Tetamu Allah

Tatkala kami diserang dengan fitnah dan tohmahan, kami dipilih dan diundang oleh Allah SWT untuk menjadi tetamuNya pada tahun ini. Saya dan isteri, Shida bersyukur. Kami sambut seruanNya sebagai tanda kasih kami kepada Allah SWT dan segala kebesaranNya dan juga cinta kami kepada Baginda Rasulullah saw.

Perjalanan dengan Saudi Airlines mengambil masa lebih 8 jam. Kami tiba di Jeddah jam 9 malam, lewat hampir 2 jam dari jadual. Kerenah birokrasi dan budaya kerja masyarakat Arab dan ditambah pula dengan ketibaan jutaan umat Islam, memaksa kami menunggu lebih 7 jam untuk urusan paspot dan bagasi. Saat ini Allah SWT menguji kesabaran kita. Alhamdulillah, tiba di Mekah waktu Subuh dan terus kami memulakan tawaf, sa’ie dan tahalul. Maka selesailah pantang yang terikat dengan niat ihram.

Mekah sesak. Tawaf ketat dengan umat Islam dari seantero dunia mengabdikan diri kepada Allah SWT. Tidak kurang juga jamaah Malaysia yang menyapa dan memberi salam kepada saya. Teringat saya pesanan Ustaz bahawa tawaf adalah gerakan kepatuhan hamba kepada Allah SWT. Pelbagai watak dan ragam manusia. Semuanya menuntut kesabaran dan kebijaksanaan.

Hari ini hari ketiga kami di Mekah. Menanti hari Wuquf pada 9 Zulhijjah. Baginda Rasulullah akan mabit di Mina terlebih dahulu pada 8 Zulhijjah sebelum masuk ke Arafah. Namun, kami akan dibawa masuk terus ke Arafah pada 8 Zulhijjah kerana jalan ke Arafah akan ditutup pada 9 Zulhijjah untuk mengelak kesesakan yang luar biasa tahun ini.

Untuk mendapat tempat solat yang sedikit selesa dalam Haram, kami perlu masuk sekurang kurangnya 3 jam sebelum Azan. Kami pilih untuk Tawaf Sunat Tahiyatul Masjid setiap hari jam 3 pagi sebelum masuk waktu Subuh jam 5.30 pagi. Kami tenang dan syukur berada di Mekah. Hanya tumpu ibadat dan bermunajat kepada Allah SWT. Semoga dipermudahkan urusan kami untuk menyempurnakan ibadat Fardhu Haji dengan ilmu dan kesihatan yang baik. Saya turut memohon pertolongan Allah SWT untuk keselamatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia. Semoga Allah SWT mempermudahkan perjuangan kita untuk menegakkan keadilan dan mempertahankan kebenaran di bumi Malaysia.
Teringat anak-anak dan keluarga di Malaysia. Anak lelaki kami, Shazrin sedang menghadapi SPM. Semoga berjaya dengan cemerlang.

Saya hargai kiriman pesanan sms dari teman-teman di Malaysia yang mendoakan keselamatan dan juga kesejahteraan untuk kami. Marilah kita menjalin ukhuwwah di kalangan umat Islam dan perpaduan rakyat Malaysia demi negara Malaysia yang tercinta.

AZMIN ALI

Comments: 11

Comments are closed.