AZMIN ALI

LATEST

Tag: Selangor

Selangor Pakatan Rakyat Pioneers Caretaker Government | Media Statement

5 April 2013

After months of keeping the people in the dark, Dato’ Seri Najib Tun Razak finally announced the dissolution of Parliament on April 3, 2013.

This has been followed by the dissolution of the State Assemblies including the States administered by Pakatan Rakyat in Selangor, Pulau Pinang, Kedah and Kelantan.

As of today, the administration of the State must be run by a caretaker government. This concept will be a crucial test whether Pakatan Rakyat or Barisan Nasional truly observes the practices and process of democracy.

Hitherto, KEADILAN has been the victim of Barisan Nasional’s unfair and devious ploys in exploiting and abusing the machinery and resources of the government, including the use of the State owned media, to facilitate their campaign programs and activities even after dissolution. This practice is a clear violation of caretaker government principles and must be stopped immediately. We urge them to stop such abuses.

Caretaker-Gov-AA

KEADILAN will not violate this principle and will not allow this transgression to be repeated this time around. We will observe the democratic process fully beginning with this caretaker government as a mark of respect of the people’s rights and to honour their trust as well as to be fair to all contending parties.

In this regard, I applaud the initiative and commitment of the Selangor Caretaker Government under Pakatan Rakyat which has issued strict directives pertaining to the administration of caretaker government in the following matters:

• No new key policy decisions are to be made by the State administration
• State government Executive Councilors must return all State- owned facilities such as cars and other vehicles to the State except when they are required for official duties of the State
• No major contracts are to be entered into by the State except in matters where they are obligated by law to fulfill
• No major development projects are to be awarded or approved
• No new appointments to key positions or office are to be made

As a first step towards complying with the tenets of a caretaker government, I have instructed that the official car belonging to PKNS which has been provided to me be returned to PKNS effective today.

To further test this democratic concept which has been consistently violated by Barisan Nasional, KEADILAN calls on Dato’ Seri Najib and all the leaders of the Barisan Nasional to take the first step to return all official cars and vehicles to the States and the Federation except for strictly official duties which are not related to campaign activities.

MOHAMED AZMIN ALI
Deputy President

Back To School

[nggallery id=63]

Sempena sesi persekolahan 2013 yang akan dibuka pada awal Januari 2013, Pusat Khidmat DUN Bukit Antarabangsa telah menganjurkan program Back To School bagi meraikan anak – anak di kawasan Bukit Antarabangsa.

Program yang melibatkan hampir 500 orang pelajar – pelajar ini telah dilangsungkan dengan setiap pelajar menerima sebuah beg sekolah sumbangan Kerajaan Negeri dan kupon pakaian seragam sekolah bernilai RM 100 sumbangan Ahli Dewan Negeri Bukit Antarabangsa, YB Mohamed Azmin Ali.

Sumbangan ini telah diadakan di 6 buah tempat; Pangsapuri Permai Court, Dewan PKNS Kampung Melayu Ampang, Dewan Flat Dato’ Ahmad Razali, Dewan Komuniti Pekan Ampang, Dewan Flat Ampang Hilir, dan Surau Pangsapuri Berembang Indah.

Sumbangan kepada para pelajar tersebut telah disampaikan oleh YB Mohamed Azmin sendiri selaku Ahli Dewan Negeri Bukit Antarabangsa dan disertai juga oleh YB Zuraida Kamaruddin selaku Ahli Parlimen Ampang di Surau Berembang Indah.

YB Mohamed Azmin Ali menegaskan kepada para penerima sumbangan dan ibu bapa yang hadir bahawa kos pendidikan yang semakin meningkat sememangnya menjadi beban buat setiap keluarga. Maka menjadi tanggungjawab beliau selaku wakil rakyat dan Kerajaan Negeri untuk sama – sama membantu bagi meringankan beban keluarga supaya memastikan anak – anak dapat terus belajar dengan baik dan kondusif.

Jangan ikut rentak BN tabur duit pada kroni – Azmin

Dari: Keadilandaily.com
SHAH ALAM 9 Julai: Kerajaan Selangor diingat supaya tidak mengikut rentak Kerajaan Pusat mengagihkan
keuntungan kepada kroni dengan menggunakan peruntukan daripada bajet tambahan berjumlah RM13 bilion yang
dibentang di Dewan Rakyat baru-baru ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Antarabangsa, Azmin Ali berkata, peruntukan Perbekalan Tambahan (2012) oleh Kerajaan Pusat itu langsung tidak memberi keuntungan kepada rakyat, sebaliknya untuk mengkayakan kroni.

“Saya tidak mahu peruntukan tambahan yang akan dikeluarkan kerajaan negeri mementingkan pihak tertentu.”
“Jangan jadi seperti Umno Barisan Nasional yang mementingkan kroni mereka,”

katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan 2012 di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini.

Beliau mengambil contoh penganugerahan Kerajaan Pusat kepada jutawan Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhary yang
mendapat projek gula.

“Atas dasar kononnya mahu berikan kepada Bumiputera, kerajaan ambil daripada bapa gula, Robert Kuok dan berikan kepada Syed Mokhtar.” “Tapi apa jadi? Atas nama kontrak diberikan kepada Melayu, sudah empat kali harga gula naik, berlainan masa
Robert Kuok yang pegang,” kata Ahli Parlimen Gombak itu lagi.

Kata beliau, keputusan itu dibuat kerajaan tanpa memikirkan kesannya kepada rakyat, yang akhirnya dibebani mereka.
“Kerajaan Pusat menggunakan kuasa majoriti dalam Parlimen, tapi kroni dapat berbilion. Sama juga kesnya dengan teksi.”

“RM13 bilion ini langsung tidak memberikan manfaat kepada rakyat tapi lebih kepada kroni. Pemandu teksi bukan mahu
tayar tapi permit,” katanya yang menerima aduan, hanya tiga tayar sahaja boleh dibeli dengan wang yang diperuntukkan
kerajaan.

KEADILAN Selangor Siap Sedia Hadapi PRU 13

[nggallery id=32]

20 MEI 2012 – Lebih 1000 orang penggerak Parti Keadilan Rakyat Negeri Selangor hadir ke Majlis Pelancaran SISMEP 3.0 dan Penyerahan Bahan Kempen Pilihan Raya yang dilancarkan oleh Timbalan Presiden merangkap Pengarah Pilihan Raya KEADILAN, YB Mohamed Azmin Bin Ali. Acara yang berlangsung di Dewan Sivik MBPJ, Petaling Jaya petang ini menandakan KEADILAN Negeri Selangor siap sedia mempertahankan Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor dalam Pilihan Raya Umum ke 13 tidak lama lagi.

YB Mohamed Azmin sekali lagi hadir bersama ‘Winning Team’ dengan kekuatan daripada kepimpinan daripada setiap sayap parti. Taklimat yang disampaikan oleh Saudara Shamsul Iskandar dan YB Zuraida selaku kepimpinan Angkatan Muda dan Wanita telah menyuntik semangat anggota yang hadir dengan memberi fokus kepada usaha meraih undi golongan muda dan wanita dalam masyarakat.

Saudara Rafizi selaku Pengarah Strategi memberi garis panduan kaedah kempen yang strategik menggunakan bahan kempen pilihan raya yang telah dibekalkan khususnya risalah-risalah yang memuatkan isu-isu semasa. Risalah yang telah dicetak sebanyak 13 juta adalah selaras dengan kempen KEADILAN untuk 1 risalah untuk 1 pengundi.

Terakhir adalah taklimat YB Mohamed Azmin berkenaan Pilihan Raya dan perisian SISMEP 3.0. Beliau menegaskan bahawa SISMEP akan membantu memudahkan kerja-kerja lapangan petugas dalam pilihan raya. SISMEP tuntas perlu dimanfaatkan dengan baik dan berkesan.

Program diakhiri dengan konvoi perlepasan bahan-bahan pilihan raya ke Cabang masing-masing yang membawa pulang barangan pilihan raya untuk 32 kawasan yang akan ditandingi KEADILAN dalam PRU 13.

Ucapan Menjunjung Titah DYMM Sultan Selangor (DUN – Bukit Antarabangsa)

UCAPAN PEMBUKAAN DEWAN NEGERI SELANGOR MOHAMED AZMIN ALI | BUKIT ANTARABANGSA
JUMAAT, 23 MAC 2012

Yang Berhormat Tuan Speaker,

1. Saya ingin menjunjung kasih atas titah DYMM Tuanku Sultan Selangor yang telah berkenan merasmikan Upacara Pembukaan Mesyuarat Pertama, Penggal Kelima, Dewan Negeri Selangor Kedua Belas.

2. Bagi pihak Kelab Penyokong – Penyokong Kerajaan, saya ingin merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada Yang Berhormat Tuan Speaker yang telah mempengerusikan Sidang Dewan Negeri ini selama lima penggal Persidangan Dewan Negeri dengan tegas, adil dan saksama. Tuan Speaker telah menjalankan tanggungjawab beliau dengan mengambil langkah-langkah reformasi dan pembaharuan demi mempertingkatkan martabat dan memelihara kewibawaan dewan yang mulia ini. Langkah-langkah progresif yang diambil termasuk siaran secara langsung Sidang Dewan Negeri, pendengaran awam SELCAT, penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas dan penerbitan jurnal. YB Speaker juga tekun meneliti dan menghalusi cadngan penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Dewan melalui satu enakmen yang dikenali sebagai SELESA dengan tujuan yang murni dan mengikut amalan terbaik ( the best practices ) di negara-negara Commonwealth.

3. Titah Tuanku menyentuh banyak persoalan umat tetapi kesemuanya berkisar kepada peringatan dan nasihat Tuanku bahawa ahli-ahli Dewan Negeri tidak terlepas dari tanggungjawab untuk mengangkat agenda rakyat dan memacu pertumbuhan ekonomi bagi menjamin kesejahteraan seluruh rakyat Negeri Selangor. Saya yakin sesi soal jawab dan perbahasan yang matang mampu menjawab segala tohmahan dan serangan yang tidak bertanggungjawab.

4. Ada pihak yang cuba menyinggung kita dengan membuat dakyah bahawa apabila Pakatan Rakyat menerajui Putrajaya, kita akan menukar pemerintahan Raja Berperlembagaan kepada sistem Republik. Ini adalah satu fitnah jahat yang bertentangan dengan akidah seorang Islam. Sebaik sahaja berlaku tsunami politik pada tahun 2008, Pakatan Rakyat telah mengulangi ikrar melalui deklarasi khas yang ditandatangani oleh 3 pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat iaitu YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, YB Lim Kit Siang dan YB Dato’ Seri Abdul Hadi Awang pada 8 September 2008.

5. Jelas dalam ikrar tersebut bahawa Pakatan Rakyat akan mempertahankan dasar-dasar seperti kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan dan menjamin kebebasan mengamalkan agama-agama lain, kedaulatan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan mempertahankan hak bahasa ibunda, kedudukan dan kedaulatan Institusi Raja-Raja Melayu serta kedudukan hak-hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera serta hak- hak semua kaum yang telah dijamin oleh Perlembagaan. Pada ketika itu,Gombak Setia adalah Pesuruhjaya PAS Selangor dan merupakan sebahagian daripada muafakat Pakatan Rakyat.

6. Pengurusan ekonomi negeri yang terus berkembang biarpun berhadapan dengan persekitaran luar yang mencabar membuktikan kemampuan Dato’ Menteri Besar dan Kerajaan Negeri mengurus khazanah dan amanah dengan tanggungjawab walaupun ada tekanan ke atas Kerajaan Negeri termasuk tekanan politik daripada Kerajaan Pusat yang menyalahgunakan institusi Kerajaan bagi tujuan politik mereka untuk merampas Negeri Selangor.

7. Alhamdulillah, rakyat mengecapi hasil negeri yang merupakan hak mereka dan bukan kurniaan daripada pemerintah. Fakta, angka dan statistik yang dikemukakan ini membuktikan Pakatan Rakyat berupaya untuk mentadbir negeri dan mengurus ekonomi dengan berkesan berteraskan prinsip kewangan yang berhemah, tatakelola yang baik dan prinsip value for money.

8. Selain pengurusan ekonomi, tadbir urus yang berkesan juga penting bagi sesebuah kerajaan yang unggul. Bagi memastikan tadbir urus negeri berada pada tahap yang terbaik, pentadbiran kerajaan harus memiliki ciri-ciri menggalakkan penyertaan rakyat, keputusan yang berorientasikan konsensus, telus, responsif, berkesan dan cekap, saksama dan inklusif serta menurut kedaulatan undang-undang.

9. Walau bagaimanapun, karenah birokrasi yang keterlaluan menjadikan sistem penyampaian Kerajaan tidak efisyen seterusnya membantutkan produktiviti negeri.

10. Sebagai sebuah kerajaan reformasi, sistem penyampaian perlu menjadi keutamaan demi perkhidmatan kepada rakyat. Teknologi tinggi serba canggih serta keterbukaan teknologi maklumat harus menjadi asas reformasi sistem pentadbiran. Pentadbiran yang menggunapakai teknologi dapat menjimatkan kos, masa dan mengurangkan karenah birokrasi yang membebankan rakyat.

11. Ini bukan sahaja menjamin usaha tadbir urus yang baik tetapi juga merupakan suatu usaha untuk memastikan pengurusan dan sistem perkhidmatan pentadbiran efisyen dan lancar. Kerajaan Negeri Selangor percaya pengurusan yang cekap adalah pengurusan yang mengurangkan karenah birokrasi dan meringankan kos yang ditanggung oleh rakyat.

Yang Berhormat Tuan Speaker

12. Saya ingin menarik perhatian dewan kepada usaha menyediakan kemudahan perkhidmatan WiFi berkapasiti tinggi. Sejak tahun 1990an, perkhidmatan internet telah digunakan dengan rancak. Berbanding era pra internet, perkhidmatan internet hari ini mendesak penggunaan kapasiti yang lebih tinggi untuk pengaliran maklumat yang lebih cepat dan bebas.

13. Hal ini adalah berdasarkan peningkatan inovasi teknologi, kaedah sambungan dan kelajuan pengaliran maklumat. Untuk mendepani kecanggihan teknologi hari ini, sudah semestinya Kerajaan harus menyediakan perkhidmatan internet yang mampu dimiliki, mudah dan diyakini supaya dapat dimanfaatkan oleh masyarakat. Contoh akses internet yang canggih dan baik adalah seperti di Seoul, Korea yang sangat murah dengan kadar USD 20 sebulan untuk kapasiti sambungan 10Mbps. Di Malaysia, kapasiti sambungan 10Mbps yang diperkenalkan UniFi berharga RM 200 sebulan, sekitar USD 60 iaitu tiga kali ganda lebih mahal daripada Seoul.

14. Oleh itu, perkhidmatan internet percuma yang terbaik untuk kegunaan rakyat adalah melalui perkhidmatan WiFi di mana grid rangkaian akan merebak ke seluruh negeri untuk manfaat rakyat. Perkhidmatan WiFi percuma yang sedang disediakan oleh Kerajaan Negeri pada hari ini adalah selaras dengan idea internet berkapasiti tinggi untuk rakyat. Namun begitu, sasaran 4,000 lokasi di seluruh pelosok negeri haruslah mengutamakan kawasan luar bandar berikutan keperluan yang lebih utama di sana dan menjadi lebuhraya maklumat untuk menjamin connectivity di antara rakyat dan Kerajaan Negeri.

15. Kemudahan ini akan membantu masyarakat luar bandar yang tidak mempu mendapatkan perkhidmatan ini untuk dimanfaatkan bagi tujuan pendidikan serta mendapatkan maklumat. Selain daripada mewujudkan Informed Society atau masyarakat bermaklumat, perkhidmatan ini juga akan membantu merapatkan jurang sosial dalam masyarakat serta menyediakan infrastruktur untuk menarik pelaburan asing untuk masuk ke Negeri Selangor ini. Harapan kita agar perkhidmatan ini dapat digunakan sebaiknya dan sentiasa diperkemaskan supaya menjamin kepuasan hati pengguna.

Yang Berhormat Tuan Speaker

16. Asas tadbir urus yang baik berdasarkan prinsip value for money dan kecekapan pengurusan Kerajaan telah menyumbang kepada simpanan rizab negeri yang besar. Kita bersyukur dan berbangga dengan nilai 1.9 bilion. Namun, saya mohon di dewan yang mulia ini supaya rizab simpanan negeri dapat dipertimbangkan untuk digunakan sebahagiannya dalam program-program untuk pembangunan masyarakat seperti usaha memberdayakan wanita dan generasi muda.

17. Saya ingin menarik perhatian dewan kepada suatu usaha untuk memberdaya wanita dan masyarakat melalui penubuhan Women’s Development Corporation (WDC). Objektif penubuhan WDC adalah untuk membangunkan dasar-dasar Kerajaan yang responsif kepada perihal gender disamping mempromosikan kesedaran, kefahaman tentang gender dan keadilan sosial.

18. Inisiatif ini adalah usaha baik Kerajaan untuk memberdaya kaum wanita khususnya untuk menggalakkan partisipasi wanita dalam kepimpinan dan mekanisme membuat keputusan dalam segala bidang. Ini sekaligus menggalakkan persekitaran yang inklusif dalam sebuah masyarakat yang pelbagai kaum, budaya dan agama.

19. Walaupun saya menyedari Kerajaan Negeri telah menyediakan peruntukan tambahan berjumlah RM 30 juta dalam bentuk Geran Selangorku untuk memberdaya wanita, namun pembentukan WDC ini akan berperanan dengan lebih efektif kerana mempunyai struktur yang jelas dan dipimpin oleh golongan wanita profesional.

20. Saya yakin dan percaya, pentadbiran di bawah YAB Dato’ Menteri Besar mempunyai iltizam yang kuat untuk melakukan reformasi dalam masyarakat dengan memberdayakan kaum wanita. Semoga usaha yang baik ini akan mempertingkatkan keharmonian dan kemakmuran negeri demi kesejahteraan rakyat.

Yang Berhormat Tuan Speaker

21. Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) merupakan agensi Kerajaan Negeri yang telah diberikan tanggungjawab untuk mendirikan Rumah Mampu Milik untuk golongan berpendapatan antara RM2500-RM5000 sebulan. Projek sulung yang telah dilancarkan di Bangi pada tahun yang lalu adalah jauh lebih murah dengan harga kurang RM100,000 berbanding rumah mampu milik yang diperkenalkan oleh Kerajaan Persekutuan dengan nilai melebihi RM200,000.

22. PKNS meletakkan sasaran untuk membina 11,000 unit Rumah Mampu Milik di atas tanah-tanah milik PKNS. Berdasarkan syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Negeri termasuk syarat bahawa setiap unit harus dilengkapi dua (2) tempat letak kereta dengan tambahan 20% kos telah melonjak sehingga RM 180,000 seunit. Ini termasuk lah kos elevated carpark dan kemudahan rekreasi lain seperti dewan dan nursery yang turut menyumbang kepada peningkatan kos pembinaan. Kos pembinaan untuk seunit elevated carpark telah mencecah RM 30,000.

23. Oleh kerana kos pembinaan bagi seunit rumah adalah bernilai RM 180,000 dan PKNS diminta untuk menjual pada harga RM 85,000 seunit, ini bermakna PKNS terpaksa menanggung subsidi sebanyak hampir RM100,000 bagi setiap unit rumah yang dijual. Jumlah subsidi sebesar RM 1.1 bilion untuk menyiapkan 11,000 unit rumah adalah diluar kemampuan PKNS.

24. Apakah rancangan Kerajaan untuk meringankan bebanan PKNS dalam usaha menyediakan keselesaan kepada rakyat ? Saya ingin mencadangkan supaya Kerajaan mengkaji semula harga yang ditetapkan untuk Rumah Mampu Milik dan juga melonggarkan syarat – syarat termasuk kemudahan tempat letak kereta serta mencari mekanisme yang lebih berkesan untuk menyelesaikan masalah tersebut.

25. Saya yakin dan percaya bahawa dasar yang pragmatik akan turut menarik pemaju yang lain untuk bersama-sama dengan Kerajaan Negeri dalam usaha menyediakan Rumah Mampu Milik yang lebih selesa untuk rakyat dan tidak merugikan pemaju termasuk menanggung subsidi yang terlalu tinggi. Kita juga yakin bahawa sokongan kerajaan terhadap usaha ini akan membantu PKNS supaya dapat bersaing dengan pemaju-pemaju lain dalam industri pembinaan.

Yang Berhormat Tuan Speaker

26. Isu Tanah Rizab Melayu turut dibangkitkan dalam titah Tuanku Sultan dan saya menyambut baik nasihat Tuanku supaya Kerajaan Negeri memelihara Tanah Rizab Melayu. Saya yakin Kerajaan Negeri akan mematuhi peruntukan perlembagaan berkenaan Tanah Rizab Melayu selaras dengan prinsip rule of law dan semangat berperlembagaan.

27. Saya juga ingin menarik perhatian dewan yang mulia ini kepada satu kes kerakusan UMNO di kawasan Parlimen Gombak dan Dewan Negeri Hulu Kelang. Sejumlah 74 ekar Tanah Rizab Melayu di Sungai Sering telah dijual dan dipindah milik kepada Syarikat Triumph City Development Sdn Bhd tanpa sebarang gantian tanah di kawasan lain. Syarikat ini turut gagal membangunkan tanah berkenaan dan berdegil untuk menjelaskan bayaran premium tanah biarpun status tanah tersebut telah ditukar. Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat terpaksa merampas kembali tanah tersebut untuk menjaga kepentingan rakyat Negeri Selangor.

28. Satu lagi amalan yang seringkali dilakukan oleh pentadbiran UMNO dalam menguruskan Tanah Rizab Melayu ini adalah dengan menukar tanah rizab dikawasan bandar dengan tanah dikawasan luar bandar yang bernilai jauh lebih rendah daripada harga tanah rizab yang asal. Hal ini menyebabkan Tanah Rizab Melayu di Negeri Selangor susut nilai dan memberi impak kepada nilai aset orang Melayu. Inilah amalan khianat UMNO kepada orang Melayu di Negeri Selangor ketika mentadbir negeri ini.

29. Kerajaan Pakatan Rakyat terbukti tidak menyalahgunakan mandat yang telah diberikan oleh rakyat. Oleh itu, adalah diharapkan agar Kerajaan Negeri dapat merangka satu Pelan Strategik Pengurusan Tanah Rizab Melayu supaya dapat dibangunkan secara tersusun dan dipelihara supaya terus mengekalkan status tanah demi kepentingan generasi masa depan.

Yang Berhormat Tuan Speaker

30. Tokoh Reformasi Indonesia, Amien Rais dalam karyanya ‘Menyembuhkan Bangsa Yang Sakit’ mengupas gagasan reformasi untuk sebuah negara republik yang dilihat sedang sakit. ‘Sakit’ yang dimaksudkan oleh beliau adalah tadbir urus negara yang dibarahi amalan rasuah, salahguna kuasa, penyelewengan dan kronisme. ‘Sakit’ ini menurutnya akan terus membarah dalam masyarakat seterusnya membunuh bangsa Indonesia yang merdeka.

31. Untuk menyembuhkan kesakitan ini, Amien mengupas perihal kesatuan rakyat untuk membawa perubahan dan melawan barah yang kian meresap ke dalam tubuh bangsa Indonesia.

32. Ini mengingatkan saya kepada kesatuan hati dan iltizam rakyat Negeri Selangor yang bangkit melawan kesakitan yang turut membarah dalam pentadbiran Kerajaan di bawah pentadbiran UMNO. Amalan rasuah, kronisme, penyelewengan dan salahguna kuasa adalah malapetaka yang harus ditentang habis-habisan demi kesejahteraan seluruh rakyat negeri ini. Dengan asas itu, kemenangan rakyat pada 8 Mac 2008 harus terus dipertahan dan dilanjutkan demi rakyat khususnya di Negeri Selangor.

33. Kita bersyukur, laporan kaji selidik yang dibuat oleh badan penyelidikan profesional, Merdeka Centre mendapati sebanyak 60% rakyat Negeri Selangor menyatakan bahawa pentadbiran pada hari ini berada pada landasan yang tepat dan 64% rakyat berpuas hati dengan prestasi pentadbiran Pakatan Rakyat hari ini. Malah, sokongan masyarakat Melayu terus meningkat sehingga 59% sementara sokongan bagi masyarakat Cina dan India adalah sebanyak 69%.

34. Ditambah lagi dengan kenyataan Tun Daim Zainuddin dalam wawancara dengan akhbar Sin Chew Daily bertarikh 15 Mac 2012 tyang menyatakan bahawa amat sukar untuk UMNO merampas kembali Negeri Selangor yang tampil dengan imej sebuah Kerajaan yang berintegriti. Ini jelas menjadi kegusaran UMNO yang tidak dapat menandingi keupayaan pentadbiran hari ini biarpun baru berusia empat (4) tahun. Terbukti sekiranya Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan dapat ditadbir dengan baik oleh Pakatan Rakyat nescaya kesejahteraan akan lebih dikecapi oleh rakyat apabila kita sampai ke Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke 13.

35. InshaAllah, saya yakin kejayaan yang dikecapi hari ini adalah natijah daripada kejituan semangat dan kesedaran rakyat untuk berubah.

36. Sekian, saya akhiri ucapan saya dengan serangkap pantun;

Gagasan reformasi semangat baru
Ketuanan rakyat kita martabatkan
Rakyat sejahtera negeri maju
Kemenangan rakyat kita lanjutkan

Teks Perbahasan Belanjawan 2012 Ahli Dewan Negeri Bukit Antarabangsa

SELANGORKU: HASIL NEGERI UNTUK RAKYAT
MOHAMED AZMIN BIN ALI
11 NOVEMBER 2011

PENDAHULUAN

1. Saya mohon memulakan perbahasan Belanjawan Kerajaan Negeri Selangor 2012 dengan menukil bait dari Zabur-e-Ajam karya Muhammad Iqbal.

2. “Membakar semangat baru, untuk bangsa dan zaman ini, memberi nyawa baru kepada jasad yang telah tua” – Muhammad Iqbal.

3. Begitulah analogi yang mahu saya berikan kepada kejayaan Pakatan Rakyat membawa sinar serta merealisasikan harapan rakyat Negeri Selangor untuk hidup dalam sebuah negeri yang maju, sejahtera dan berkebajikan.

4. Setelah lebih 50 tahun Negeri Selangor dibawah kerajaan UMNO-BN, rakyat sudah cukup derita dengan jasad tua yang membelenggu kehidupan seharian. Jasad tua yang penuh dengan gejala penyelewengan, salah guna kuasa, rasuah, pengurusan serta tatakelola negeri yang tidak amanah dengan hanya mementingkan kroni dan kepentingan suku sakat pemimpin elit.

5. Saya bersyukur, pada Mac 2008 rakyat Selangor telah sedar dan bangkit membunuh jasad tua tersebut. Lantas dengan keazaman yang tinggi sebagaimana terbukti hari ini, Pakatan Rakyat telah memberi nafas baru kepada rakyat untuk meneruskan kehidupan dalam suasana yang jauh lebih baik daripada sebelumnya.

6. Insha Allah, saya penuh yakin bahawa rakyat Negeri Selangor akan menghargai usaha gigih kerajaan Pakatan Rakyat yang prihatin terhadap kebajikan rakyat Negeri Selangor, seterusnya kekal setia memilih Pakatan Rakyat untuk menerajui Negeri Selangor pada Pilihan Raya Umum ke-13 yang akan berlangsung tidak lama lagi.

Read More

Nota Perbahasan Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Darul Ehsan Kedua Belas

YB MOHAMED AZMIN ALI
Ahli Dewan Negeri Bukit Antarabangsa
11 Julai 2011

1. Anggaran Perbelanjaan Bekalan Tambahan di bawah Maksud B29 Perbelanjaan Am sebanyak RM81.1 juta termasuk RM61.6 juta untuk bayaran bil air percuma dan cetakan kupon bagi tempoh September sehingga Disember 2011 ekoran kedegilan Kerajaan Pusat untuk mengambil sikap bertanggungjawab bagi menyelesaikan isu ini yang berlarutan sekian lama dan membebankan rakyat.
2. Kerajaan Pusat tidak langsung menunjukkan minat untuk peduli terhadap kebajikan rakyat Negeri Selangor sebaliknya lebih cenderung untuk melindungi kepentingan kroni dan memperkayakan kroni-kroni pimpinan UMNO.

Pinjaman Kepada SYABAS
3. Pada Suku Tahun Keempat 2010, Kerajaan Pusat telah memberikan kemudahan pinjaman kepada SYABAS sejumlah RM320 juta. Syarat-syarat pinjaman pula berat sebelah (lopsided) dan berpihak kepada SYABAS. Antara syaratnya ialah :
a. Pembayaran balik akan hanya dibuat selepas tahun yang ke 20. Sekiranya SYABAS mengalami masalah kewangan dalam tempoh 10 tahun dari sekarang, Kerajaan Pusat akan menyerap (absorb) pinjaman ini.
b. Bagi 5 tahun yang pertama, tiada faedah dikenakan ke atas pinjaman yang bernilai RM320 juta tersebut.
4. Skim ini lebih berupa sebagai satu geran dan bukan pinjaman.
5. Dalam keadaan belanjawan Negara semakin menguncup, Kerajaan Pusat masih meneruskan amalan membantu kroni sejumlah RM320 juta. Read More

Ucapan Mesyuarat Ketiga Persidangan Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kedua Belas Tahun 2010

Tuan Speaker,

1.Saya ingin menyertai perbahasan Belanjawan 2011 Selangor Darul Ehsan yang dibentangkan oleh YAB Dato’ Menteri Besar pada hari Isnin yang lalu.

2.Izinkan saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Deepavali Nal Valthukal kepada semua rakyat Negeri Selangor yang meraikan Hari Deepavali dan juga Salam Eidul Adha untuk umat Islam.

3.Hari Deepavali atau Diwali merupakan satu perayaan cahaya menandakan kemenangan menegakkan keadilan dan menentang kezaliman.

4.Manakala, Eidul Adha menuntut kita untuk patuh kepada tuntutan Allah SWT dan bersedia berkorban tanpa keraguan seperti yang ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail.

5.Atas semangat inilah kita berhimpun di Dewan ini untuk patuh kepada Tuhan, berkorban dan berjuang untuk menegakkan keadilan dan menentang kezaliman UMNO dan Barisan Nasional.

6.Inilah tanggungjawab yang digalas oleh YAB Dato’ Menteri Besar pada hari ini. Kedudukan dan amanah ini adalah Taklifun Wala Tasrifun. Tanggungjawab dan bukan keistimewaan.

7.Keupayaan YAB Dato’ Menteri Besar mengurus ekonomi Negeri Selangor dengan telus dan bertanggungjawab telah dicemburui oleh Sungai Panjang. Semakin lama saya mendengar perbahasan Sungai Panjang, semakin celaru perwatakannya.

8.Sungai Panjang memuji bajet Najib yang dibentangkan pada pertengahan bulan Oktober 2010 dengan menyatakannya sebagai bajet peduli rakyat. Persoalannya rakyat mana yang dipedulikan?

9.Ekonomi tidak boleh dipacu dengan hanya menghapuskan cukai seluar dalam berjenama. Ekonomi akan berkembang sekiranya pimpinan punyai upaya, ‘political will’ untuk perangi rasuah, memulihkan keyakinan awam terhadap badan kehakiman dan urus tadbir kerajaan yang telus dan baik, meningkatkan daya saing bagi menarik pelabur asing dan juga pelaburan dalam negara. Kesemua kriteria ini tidak disentuh oleh Perdana Menteri dalam Bajet 2011.

10.YAB Dato’ Menteri Besar Selangor memberikan perhatian khusus terhadarp prinsip-prinsip urus tadbir kerajaan yang baik, konsep ‘value for money’, pendemokrasian rakyat Selangor termasuk meluluskan Akta Kebebasan Maklumat, program kepedulian rakyat termasuk Skim Kredit Mikro yang terkandung dalam Fasa 3 Merakyatkan Ekonomi Selangor.

11.Sungai Panjang cuba mengelirukan Dewan dengan menyatakan bahawa Negeri Selangor mengalami defisit sebanyak 10%. Saya ingin merujuk kepada Lampiran V Penyata Akaun Hasil Disatukan yang terkandung dalam halaman 97 Laporan Ketua Audit Negara. Belanjawan 2009 adalah RM1.4 bilion manakala perbelanjaan sebenar mencatatkan RM1.9 bilion. Defisit Bagi Tahun 2009 yang dilaporkan oleh Ketua Audit Negara ialah RM65.9 juta. Jumlah ini tidak mewakili 10% defisit seperti yang didakwa oleh Sungai Panjang.

12.Sungai Panjang juga mendakwa bahawa Kerajaan Negeri terlalu kerap membawa Bajet Tambahan dalam Dewan seolah-olah Sungai Panjang tidak mengamalkan pendekatan itu. Read More

Fitnah Barisan Nasional Semakin Kencang

KENYATAAN MEDIA

Kenyataan bekas ketua pemuda MIC, Vigneswaran yang mendakwa saya dan isteri memiliki saham bernilai RM 8.5 juta dari tahun 1992 sehingga tahun 1994 adalah tidak berasas sama sekali. Saya belum melihat dokumen yang didakwa oleh Vigneswaran tetapi saya percaya dokumen itu dimanipulasikan oleh pihak-pihak tertentu untuk mengaitkan dengan saya dan isteri saya. Semenjak tahun 1998, saya dan keluarga sering menjadi sasaran fitnah bertujuan untuk mengaibkan saya dan keluarga. Saya diburu oleh pihak berkuasa seperti polis, Badan Pencegah Rasuah dan juga Lembaga Hasil Dalam Negeri untuk menjalankan siasatan mengenai perolehan harta saya. Malahan, alasan yang sama digunakan untuk menangkap dan menahan saya pada 16 September 1998 sehingga 22 September 1998. Saya telah memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa termasuk butiran lengkap aset kami.

Saya merasa kesal kerana apa yang berlaku hari ini menunjukkan Barisan Nasional tidak akan berhenti dari melancarkan serangan fitnah yang jahat untuk mengganggu keamanan dan ketenteraman saya dan keluarga. Saya melihat tindakan jijik yang terancang ini adalah untuk mengaibkan dan mencemarkan nama saya dan isteri. Kenyataan berunsurkan fitnah dan berniat jahat itu jelas mempunyai motif politik bertujuan merosakkan reputasi saya selaku Ahli Parlimen Gombak serta Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat.

Saya dengan ini menafikan sekeras-kerasnya tuduhan yang dilemparkan oleh Vigneswaran. Saya telahpun mengarahkan peguam saya untuk bertindak segera prosiding perundangan yang sewajarnya terhadap pihak yang membuat kenyataan dan melaporkan kenyataan fitnah tersebut.

AZMIN ALI