AZMIN ALI

LATEST

Tag: Pilihanraya Kecil

PRK K.Besut kritikal, sangat penting, kata Azmin

KUALA LUMPUR – PRK Kuala Besut disifatkan pertandingan yang kritikal serta sangat penting kepada Umno-BN dan PR kerana ia mampu menentukan hala tuju pentadbiran kerajaan negeri, ujar Mohamed Azmin Ali.

Sehubungan itu katanya, pertarungan merebut kerusi itu dijangka sengit khususnya parti pemerintah yang akan melakukan apa sahaja untuk mempertahankan kerusi berkenaan daripada dirampas parti lawan.

Apatah lagi, ia melibatkan risiko kehilangan kuasa pentadbiran di negeri itu.

“Bagi Umno, ianya perlu untuk mempertahankan kerajaan negeri, bagi PR ianya amat perlu untuk kita membentuk sebuah kerajaan negeri yang baru selepas PRK itu.

“Sekiranya PR dapat menawan semula kerusi berkenaan kerana kerusi itu pernah dimenangi oleh PKR pada 1999.

“… ianya tidak mustahil untuk PR sekali lagi mewakili kerusi itu pada PRK akan datang,” katanya kepada Sinar Harian Online ketika ditemui dalam program ‘Wacana Ucapan Dasar, Laksana Satu Nyawa’ bersama Timbalan Presiden PKR, di sini, semalam.

[nggallery id=75]

Beliau berkata demikian mengulas kekosongan kerusi Dun Kuala Besut, Terengganu susulan kematian penyandangnya, Dr A.Rahman Mokhtar dari BN.

Azmin juga tidak menolak kemungkinan PKR akan meletakkan calonnya di kerusi tersebut yang merupakan PRK kali pertama akan diadakan selepas pilihan raya 5 Mei lalu.

Bagaimanapun katanya, keputusan itu hanya akan diketahui selepas satu mesyuarat bersama Majlis Pimpinan PR diadakan dalam masa terdekat.

“Saya yakin kali ini ianya akan menonjolkan satu wakil yang mewakili PR daripada parti yang akan diputuskan oleh Majlis Pimpinan PR.

“Sebarang keputusan yang bakal diambil adalah tertakluk kepada perbincangan dan persetujuan akan dibuat dalam Majlis Pimpinan PR,” katanya lagi.

Selain itu, Azmin yang juga ahli Parlimen Gombak turut menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya menggunakan sebaik mungkin platform PRK itu untuk menunjukkan kesungguhan beliau dalam melakukan transformasi pilihan raya di negara ini.

Apa Signifikan Keputusan Bagan Pinang ?

Apa signifikan keputusan Pilihan Raya Kecil DUN Bagan Pinang yang diumumkan semalam ? UMNO semakin selesa dan perlu kekal dalam ‘form’ yang sedia ada ( jasad dan ruhnya ) sebagai pengamal rasuah yang dominan di Malaysia. UMNO juga tidak perlu sebarang transformasi. Justeru itu, UMNO tidak memerlukan Perhimpunan Agung Khas ( EGM ) untuk meminda perlembagaan bagi membendung gejala dan amalan rasuah yang sudah menjadi barah dalam institusi politik perkauman sempit di Malaysia. Malahan, sebarang usaha untuk melakukan transformasi dalam UMNO adalah usaha yang sia-sia kerana sekurang-kurang pengundi di Bagan Pinang amat selesa dengan UMNO dan pemimpin UMNO yang rasuah. Dunia hari ini mendapat jawapan yang jelas bahawa UMNO menghalalkan rasuah dan rakyat Malaysia ( atau sekurang-kurangnya pengundi-pengundi di Bagan Pinang ) mendewa-dewakan Sang Perasuah.

UMNO perlu membuat persiapan awal untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke 13 dengan menonjolkan barisan calon-calon UMNO di kalangan perasuah kerana itulah cita rasa rakyat Malaysia.

Catatan ringkas di atas bukanlah untuk menghukum rakyat Malaysia secara membuta tuli tetapi itulah persepsi dunia hari ini dan juga rakyat Malaysia yang cintakan keadilan dan kebenaran. Keputusan Bagan Pinang pastinya akan meletakkan Malaysia di peta dunia di kalangan negara-negara yang rosak nilai dan moral anak bangsanya.
Mengambil lirik lagu rasmi UMNO : “UMNO terus mara, untuk rakyat Malaysia”.

AZMIN ALI

Keringat tentera diperah untuk kepentingan Sang Perasuah

Perajurit adalah pemegang saham terbesar dalam mempertahankan kedaulatan negara kita. Ketumbukan anggota tentera yang terlatih dan memiliki disiplin yang tinggi telah berjaya menangani dan menghadapi ancaman keselamatan dari luar dan juga di sempadan negara. Pengorbanan mereka cukup besar; senantiasa siap siaga di perbatasan, meninggalkan keluarga tersayang di kampong halaman, mendepani cabaran dan risiko serangan, mengharungi ranjau dan belukar atas nama perjuangan, menyemai bakti untuk anak bangsa dan tanah air kesayangan. Port Dickson menjadi salah satu dari markas penting dalam melahir dan melatih ramai perajurit dan pejuang negara sejak sebelum Perang Dunia Kedua lagi.

Saya juga tidak sunyi dari kehidupan keluarga tentera. Allahyarham ayah saya, Ali Omar atau lebih dikenali sebagai Ali Kupang ( kerana berasal dari Kedah ) berkhidmat selama 21 tahun termasuk dalam British Army dengan memakai nombor tentera 3443. Masih segar diingatan saya nombor tenteranya ! Beliau pernah berkhidmat di Kuala Pilah dan Singapura. Allahyarham bapa saya sering menceritakan kepada anak-anaknya bagaimana pengalaman pahit beliau ketika berdepan dengan serangan komunis dalam hutan belantara. Bapa saudara saya juga adalah pegawai tentera. Mejar Nayan Omar berkhidmat dan menetap lama di Port Dickson. Abang kandung saya, Azman Ali mendapat latihan ketenteraan di Port Dickson dan berkhidmat selama lebih satu dekad dalam perkhidmatan ketenteraan dengan berpangkat Leftenan sebelum mengambil pilihan persaraan awal.

Siapa tidak kenal Leftenan Muda Adnan yang memimpin Rejimen Askar Melayu dan telah mengadai jiwa raga demi mempertahankan tanah air dari pencerobohan tentera Jepun. Sejarah merakamkan pengorbanan besar anggota perajurit Malaysia sejak sebelum merdeka lagi dalam mendepani zaman darurat dan konfrantasi dari Indonesia.

Namun, amat malang dan sedih sekali apabila sumbangan dan pengorbanan anggota perajurit dan para pejuang tanah air sering dipandang sepi oleh UMNO dan Barisan Nasional. Pendapatan anggota tentera dan juga imbuhan untuk mereka tidak setimpal dengan perkhidmatan mereka mempertahankan kedaulatan negara ini. Kebajikan pesara tentera dan juga keluarga mereka tidak diberikan perhatian yang serius oleh Kerajaan Pusat. Apabila tamat perkhidmatan khususnya persaraan wajib, sebahagian besar pesara-pesara tentera dan keluarga mereka terpaksa melalui kehidupan yang payah dan getir; ibarat kais pagi makan pagi, kais petang belum tentu makan. Kos kehidupan yang semakin meningkat akan terus membebankan masa depan keluarga pejuang-pejuang tanah air ini. Pada umur persaraan, keadaan kesihatan juga mungkin terganggu. Namun, anggota tentera dan keluarga mereka tidak mampu untuk mendapat perkhidmatan kesihatan yang terbaik kerana kos yang mahal.

Pak Menteri dan Sang Penguasa membuat pegumuman untuk berbelanja besar bagi meningkatkan prestasi ketenteraan melalui pembelian senjata moden dan canggih. Tapi umum sedia maklum. Matlamat yang tersirat adalah untuk memunggah komisyen yang berjumlah ratusan juta ringgit untuk pemimpin bangsawan UMNO dan kroni serta suku sakat mereka. Masalah dan kebajikan warga perajurit masih tidak diselesaikan. Malahan keringat mereka diperah untuk kepentingan segelintar Sang Perasuah.

Pakatan Rakyat ingin menjayakan program untuk anggota tentera dan perajurit serta keluarga mereka melalui peruntukan yang besar untuk program perumahan anggota tentera, peluang pendidikan untuk anak-anak melalui biasiswa dan pinjaman pendidikan serta latihan teknikal dan sokongan selepas persaraan untuk menyediakan anggota tentera dan perajurit menceburi bidang perniagaan. Saya juga ingin mencadangkan pembinaan sebuah hospital khas untuk warga tentera dan keluarga mereka yang bertaraf dunia dan dilengkapi dengan kemudahan dan teknologi perubatan yang moden termasuk pakar-pakar perubatan dan kemudahan terapi untuk anggota-anggota tentera yang tercedera semasa dalam perkhidmatan. Kos perubatan perlulah minima sebagai menghargai sumbangan dan pengorbanan mereka.

Pengumuman Port Dickson sebagai Bandar Tentera Darat tidak lebih dari satu lagi projek Barisan Nasional untuk memperhangatkan kempen pilihan raya di Bagan Pinang. Penggunaan undi pos adalah perbuatan diskriminasi berterusan terhadap para perajurit kita. Usaha terancang untuk memanipulasi undi pos masih berleluasa di kem-kem tentera. Maruah perajurit kita terus tercalar ekoran kerakusan UMNO untuk berkuasa. Benarlah hujah seorang pegawai tertinggi SPR kepada saya beberapa tahun lalu apabila diajukan soalan penghapusan undi pos. Jawabnya ringkas, “Najib tidak mahu undi pos dihapuskan kerana undi pos menjamin survival kuasa UMNO” !

Berdasarkan laporan Malaysiakini disini, seorang bekas sarjan yang dikenali sebagai Abu Kassim mengakui pernah memangkah BN bagi pihak anggota-anggota tentera yang lain dalam dua pilihan raya umum yang lalu.

Kenyataan ini sudah cukup membuktikan bahawa UMNO tidak menghormati kemuliaan dan kebijaksanaan pengundi-pengundi di kalangan anggota tentera dan warga perajurit. Malahan UMNO terus memperbodohkan pengundi-pengundi di Bagan Pinang dengan menonjolkan Isa Samad sebagai calon terbaik Barisan Nasional. Tindakan ini amat memalukan negara kita dan kewibawaan pengundi-pengundi kita khususnya pegawai-pegawai dan anggota tentera dan pengundi-pengundi muda. Parti dan pemimpin yang terpalit dengan rasuah sudah lama ditolak di negara-negara maju seperti Jepun, Korea, India, Eropah dan Amerika Syarikat. Yang terbaru kita saksikan bagaimana parti LDP yang berkuasa selama lebih 50 tahun di Jepun telah dihumban oleh rakyat Jepun.

Saya menyeru kepada semua pengundi di Bagan Pinang khususnya pengundi-pengundi pos dan pengundi-pengundi muda dan juga ahli-ahli UMNO biasa untuk bersama-sama muafakat membawa perubahan pada 11 Oktober 2009 ini di Bagan Pinang. Dunia sedang menyaksikan keupayaan pengundi-pengundi di Bagan Pinang untuk menjana kekuatan baru dengan menolak parti dan calon yang rasuah demi masa depan yang lebih sejahtera untuk Malaysia. Pakatan Rakyat adalah parti masa depan.

AZMIN ALI

Ribuan Ahli Pas, Umno Hadir Beri Sokongan

Pekan kecil Manek Urai pagi ini bertukar wajah apabila ribuan penyokong PAS dan Umno
mengiringi calon masing-masing ke pusat penamaan calon bagi pilihanraya kecil DUN
kawasan tersebut pagi ini.

Walaupun proses penamaan calon itu hanya bermula jam 9 pagi, tetapi penyokong kedua
belah pihak sudah mula berkumpul seawal jam 7 pagi sebelum berarak ke pusat penamaan
calon di SMK Sultan Yahya Petra 1.

Penyokong Umno berhimpun di ibu pejabat parti itu di Kuala Krai sambil memukul gendang
dan gong tradisional Kelantan mengikut rentak dikir barat, sementara menunggu ketibaan
pemimpin mereka.

Pertama tiba di situ ialah pengerusi badan perhubungan Umno Kelantan, Datuk Mustapa
Mohamed. Setiausaha Agung Umno, Datuk Tengku Adnan Mansor turut hadir untuk memantau
persiapan untuk proses penamaan calon.

Pada jam 8.30 pagi, kira-kira 2,000 penyokong Umno sudah bersedia untuk
mula berarak ke pusat penamaan calon.

Hadir mengiringi calon Umno – Tuan Aziz Tuan Mat, 39 – ialah Timbalan Presiden Umno,
Tan Sri Muhyiddin Yassin; Naib Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Datuk
Mohd Shafie Apdal, serta Ketua Pemuda dan Wanita Umno – Khairy Jamaluddin dan Datuk
Shahrizat Abdul Jalil.

Sementara kira-kira 2,000 penyokong PAS pula mula berhimpun di persimpangan Jalan
Kuala Krai pada kira-kira jam 7 pagi.

Dan ketika parti itu mengadakan sembahyang hajat di Masjid Al-Jauhar, jumlah penyokong
PAS sudah bertambah kepada hampir 10,000 orang

Dengan diketuai oleh Mursyidul Am PAS yang juga menteri besar Kelantan, Datuk Nik
Aziz Nik Mat, mereka mula berarak mengiringi calon PAS – Mohd Fauzi Abdullah, 50 –
ke pusat penamaan calon pada kira-kira jam 8.10 pagi.

SMK Sultan Yahya Petra 1 terletak sejauh kira-kira 1.4 km.