Tanah runtuh: Setiap keluarga dapat RM300

Sumber: Selangorkini

BUKIT BERUNTUNG, 21 OKT: Kerajaan Negeri hari ini bersetuju menyalurkan bantuan wang tunai RM300 kepada setiap keluarga mangsa tanah runtuh di Pangsapuri Teratai, di sini, kata Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melawat mangsa kejadian tanah runtuh berkenaan di pusat penempatan sementara di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Bunga Raya , di sini, hari ini.

Beliau mengunjungi mereka selepas mengadakan lawatan di kawasan kejadian di pangsapuri Teratai berhampiran sekolah berkenaan.

Dalam kunjungannya, Azmin sempat bertanya khabar dan berkongsi kesedihan yang dialami mangsa terbabit, selain menegaskan Kerajaan Negeri akan memantau kawasan berkenaan dengan bantuan Jabatan Kerja Raya (JKR), IKRAM dan bomba.

Azmin turut menyampaikan ucapan ringkas di sekolah itu yang juga dihadiri Exco Kerajaan Negeri iaitu Dr Daroyah Alwi, Ean Yong Hian Wah dan V Ganabatirau, selain Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rawang, Gan Pei Nei; ADUN Kuala Kubu Bharu, Lee Kee Hiong serta Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin.

Mohamed Azmin berkata, Kerajaan Negeri khususnya Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sudah mengambil langkah proaktif membantu semua mangsa dengan keperluan asas sejak hari kejadian semalam.

“Antara barangan keperluan dibekalkan termasuk tilam, bantal, makanan dan beberapa keperluan lain untuk semua termasuk warga emas serta bayi. Setakat ini dilaporkan 158 keluarga sudah didaftarkan di pusat penempatan sementara di sini.

“Semua mangsa perlu terus ditempatkan di pusat penempatan sementara selepas JKR menarik semula kenyataan bahawa keadaan di sini didapati selamat pagi tadi,” katanya.

Mohamed Azmin berkata, berdasarkan laporan Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS), JKR dan IKRAM masih terdapat pergerakan tanah di kawasan kejadian.

Sehubungan itu, katanya, pemantauan akan terus dijalankan pihak berkuasa dan tempohnya dianggarkan dalam satu hingga tiga minggu.

“Kerajaan Negeri pentingkan keselamatan penduduk. Buat masa ini kita belum boleh benarkan penduduk kembali ke rumah.

“Pada masa sama, pihak pengurusan sedang berusaha membawa masuk blok konkrit untuk menahan tebing supaya tanah tidak runtuh. Jika usaha ini berjaya, penduduk boleh kembali ke rumah masing-masing dalam masa terdekat,” katanya.

Kejadian tanah runtuh di pangsapuri Teratai, petang semalam dianggap terburuk setakat ini dengan penduduk di blok K dan L dipindahkan ke pusat penempatan sementara iaitu tiga sekolah berhampiran.

Kali pertama kejadian hampir sama berlaku pada 2009.