AZMIN ALI

LATEST

Tag: Polis

Hujah terhadap fitnah lapuk UMNO

KUALA LUMPUR, 6 April: Angkatan Muda KEADILAN (AMK) mengikuti dan memantau secara serius laporan-laporan media yang dikuasai oleh UMNO-Barisan Nasional yang sejak akhir-akhir ini begitu giat menyerang peribadi serta anggota keluarga Timbalan Presiden KEADILAN, Mohamed Azmin Ali.

Merujuk kepada beberapa tuduhan dan dakwaan yang dilemparkan terhadap Azmin oleh individu seperti Ummi Hafilda Ali dan Datuk Dr. Hasan Ali, AMK berpandangan adalah tidak menjadi keperluan untuk Azmin menjawab tuduhan serta dakwaan ini memandangkan ianya adalah fitnah lapuk yang diulang kembali dan sebetulnya telah pun dijawab serta dijelaskan menerusi fakta berupa laporan perubatan serta keputusan mahkamah.

Berikut adalah butiran penjelasan berkaitan tuduhan dan dakwaan yang telah pun dijelaskan oleh Timbalan Presiden KEADILAN sebelum ini namun secara sengaja ‘digelapkan’ oleh media UMNO-Barisan Nasional:

a)Status ujian DNA ke atas anak beliau, Farah Afifah Binti Mohamed Azmin

Azmin, isteri beliau Shamshida Taharin dan anak perempuan mereka, Farah Afifah telah menjalani ujian DNA sebanyak dua (2) kali. Ujian DNA yang pertama telah dibuat di Institute of Science and Forensic Medicine, Singapura pada 2 Julai 1998 manakala ujian DNA yang kedua telah dibuat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 28 Julai 1998. Kedua-dua ujian ini dibuat oleh YB Mohamed Azmin demi membersihkan fitnah jahat terhadap isteri dan anak beliau biarpun dinasihatkan supaya tidak berbuat demikian oleh Allahyarham Raja Aziz Addruce, peguambela Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Kedua-dua Laporan Ujian DNA tersebut telah mengesahkan bahawa Azmin dan isterinya Shamshida adalah ‘biological parent’ kepada Farah Afifah. Laporan daripada Institute of Science and Forensic Medicine, Singapura tersebut menyebut;

“The results from all three genetic loci show that the donor of blood specimen marked ‘X’ (putative father) is the biological father of the donor of the blood specimen marked ‘Y’ (child).”

Laporan DNA yang dikeluarkan oleh HKL atas arahan Penolong Kanan Pesuruhjaya Polis (SAC) Musa Hassan (kini Tan Sri) juga menunjukkan keputusan yang sama. Walau bagaimanapun keputusan bertulis bagi ujian tersebut yang dibuat oleh Dr. Zahari Noor dan Dr. Dahlia Danial tidak diserahkan kepada Azmin sehingga hari ini. Namun, keputusan itu dipastikan melalui satu kenyataan akhbar yang dibuat oleh Ketua Polis Negara ketika itu, Tan Sri Abdul Rahim Noor pada ketika itu yang mengesahkan temuan DNA itu membuktikan Azmin adalah bapa kandung (biological father) kepada Farah Afifah.

Ahli Parlimen Gombak iitu telah membawa kes ini ke Mahkamah Sesyen Ampang dan pada 25 Jun 2005, mahkamah telah memutuskan bahawa Dato’ Khalid Jafri sebagai bersalah di bawah Seksyen 8A(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 kerana memfitnah Azmin dan keluarganya dalam buku 50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM. Hakim telah menjatuhkan hukuman penjara satu (1) tahun kepada Khalid atas kesalahan yang sangat serius dan melibatkan banyak pihak dan menyebabkan kesengsaraan akibat kesan psikologi yang terpaksa ditanggung sepanjang hayat oleh Farah Afifah.

Perihal kes DNA ini telah dirakamkan dalam buku “Mahkamah Sahkan Ada Konspirasi Untuk Memfitnah dan Membunuh Kerjaya Politik Anwar Ibrahim” yang diterbitkan pada tahun 31 Ogos 2005 oleh Institut Kajian Dasar (IKD).

b)Dakwaan pemilikan saham berjumlah RM8.5 juta

Berkaitan fitnah tentang pemilikan saham bejumlah RM8.5 juta yang dikaitkan dengan Azmin, isu tersebut muncul sejak tahun 1995 dan beliau telah pun disiasat oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) ketika itu di atas tuduhan memiliki aset yang tidak setara dengan pendapatannya. Walaubagaimanapun, Azmin telah terbukti tidak bersalah kerana tiada tindakan susulan daripada siasatan tersebut.

Penahanan Azmin pada 16 September 1998 untuk membantu siasatan kes Datuk Seri Anwar yang dituduh menghalang siasatan serta melindungi Setiausaha Sulit-nya (iaitu YB Mohamed Azmin) daripada kesalahan pada 1995 juga telah membuktikan bahawa pihak polis gagal menemui sebarang bukti kukuh.

Tuduhan terhadap Anwar tersebut juga telah digugurkan. Perkara ini turut diulas oleh bekas Ketua Pengarah BPR ketika itu, Dato’ Shafee Yahaya di dalam biografi beliau yang berjudul “The Shafee Yahaya Story: Estate Boy to ACA Chief” di halaman 306 yang menjelaskan bahawa Azmin tidak bersalah.

Fitnah lapuk inilah yang kini kembali diulang oleh Pengerusi Yayasan Pembangunan India Malaysia, S.A Vickneswaran serta beberapa orang individu berkepentingan dan turut dilaporkan oleh media milik UMNO-Barisan Nasional.

Justeru, AMK melihat bahawa serangan serta dakwaan usang yang kini giat dilemparkan terhadap Azmin hanyalah sebahagian dari kempen politik jahat oleh media UMNO-Barisan Nasional untuk memburukkan tokoh pimpinan Pakatan Rakyat setelah mereka gagal mempengaruhi sokongan rakyat terhadap KEADILAN dan Pakatan Rakyat meskipun serangan serta fitnah sama turut dilemparkan setiap hari ke atas Anwar dan isteri beliau Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

NAJWAN HALIMI
Timbalan Ketua Penerangan
Angkatan Muda KEADILAN

Kenyataan Media Untuk Edaran Segera – Isu 901

5 Januari 2012

Hak untuk berhimpun secara aman merupakan hak rakyat yang sejajar dengan semangat keperlembagaan. Ianya merupakan antara teras kepada amalan sesebuah negara demokratik. Justeru sebarang usaha atau tindakan yang menggasir hak untuk berhimpun secara aman dan hak menyatakan pendirian politik (political expression) rakyat Malaysia adalah bertentangan dengan asas pembentukan negara Malaysia yang demokratik, bebas dan merdeka. Pencabulan ke atas hak ini dianggap sebagai mengkhianati asas penubuhan negara Malaysia yang merdeka.

Oleh itu saya menyambut baik kenyataan YB Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara yang memperlihatkan kesediaan pihak polis untuk berbincang dengan KEADILAN dan Pakatan Rakyat bagi menjamin kelancaran perhimpunan aman 901 untuk membantah rekayasa politik ke atas Dato’ Seri Anwar Ibrahim. KEADILAN menyatakan kesediaan untuk berbincang dengan pihak polis demi memastikan perhimpunan aman ini berjaya diteruskan dengan aman dan teratur.

KEADILAN tegas menyeru semua anggota parti dan penyokong Pakatan Rakyat serta rakyat Malaysia yang cintakan keadilan dan kebenaran untuk berhimpun secara aman dan menyatakan sokongan terhadap reformasi demi rakyat dan negara Malaysia yang tercinta.

KEADILAN turut menggesa pihak polis untuk memelihara keselamatan awam termasuk para demonstran dan rakyat keseluruhannya yang berhimpun di Kuala Lumpur. Kita berharap insiden keganasan seumpama tragedi UPSI dan BERSIH tidak akan berulang. Ini adalah peluang terbaik Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara untuk memulihkan imej polis yang sekian lama tercalar dan mengembalikan keyakinan awam terhadap institusi polis selaras dengan janji Perdana Menteri untuk melaksanakan transformasi politik di dalam pentadbirannya.

Mohamed Azmin Ali
Timbalan Presiden KEADILAN

Pakatan kumpul bukti dakwaan keganasan polis

Dari Malaysiakini

Azmin Ali

Pakatan Rakyat mahu mangsa dan saksi dakwaan keganasan polis sewaktu perhimpunan BERSIH 2.0 Sabtu lalu, tampil mengemukakan maklumat mengenainya.

Timbalan Presiden PKR Azmin Ali berkata, pakatan pembangkang
sedang mengumpul bukti sebanyak yang boleh untuk kemungkinan mengambil tindakan undang-undang terhadap polis.

Beliau menggesa sesiapa yang mempunyai bukti dakwaan keganasan polis yang telah didokumenkan sewaktu perhimpunan tersebut supaya menghantarnya sama ada terus kepada sekretariat BERSIH 2.0 atau parti anggota Pakatan.

Bercakap kepada wartawan dalam sidang akhbar di bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Azmin berkata, kali ini, pihak polis tidak akan terlepas.

Katanya, polis tidak dapat lari daripada fakta tersebut, walaupun Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berulangkali menafikan polis telah melepaskan gas pemedih mata secara sewenang-wenangnya dan bertindak ganas terhadap peserta perhimpunan tersebut.

Menyifatkannya sebagai satu sindrom penafian yang diwarisi dari Umno, Azmin berkata, pihak polis tidak boleh bersembunyi daripada fakta yang telah didokumenkan dalam telefon bimbit dan di YouTube serta video dalam talian.

Katanya, mereka juga mempunyai bukti di media antarabangsa, termasuk Al-Jazeera yang melaporkan kehadiran 120,000 orang manakala BBC melaporkan 100,000 orang, begitu juga Perbadanan Penyiaran Australia.

Katanya, mereka yang melaporkan hanya 6,000 hadir ialah Utusan Malaysia, TV3 dan ketua polis negara.