Takziah Buat Jemaah Haji Malaysia Yang Terkorban Tragedi Mina

Sumber : Selangorku.com

SHAH ALAM, 28 SEP: Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga jemaah haji Malaysia, Zulkifly Samad, 50, disahkan terkorban dalam insiden rempuhan di Mina pada 10 Zulhijjah (24 September) lepas.

Allahyarham Zulkifly berasal daripada Johor dan beralamat di Taman Ukay Bistari, Ampang, Selangor merupakan jemaah tunggal disahkan meninggal dunia selapas isteri beliau, Suriahanim Abd Hamid, membuat laporan kepada Tabung Haji (TH) apabila suaminya tidak pulang ke khemahnya kira-kira jam 11 malam waktu tempatan.

“Al-Fatihah. Semoga Allahyarham Zulkifly Samad yang meninggal dunia di Mina akan beroleh husnul khatimah dan ruhnya ditempatkan di Syurga.

“Saya difahamkan Allahyarham Zulkifly Samad menetap di Taman Ukay Bistari, Hulu Kelang. Semoga keluarga sabar dan tabah menghadapi ujian ini.

“Kami mendoakan semoga isteri Allahyarham Zulkifly Samad, Puan Suria Hanim Abdul Hamid sabar menghadapi ujian ini dan selamat pulang,” tulisnya menerusi akaun twitter @AzminAli hari ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata Tabung Haji (TH) dalam makluman awalnya mengesahkan tiada jemaah haji Malaysia terlibat dalam rempuhan itu berdasarkan pengesahan daripada waris dan maklumat awal penempatan jemaah haji.

Asyraf Wajdi berkata selepas menerima aduan Suriahanim, para petugas TH memulakan usaha mencari Zulkifly di sekitar Kompleks Jamarat dan hospital berdekatan di Mina.

“Sejurus mendapat laporan pasukan perubatan TH melakukan tinjauan di rumah mayat Muaissem di mana mereka menemukan satu jenazah sempurna rakyat Malaysia yang dilaporkan hilang dalam kejadian itu,” katanya dalam satu kenyataan.