AZMIN ALI

Tag: Wawancara

Azmin dipanggil ke SKMM

Sumber : FMT

CYBERJAYA: Timbalan Presiden PKR Azmin Ali hari ini disiasat Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung satu kenyataan rasminya yang dimuat naik dalam video laman sosial YouTube.

Azmin pada 18 Januari lalu menyiarkan satu kenyataan media dalam blog yang mempertikaikan penglibatan mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dengan ‘Projek IC’ di Sabah.

Beliau turut membidas Dr Mahathir yang cuba mengheret mantan Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dalam isu pemberian kad pengenalan kepada warga asing.

Kenyataannya itu kemudian digunakan di dalam ruangan latar belakang video ‘Program Tukar ke Orang Melayu (Project IC by Mahathir)’ oleh pemilik akaun bernama ‘naturewar’ dan dimuat naik pada 19 Februari lalu.

Video tersebut memaparkan sekumpulan warga asing yang melarikan diri kerana menyangkakan ada serbuan, namun sebaliknya apabila muncul kelibat individu berseragam biru datang menenangkan serta mengagihkan kad pengenalan kepada mereka.
Turut diselitkan dalam video itu ayat ‘You help me I help you’ serta ‘Malaysia Truly Asia’.

Azmin bagaimanapun semasa disoal siasat menafikan sebarang penglibatan dalam pembikinan video tersebut.
Beliau sebelum itu hadir ke SKMM kira-kira 2.30 petang tadi ditemani peguam Datuk Prabakaran dan disoal siasat oleh Penolong Pengarah Siasatan SKMM Muhammad Iqbal Ikhwandy Mat Zain.

Soal siasat 3 jam

Proses soal siasat ahli parlimen Gombak itu dibuat di bawah Seksyen 255 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan mengambil masa tiga jam dengan 51 soalan.

Beliau ketika ditemui pemberita berkata pihaknya memberikan kerjasama penuh dengan menjawab semua soalan yang diberikan sepanjang siasatan.

“Ada pihak yang cuba ambil kenyataan saya secara rasmi.
“Saya tidak terlibat dalam pembikinan video tersebut, saya tidak terlibat dalam kerja-kerja menaikkan komen tersebut.
“Saya sekadar menyatakan kenyataan rasmi saya seperti yang terkandung dalam blog rasmi saya,” katanya di luar bangunan SKMM.

Katanya, beliau dimaklumkan wujud dua aduan tehadapnya, iaitu daripada orang awam serta SKMM sendiri.
Namun ketika ditanya SKMM enggan mendedahkan identiti pengadu terbabit, ujar Azmin.

Ucapan di BERSIH 3.0 hanya ‘motivasi’, kata Azmin

Dari Malaysiakini

WAWANCARA Sebulan berlalu sejak perhimpunan menuntut pilihan raya bersih dan adil BERSIH 3.0 diadakan namun isunya masih belum reda, terutama melibatkan timbalan presiden PKR Azmin Ali.

Beliau antara yang paling awal mendapat perhatian, malah pada pagi selepas perhimpunan berkenaan lagi kerana didakwa mempengaruhi para peserta perhimpunan dan menyebabkan kekacauan.

Bercakap kepada Malaysiakini dalam satu wawancara minggu lalu, MP Gombak itu berkata beliau tidak berniat untuk menghasut peserta perhimpunan supaya melanggar penghadang di Dataran Merdeka itu.

Beliau bersama ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pemimpin aktivis parti itu Badrul Hisham Shaharin menghadapi tuduhan di mahkamah atas dakwaan berhubung perhimpunan tersebut.

Azmin dituduh bersubahat dan menghasut peserta perhimpunan berkenaan supaya “membuka sekatan besi halangan di Dataran Merdeka yang mungkin menyebabkan rusuhan atau gaduh-gempur di kawasan tersebut.”

Azmin bagaimanapun menyatakan bahawa ucapannya itu hanyalah sebagai “motivasi” kepada orang ramai yang hadir.

“Tentulah pada masa itu, pemimpin politik perlu memotivasikan anggota kami dan rakyat supaya bangkit dan mempertahankan hak mereka sebagai rakyat Malaysia… Untuk menuntut pilihan raya bersih dan adil. Adakah itu satu jenayah?,” katanya.

Katanya isu melanggar penghadang itu telah mengalihkan fokus daripada “jenayah lebih serius” seperti dakwaan manipulasi pilihan raya.

Tambahnya, beliau juga berucap ketika perhimpunan tersebut atas permintaan seorang pegawai polis kanan untuk mententeramkan orang ramai.

Azmin kata peluangnya dalam PKR ‘tak terancam’

Dari Malaysiakini

Timbalan presiden PKR Azmin Ali berkata beliau tidak merasakan bahawa peluangnya dalam parti “terancam” dengan jumlah anggota keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini menduduki jawatan penting dalam parti tersebut.
“Saya tidak merasakan apa-apa ancaman dalam konteks itu kerana saya percaya kepada proses demokrasi di dalam parti,” katanya ketika ditanya dalam satu wawancara dengan Malaysiakini.

Jelasnya, pemimpin berkenaan dipilih bukan kerana nepotisme atau kronisme tetapi diputuskan anggota parti tersebut melalui demokrasi.

“Pada waktu ini presiden (isteri Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail) dan naib presiden (anak perempuan Anwar, Nurul Izzah) dipilih dari kalangan anggota keluarga.

“Dalam pemilihan parti selepas ini kita tidak tahu. Saya tidak tahu apa jawatan saya selepas ini. Biarlah kita jalankan kerja dahulu. Sekarang fokus kita ialah pada pilihan raya umum.

“Lepas itu kita boleh bincang masa depan parti,” katanya yang hanya ketawa apabila ditanya sekiranya beliau akan menjadi presiden PKR pada satu masa nanti.

Mengulas lanjut, Azmin berkata Nurul Izzah sendiri terlibat di dalam reformasi sejak pemecatan Anwar pada September 1998 dan memainkan peranan penting dalam menggembleng sokongan kepada Anwar.

Jangan dipengaruhi nepotisme

“Kelantangan beliau, keberanian beliau untuk bersama rakyat dan parti untuk mengerakkan gerakan rakyat dan ini diiktiraf anggota parti, bukan diangkat oleh presiden dan ketua umum tapi dipilih oleh anggota parti.

“Baik, Alhamdulillah pemilihan dia dibuat secara sah. Kita perlu maju ke depan dan pastikan keputusan yang dibuat dalam parti dan kerajaan negeri dan pusat insya-Allah tidak dipengaruhi elemen (nepotisme).

“Itu sahaja peringatan saya. Saya tak mahu parti ini mengamalkan amalan tidak sihat,” katanya yang yakin bahawa Anwar akan mempertahankan prinsip tersebut di dalam parti.

Tambahnya, kenyataan Anwar yang keras menentang amalan tersebut ketika di dalam Umno merupakan perkara yang mencetuskan pertembungan Anwar dan Mahathir pada 1997.

“Maka saya yakin (Anwar) akan terus mempertahankan prinsip ini dalam PKR,” katanya.

Wawancara dijalankan Salhan K Ahmad dan Aidila Razak.

Harga kesetiaan Azmin pada Anwar

Dari Malaysiakini

WAWANCARA Timbalan presiden PKR Azmin berkata beliau tidak akan berganjak dari sokongannya kepada ketua umum parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim walau keluarganya sendiri “hancur” dan diaibkan.

Katanya beliau terpaksa berdepan perkara itu kerana tidak menyokong Umno dan konsisten dengan Pakatan Rakyat.

“Kalau ini harga yang perlu saya bayar untuk bawa perubahan, saya sanggup membayar, biar saya dihina diaib tapi rakyat dan negara mesti diselamatkan,” katanya dalam satu wawancara dengan Malaysiakini.

Beliau juga sanggup mengharungi perkara itu demi mempertahankan Anwar, sedangkan beliau juga boleh menyokong Mahathir pada 2 September 1998 – ketika Anwar dipecat daripada jawatan timbalan perdana menteri dan menteri kewangan.

“Saya kena pilih antara Dr Mahathir atau Anwar. Bukan pilihan mudah. Dua tokoh utama negara yang perlu saya pilihan maka saya pilih pertahan kebenaran.

“Walaupun saya lalui kesengsaraan, masuk lokap keluar lokap, saya didakwa, dihina, keluarga saya hancur kerana pilihan yang saya buat.

“Tapi bagi saya itu pilihan yang perlu saya buat untuk pertahan kebenaran,” katanya.

‘Isu keluarga jangan dipolitikkan’

Azmin berkata, beliau langsung tidak terkesan dengan dakwaan berkenaan yang antara lainnya mempertikaikan hubungan darah beliau dengan anaknya.

“Lihatlah apa yang mereka lakukan kepada isteri dan anak saya. Selepas 14 tahun masih ulang fitnah sama, sehingga hari ini.

“Apa yang anda mahu saya lakukan? Saya sudah buat bahagian saya. Saya sudah dapatkan keputusan dua ujian DNA.

“Adakah mereka berminat dengan kebenaran? Tidak. Mereka hanya berminat untuk mengulangi fitnah dan penipuan untuk memburukkan imej pemimpin Pakatan,” katanya lagi.

Perkara itu juga yang mendorong anak perempuannya untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang, setelah melalui dakwaan berkenaan sejak 14 tahun lalu.

Ditanya mengenai hubungannya dengan Umi Hafilda, adiknya yang kini giat mengadakan ceramah anti-Anwar, Azmin berkata beliau tidak mahu terlibat dalam kancah pertikaian dengan Ummi di media.

“Kalau dia pilih (ulas di media) tak apa lah, saya tak mahu terlibat. Saya yakin institusi keluarga ini wajar disejahterakan, diharmonikan, bukan diaibkan dalam media. Saya cukup tak bersetuju hal ini.

“Apa sahaja masalah keluarga, jangan dipolitikkan dan diaibkan dalam media,” katanya.