parti ini mengamalkan amalan tidak sihat,” katanya yang yakin bahawa Anwar akan mempertahankan prinsip tersebut di dalam parti.

Tambahnya, kenyataan Anwar yang keras menentang amalan tersebut ketika di dalam Umno merupakan perkara yang mencetuskan pertembungan Anwar dan Mahathir pada 1997.

“Maka saya yakin (Anwar) akan terus mempertahankan prinsip ini dalam PKR,” katanya.

Wawancara dijalankan Salhan K Ahmad dan Aidila Razak.

Harga kesetiaan Azmin pada Anwar

Dari Malaysiakini

WAWANCARA Timbalan presiden PKR Azmin berkata beliau tidak akan berganjak dari sokongannya kepada ketua umum parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim walau keluarganya sendiri “hancur” dan diaibkan.

Katanya beliau terpaksa berdepan perkara itu kerana tidak menyokong Umno dan konsisten dengan Pakatan Rakyat.

“Kalau ini harga yang perlu saya bayar untuk bawa perubahan, saya sanggup membayar, biar saya dihina diaib tapi rakyat dan negara mesti diselamatkan,” katanya dalam satu wawancara dengan Malaysiakini.

Beliau juga sanggup mengharungi perkara itu demi mempertahankan Anwar, sedangkan beliau juga boleh menyokong Mahathir pada 2 September 1998 – ketika Anwar dipecat daripada jawatan timbalan perdana menteri dan menteri kewangan.

“Saya kena pilih antara Dr Mahathir atau Anwar. Bukan pilihan mudah. Dua tokoh utama negara yang perlu saya pilihan maka saya pilih pertahan kebenaran.

“Walaupun saya lalui kesengsaraan, masuk lokap keluar lokap, saya didakwa, dihina, keluarga saya hancur kerana pilihan yang saya buat.

“Tapi bagi saya itu pilihan yang perlu saya buat untuk pertahan kebenaran,” katanya.

‘Isu keluarga jangan dipolitikkan’

Azmin berkata, beliau langsung tidak terkesan dengan dakwaan berkenaan yang antara lainnya mempertikaikan hubungan darah beliau dengan anaknya.

“Lihatlah apa yang mereka lakukan kepada isteri dan anak saya. Selepas 14 tahun masih ulang fitnah sama, sehingga hari ini.

“Apa yang anda mahu saya lakukan? Saya sudah buat bahagian saya. Saya sudah dapatkan keputusan dua ujian DNA.

“Adakah mereka berminat dengan kebenaran? Tidak. Mereka hanya berminat untuk mengulangi fitnah dan penipuan untuk memburukkan imej pemimpin Pakatan,” katanya lagi.

Perkara itu juga yang mendorong anak perempuannya untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang, setelah melalui dakwaan berkenaan sejak 14 tahun lalu.

Ditanya mengenai hubungannya dengan Umi Hafilda, adiknya yang kini giat mengadakan ceramah anti-Anwar, Azmin berkata beliau tidak mahu terlibat dalam kancah pertikaian dengan Ummi di media.

“Kalau dia pilih (ulas di media) tak apa lah, saya tak mahu terlibat. Saya yakin institusi keluarga ini wajar disejahterakan, diharmonikan, bukan diaibkan dalam media. Saya cukup tak bersetuju hal ini.

“Apa sahaja masalah keluarga, jangan dipolitikkan dan diaibkan dalam media,” katanya.

Azmin: Dakwaan RPK timbul semula sebab pilihan raya

From Malaysiakini

Timbalan presiden PKR Azmin Ali berkata dakwaan berhubung siasatan ke atas pemilikan hartanya sehingga jutaan ringgit sengaja ditimbulkan memandangkan pilihan raya umum akan berlangsung tidak lama lagi.

Dakwaan itu sengaja ditimbulkan di blog Malaysia Today walaupun beliau telah menyerahkan semua bukti yang diminta ketika disiasat 17 tahun lalu, katanya.

Azmin Ali

“Saya tidak ada wang sebanyak itu. Namun dengan semua bukti yang saya kemukakan, kenyataan bank, dokuman yang diminta, saya serahkan semuanya kepada pihak berkuasa.

“Mereka patut putuskan apa yang hendak dilakukan selepas itu. (Siasatan dilakukan sejak) 17 tahun lalu.

Azmin turut mengulas dakwaan Raja Petra bahawa ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan supaya siasatan rasuah itu dihentikan.

Katanya, SPRM yang dikenali dengan nama Badan Pencegah Rasuah pada masa itu sudahpun mengambil keputusan untuk tidak mendakwa Anwar atas tuduhan tersebut.

Beliau berkata demikian dengan merujuk satu tulisan berhubung kes berkenaan oleh Datin Kalsom Taib yang merupakan isteri kepada bekas pengarah BPR Datuk Shafee Yahya.

Menurut buku bertajuk “The Shafee Yahya Story: Estate Boy to ACA Chief” itu, Kalsom menceritakan bahawa Anwar sepatutnya didakwa kerana mempengaruhi Shafee untuk menutup penyiasatan ke atas Azmin.

Pendakwaan tersebut bagaimanapun tidak disertakan ketika Anwar dibawa ke mahkamah.

Kenapa timbul semula?

“Kenapa sekarang Raja Petra (pengendali Malaysia Today) timbulkan? Sebab pilihan raya sudah dekat,” katanya dalam satu wawancara dengan Malaysiakini hari ini.

Tambahnya, beliau tidak perlu membuat penjelasan kepada Raja Petra kerana beliau sudahpun memberi kerjasama kepada pihak berkuasa, 17 tahun lalu.

“Sekarang (Raja Petra) mahu saya ulang perkara sama?,” katanya yang menambah, rakyat juga mengetahui “siapa sebenarnya Raja Petra.”

“Rakyat boleh melihat waktu (yang dipilih untuk menimbulkan) dakwaan ini,” katanya lai.

Beliau mengulas dakwaan Raja Petra yang mendakwa memiliki “fail rahsia” berhubung siasatan SPRM (Badan Pencegah Rasuah pada masa itu) bertarikh 1995 berhubung transaksi saham, hartanah dan kenderaan Azmin.

Ekoran itu, SPRM membuat laporan polis ke atas Raja Petra berhubung pendedahan dokumen siasatan berkenaan dalam tulisan bertajuk MACC ‘Deep Throat’ comes out of the closet (Pemberi maklumat SPRM dedah identiti diri) yang disiarkan semalam.

Laporan hari ini menyebut, Panel Penilaian Operasi SPRM juga akan mengadakan mesyuarat untuk melihat semula dakwaan itu.

Majlis Pelancaran SISMEP 3.0 & Penyerahan Bahan Pilihan Raya Negeri Sabah.

[nggallery id=36]

Kota Kinabalu, 2 Jun 2012 – Bandaraya Kota Kinabalu hari ini meriah dipenuhi dengan bendera Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) sempena kehadiran YB Azmin Ali, Timbalan Presiden bersama rombongan Jabatan Pilihanraya Pusat (JPRP) dan kepimpinan tertinggi KEADILAN ke Negeri Sabah.

Kira-kira lebih 600 terdiri dikalangan pimpinan dan jentera utama KEADILAN dari kesemua 26 cabang termasuk Cabang Labuan hadir untuk menghadiri Majlis Pelancaran SISMEP 3.0 & Penyerahan Bahan Kempen Pilihan Raya yang dilancarkan oleh YB Mohamed Azmin Ali, yang juga merangkap Pengarah Pilihan Raya Pusat.

Majlis yang berlangsung di Dewan Utama Hotel Yaho, Kota Kinabalu itu diisi dengan taklimat dari kepimpinan utama parti meliputi hal manifesto, undi orang muda dan wanita, penerangan dan strategi menghadapi PRU 13. Kehadiran pimpinan daripada setiap sayap utama parti yang diketuai oleh YB Mohamed Azmin telah menyuntik semangat juang yang tinggi dikalangan anggota dan jentera parti. Inilah ‘winning team’ bagi Parti Keadilan Rakyat.

Sabah merupakan destinasi ke 7 rombongan Jabatan Pilihan Raya Pusat (JPRP) dan YB Mohamed Azmin dalam rangka mempersiap jentera dan gerak kerja parti dalam menghadapi Pilihanraya Umum ke 13. Majlis berakhir dengan perlepasan konvoi membawa bahan – bahan kempen pilihan raya yang terdiri daripada 107 buah kenderaan 4×4 daripada seluruh Sabah. Konvoi yang dianjurkan oleh AMK Sabah telah dilepaskan oleh YB Mohamed Azmin dan Saudari Ahmad Thamrin Jaini, Pengerusi MPN Sabah.

KES DATO’ SERI SHARIZAT JALIL-NFC DAN DAKWAAN TERHADAP AZMIN ALI: KEPUTUSAN SPRM MENIMBULKAN LEBIH BANYAK TANDA TANYA

Kami berasa kesal dengan dua keputusan penting yang dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada hari ini berhubung kes NFC/penglibatan Dato’ Seri Shahrizat Jalil serta tuduhan terhadap Saudara Azmin Ali.

Sungguh pun rata-rata rakyat Malaysia sudah menjangkakan bahawa SPRM akan melepaskan Dato’ Seri Shahrizat Jalil dari tuduhan rasuah bersabit NFC, keputusan SPRM membuka siasatan terhadap Saudara Azmin Ali benar-benar mendedahkan wajah sebenar SPRM.

Rakyat boleh menilai tindakan tangkas SPRM berhubung tuduhan terhadap Saudara Azmin Ali walaupun laporan dan siasatan Badan Pencegah Rasuah (BPR, pada ketika itu) telah menyatakan bahawa tidak ada unsur rasuah ketika siasatan dibuat dalam tahun 1995.

Berbeza pula dengan pelbagai dolak dalih yang diberikan SPRM dalam kes NFC dan Dato’ Seri Shahrizat Jalil, walaupun NFC dan menteri bertanggungjawab membuat keterangan di Parlimen mengenai proses pemberian tender kepada sebuah syarikat milik keluarga beliau.

Kami bentangkan fakta-fakta berikut agar rakyat boleh menghakimi sendiri tindak-tanduk SPRM dalam dua kes ini:

KES SAUDARA AZMIN ALI

1. Dato’ Shafee Yahaya, bekas Ketua Pengarah BPR telah membuat kenyataan hari ini dan semalam bahawa siasatan mendapati tidak ada unsur rasuah yang mewajarkan dakwaan ketika siasatan dibuat terhadap Saudara Azmin Ali dalam tahun 1995;

2. Beliau menyatakan bahawa SPR mengesyorkan agar tindakan disiplin dikenakan terhadap Saudara Azmin Ali bertepatan dengan peraturan jabatan kerajaan;

3. Insiden dan fakta kes ini telah dinyatakan secara jelas di dalam bukunya “The Shafee Yahaya Story” mukasurat 306, 326 dan 356.

KES NFC-DATO’ SERI SHAHRIZAT JALIL

1. Dato’ Seri Noh Omar telah menyatakan di Parlimen bahawa tender NFC dibuat secara tertutup dengan menjemput hanya enam buah syarikat, antaranya NFCorp dan Felda Farm Products Sdn Bhd. Hanya Felda Farm Products Sdn Bhd yang mempunyai pengalaman dalam industri penternakan, sedangkan NFCorp hanya baru ditubuhkan;

2. Berdasarkan peraturan umum perolehan dan tender mana-mana badan (apatah lagi projek besar kerajaan), tindakan menganugerahkan tender kepada sebuah syarikat yang tidak berkemampuan untuk melaksanakannya adalah satu tindakan rasuah;

3. Ini bermakna, Jawatankuasa Tender Berimpak Tinggi yang dipengerusikan oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak sendiri telah melakukan perbuatan rasuah dengan menganugerahkan projek bernilai RM250 juta kepada NFCorp yang langsung tidak mempunyai pengalaman mengendalikannya;

4. Satu-satunya hubungkait (atau pertalian) di antara Dato’ Seri Najib Tun Razak (sebagai pengerusi Jawatankuasa Tender) dan NFCorp adalah Dato’ Seri Shahrizat Jalil melalui hubungan kekeluargaan beliau (dengan NFCorp) dan hubungan politik (dengan Dato’ Seri Najib Tun Razak).

Rakyat sudah tentu dapat membezakan bagaimana SPRM berhempas pulas membuka fail siasatan baru terhadap Saudara Azmin walaupun tiada fakta, tetapi melepaskan sahaja Dato’ Seri Shahrizat Jalil walaupun jelas satu perbuatan pecah amanah telah berlaku.

Kami yakin SPRM tidak pun memanggil Dato’ Seri Najib Tun Razak untuk disoalsiasat walaupun beliau saksi utama yang perlu ditemuramah untuk memahami kenapa tender RM250 juta dianugerahkan kepada NFC.

Malah, kami sendiri pelik kenapa kami tidak dipanggil untuk disoalsiasat sedangkan kamilah yang paling ke depan membongkarkan penyelewengan NFC?

Kami yakin bahawa rakyat telah memutuskan ada perlakuan rasuah di dalam kes NFC.

Tugas SPRM sekarang bukanlah menjadi kuda tunggangan Barisan Nasional untuk membuka fail menyiasat pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat di kala pilihanraya begitu dekat. Tugas SPRM ialah menjawab persoalan-persoalan mengenai kes pecah amanah besar seperti NFC.

Soalan kami mewakili rakyat Malaysia kepada SPRM:

Jika Dato’ Seri Shahrizat Jalil tidak terlibat, apakah ini bermakna Dato’ Seri Najib Tun Razak yang pecah amanah kerana beliau (tanpa dipengaruhi dan diminta oleh Dato’ Seri Shahrizat Jalil) menganugerahkan tender RM250 juta kepada NFCorp yang tidak layak?

HAJJAH ZURAIDA KAMARUDDIN
KETUA WANITA KEADILAN

MOHD RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI KEADILAN

31 MEI 2012

Pakatan Rakyat guna satu manifesto untuk PRU-13

[nggallery id=35]

Dari Sinar Harian
ALOR SETAR – Pakatan pembangkang akan menggunakan satu manifesto sahaja dan mengutamakan isu ekonomi dan pendidikan sebagai strategi memenangi pilihan raya umum (PRU) ke-13.

Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamed Azmin Ali berkata ketiga-tiga parti terbabit telah membincangkan pembahagian kerusi di peringkat nasional dan menyelesaikan banyak pertindihan kerusi kecuali sebilangan kecil, termasuk satu di Kedah, yang dijangka selesai Jun ini.

“Majlis Presiden parti menetapkan garis panduan mengenai peruntukan kerusi dan saya yakin dengan semangat muafakat yang kuat dalam PR (Pakatan Pembangkang, PRU kali ini menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara PR dan Barisan Nasional,” katanya.

Kerusi yang sememangnya dimenangi parti komponen Pakatan Pembangkang (pada pilihan raya lepas) tidak akan diminta untuk dirundingkan (pembahagiannya), katanya kepada pemberita selepas melancarkan SISMEP 3.0 dan penyerahan bahan-bahan kempen pilihan raya kepada semua pengarah pilihan raya PKR di Kedah dan Perlis di sini, hari ini.

Azmin yang juga pengarah pilihan raya PKR berkata sebanyak 13 juta risalah pilihan raya telah dicetak untuk diedarkan kepada pengundi dengan memberi tumpuan pengundi muda di seluruh negara.

Beliau yakin Pakatan Pembangkang mampu mempertahan Kedah kerana sokongan pengundi muda yang semakin melonjak.- Bernama

Pelancaran SISMEP 3.0 & Penyerahan Bahan Bahan Kempen Pilihanraya di Negeri Sembilan dan Melaka

[nggallery id=30]
Negeri Sembilan

[nggallery id=31]
Melaka 

Tanggal 19 Mei 2012 – Jabatan Pilihan Raya Pusat (JPRP) meneruskan acara Pelancaran SISMEP 3.0 dan Penyerahan Bahan Kempen Pilihan Raya ke Negeri Sembilan dan Melaka. Tim JPRP turun ke kedua-dua negeri ini dengan kekuatan setiap sayap dalam parti. YB Mohamed Azmin selaku Timbalan Presiden dan Pengarah Pilihan Raya hadir bersama rombongannya yang turut disertai oleh YB Zuraida selaku Ketua Wanita KEADILAN, Saudara Shamsul Iskandar selaku Ketua AMK KEADILAN dan Saudara Rafizi Ramli selaku Pengarah Strategi. Kehadiran kesemua pimpinan ini menandakan bahawa JPRP turun ke setiap negeri dengan ‘Winning Team’ untuk memastikan kemenangan KEADILAN dalam Pilihan Raya Umum ke 13.

Acara di Negeri Sembilan berlangsung dengan meriah pada sebelah pagi dengan kehadiran kira-kira 300 orang di Pejabat Majlis Pimpinan Negeri, Seremban. Penggerak-penggerak KEADILAN yang akan membantu dalam Pilihan Raya akan datang ternyata bersemangat dengan kehadiran pimpinan serta taklimat yang disampaikan. Tambah lagi, setiap cabang dibekalkan dengan Perisian SISMEP 3.0 yang akan membantu jentera mendapat maklumat yang terperinci supaya dapat mengatur strategi dengan kemas dan berkesan.

Paling meriah adalah acara Perlepasan Konvoi Kenderaan 4×4 yang membawa bahan kempen pilihan raya yang selesai diagihkan ke setiap kawasan pilihan raya. Jentera tampak bersemangat untuk pulang ke kawasan masing-masing dan terus bekerja demi kemenangan rakyat.

Acara yang sama juga berlangsung di Melaka pada sebelah petang. YB Mohamed Azmin hadir bersama-sama ‘Winning Team‘ untuk memberi taklimat terperinci berkenaan persediaan pilihan raya. Biarpun program anjuran Majlis Pimpinan Negeri Melaka yang seharusnya berlangsung di Hotel Hang Tuah, Bukit Baru terpaksa dibatalkan dan diadakan di Pejabat Majlis Pimpinan Negeri atas tekanan Kerajaan Negeri, namun semangat anggota parti tetap tidak luntur.

JPRP akan meneruskan acara Pelancaran SISMEP 3.0 ini di Dewan Sivik MBPJ, Petaling Jaya pada hari esok, 20 Mei 2012 bagi Negeri Selangor. Dijangkakan hampir 1000 orang penggerak KEADILAN daripada seluruh Negeri Selangor akan hadir.

KEADILAN bersatu dan bersedia hadapi PRU13

[nggallery id=29]

Dari Keadilankini

Timbalan Presiden KEADILAN, Mohamed Azmin Ali memberitahu KEADILAN sudah bersiap sedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke13 (PRU13) walaupun ia bakal dilakukan esok.

Beliau yang sebelum ini pada Sabtu dan Ahad lepas bersama-sama Jabatan Pilihanraya Pusat Parti Keadilan Rakyat (JPRP) dan Jabatan Pilihanraya Negeri (JPRN) dengan jayanya menyerahkan bahan-bahan dan keperluan logistik untuk mengahadapi pilihan raya kepada jentera di kawasan yang bakal ditandingi kelak.

“Penyerahan bahan-bahan pilihanraya ini melibatkan 18 cabang di Perak dan 11 cabang dari Pulau Pinang. Majlis yang diadakan di Ipoh, Perak pada Sabtu lepas dan pada hari berikutnya di Bayan Lepas, Pulau Pinang.

“Ia turut dihadiri Datuk Mansor Othman, Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang merangkap Timbalan Pengarah JPRP, Zuraida Kamaruddin, Ketua Wanita, Rafizi Ramli, selaku Pengarah Strategi KEADILAN dan Dr Muhammad Nur Manuty selaku Ketua Penerangan KEADILAN.

“Pengagihan bahan-bahan dan keperluan logistik ini menandakan bahawa KEADILAN telah bersedia untuk berhadapan dengan Pilihan Raya Umum ke 13. Selain itu, ia turut membakar semangat pejuang KEADILAN untuk menghadapi pilihan raya yang pastinya akan berlangsung dengan sengit,” jelasnya.

Tambah beliau lagi, penyerahan bahan pilihan raya pada kali ini berbeza jika dibandingkan pada tahun-tahun sebelumnya, bahan-bahan disampaikan terus kepada kawasan Parlimen dan DUN yang ditandingi KEADILAN.

Majlis penyerahan turut menyaksikan konvoi kenderaan 4X4 membawa bahan-bahan pilihan raya tersebut terus ke kawasan Parlimen dan DUN yang ditandingi oleh KEADILAN. Hal ini sekaligus memberi rangsangan kepada jentera akar umbi untuk terus bekerja demi menjana kemenangan rakyat.

“Selain membekalkan bahan-bahan pilihan raya, Sistem Menang Pilihanraya – SISMEP juga turut dilancarkan, sistem ini merupakan satu perisian demi membantu jentera pilihan raya membuat analisa senarai pemilih.

“Ianya mula dibangunkan pada tahun 2006 dan diperkenalkan dalam Pilihanraya Umum ke 12 pada tahun 2008. Menjelang Pilihanraya Umum ke 13, Jabatan Pilihanraya Pusat telah melakukan penambahbaikan kepada SISMEP dan menggelarnya SISMEP 3.0, sejajar dengan tuntutan pilihanraya bersih dan adil yang dikemukakan BERSIH 3.0,” tambah Azmin lagi ketika dihubungi keadilankini.

Sebelum itu, di kedua majlis di Ipoh dan Pulau Pinang juga satu taklimat strategi pilihan raya telah disampaikan oleh Rafizi Ramli selaku Pengarah Strategi.

Beliau telah memberi garis panduan yang strategik supaya bahan-bahan yang dibekalkan dapat digunakan secara bermanfaat. Antara yang membangkitkan semangat anggota adalah kempen 13 juta risalah; 1 pengundi, 1 risalah.

Dalam pada itu, Agenda Wanita turut tidak ketinggalan dengan kehadiran Zuraida, Ketua Wanita KEADILAN Pusat. Wanita berperanan untuk memastikan agenda perubahan berlaku dalam lanskap politik negara. Beliau menyimpulkan taklimatnya dengan tema ‘Wanita Berdaya Harapan Negara’.

“Alhamdulilah, sehingga kini majlis pengagihan bahan-bahan pilihanraya dan pelancaran SISMEP berjaya dilaksanakan sebaiknya, selepas ini jabatan pilihanraya di peringkat pusat dan dengan kerjasama di peringkat negeri akan menumpukan usaha pengagihan bahan-bahan pilihanraya serta penggunaan SISMEP ke seluruh pelusuk negara.

“Adalah diharapkan dengan bahan-bahan pilihanraya serta keperluan logistik yang dibekalkan Jabatan Pilihanraya Pusat ini, makanya akan menjana semangat jentera Parti Keadilan Rakyat demi memenangkan Pakatan Rakyat dan seterusnya menempa kejayaaan ke Putrajaya,” kata Azmin lagi

Kenyataan Tan Sri Rahim Noor Dangkal

PEJABAT TIMBALAN PRESIDEN
PARTI KEADILAN RAKYAT
KENYATAAN MEDIA | 9 MEI 2012

Kenyataan Dangkal Mantan Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor

YAB Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat merupakan seorang ulama, tokoh politik dan ilmuan Islam berwibawa yang dihormati dan disegani setiap lapisan masyarakat. Orang Islam mahupun orang bukan Islam menyanjungi pekerti Tuan Guru dan menghormati kegigihan beliau mentadbir Negeri Kelantan selaku Menteri Besar demi kemaslahatan rakyat negeri tersebut.

Sebagai Mursyidul Am Parti Islam SeMalaysia (PAS), Tuan Guru merupakan teladan kepada ahli PAS serta menjadi antara rujukan utama kepada Muslim seluruh negara. Tuan Guru Nik Abdul Aziz menampilkan kepimpinan bertunjangkan pesan agama Islam dan menzahirkannya sebagai suatu bentuk dakwah bil hikmah.

Namun kita dikejutkan dengan tohmahan biadap dan melampau mantan Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor yang menggelar Tuan Guru Nik Abdul Aziz sebagai “bapa kafir”. Mantan Ketua Polis Negara inilah yang terbukti memukul dan membelasah Dato’ Seri Anwar Ibrahim tatkala ditahan pada tahun 1998 dan tidak cukup dengan itu memfitnah saya dan keluarga.

Tan Sri Rahim Noor sebenarnya tidak layak mempersoal keimanan dan keyakinan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Kedangkalan kenyataan mantan Ketua Polis Negara itu jelas terserlah malah dicemuh rakyat.

Oleh kerana itu saya menggesa agar Tan Sri Rahim Noor segera memohon maaf kepada YAB Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat di atas tohmahan biadap yang dilemparkan.

Mohamed Azmin Bin Ali