Titah Ucapan D.Y.M.M. Sultan Selangor Di Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Ketiga Belas Tahun 2015

Titah Ucapan D.Y.M.M. Sultan Selangor Di Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Ketiga Belas Tahun 2015, Pada Hari Isnin, 30 Mac 2015 Bersamaan 9 Jamadilakhir 1436h, Jam 8.00 Pagi Di Bangunan Dewan Negeri Selangor, Shah Alam

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan
Selamat Sejahtera

Bismillahir Rahmanir Rahim

Alhamdulillah, Beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan limpahNya Beta dapat berangkat untuk menyempurnakan Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Ketiga Belas Tahun 2015. Beta juga bersyukur kerana Negeri Selangor maju dan rakyat Beta hidup dalam suasana yang harmoni, aman dan makmur.

Almarhum Nenda Beta, Raja Lumu Ibni Daeng Chelak, Sultan Selangor yang pertama dengan gelaran Sultan Sallehuddin Shah yang memerintah dari tahun 1742 hingga 1778, tentu tidak dapat membayangkan negeri yang diasaskan ketika itu akan menjadi sebuah negeri yang maju seperti hari ini.

Beta berkenan supaya Negeri Selangor menjadi negeri termaju di Malaysia yang bukan sahaja cemerlang dari aspek pertumbuhan ekonomi yang mampan tetapi juga sama rata dalam mengagihkan kekayaan negeri untuk kesejahteraan rakyat.

Pertumbuhan ekonomi Malaysia dalam tahun 2015 yang disasarkan oleh Bank Negara Malaysia adalah pada kadar empat perpuluhan lima peratus (4.5.%) hingga lima perpuluhan lima peratus (5.5%). Pertumbuhan ini lebih perlahan dari tahun lepas dan akan terus dirangsang oleh permintaan domestik.

Langkah Kerajaan Negeri Selangor mengemukakan belanjawan defisit untuk tahun 2015 adalah sebagai langkah untuk membetulkan struktur ekonomi dalam menghadapi pertumbuhan ekonomi Malaysia yang agak perlahan.

Perancangan ekonomi Selangor perlu mengambil kira pertambahan penduduk negeri di mana nisbah tanggungan yang semakin meningkat dan keupayaan untuk memberi tumpuan kepada pendapatan isi rumah.

Beta dimaklumkan bahawa Negeri Selangor kekal negeri termaju di Malaysia, dan kini menyumbang dua puluh tiga perpuluhan lima peratus (23.5%) kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara. Purata pendapatan isi rumah Selangor masih mencatatkan kedudukan yang teratas dengan melebihi empat puluh peratus (40%) lebih daripada purata nasional.

Pada tahun 2012, purata pendapatan isi rumah Selangor meningkat kepada Ringgit Malaysia Tujuh Ribu Dua Puluh Tiga (RM7,023) berbanding dengan purata pendapatan isi rumah Malaysia yang hanya Ringgit Malaysia Lima Ribu (RM5,000) sahaja. Manakala, kadar kemiskinan Negeri Selangor terus berkurangan dari kosong perpuluhan tujuh peratus (0.7%) dalam tahun 2009 kepada kosong perpuluhan empat peratus (0.4%) dalam tahun 2012.

Kedudukan Kewangan Kerajaan Negeri Selangor pada 28 Februari 2015 dilaporkan kukuh, iaitu berjumlah Ringgit Malaysia Tiga Perpuluhan Empat Bilion (RM 3.4 bilion) dan mencatatkan peningkatan Kumpulan Wang Disatukan sebanyak Ringgit Malaysia Dua Ratus Dua Puluh Enam Juta (RM226 juta) berbanding 31 Disember 2014.

Dengan kepesatan pembangunan di Negeri Selangor, pastinya wujud pelbagai cabaran baru. Beta berkenan Kerajaan Negeri Selangor menggubal dasar-dasar negeri mengikut keutamaan yang betul. Ini selaras dengan tuntutan Maqasid Syari’ah yang merupakan satu gagasan penting dalam Islam, yang sentiasa relevan dengan perubahan zaman. Objektif utamanya untuk memenuhi enam keperluan asas kehidupan manusia, iaitu menjaga agama, menjaga akal, menjaga diri, menjaga keturunan, menjaga harta dan menjaga kehormatan diri. Matlamat akhirnya adalah untuk menjamin berlakunya kebajikan dan menegakkan keadilan untuk semua manusia.

Keutamaan yang pertama, adalah perpaduan di kalangan rakyat. Beta mahu setiap rakyat Beta tanpa mengira kaum, agama dan budaya, merasakan mereka adalah warga Negeri Selangor yang dijamin haknya oleh Perlembagaan Persekutuan. Rakyat Beta yang berbilang kaum adalah asset terpenting Negeri Selangor untuk memacu pertumbuhan dan menjamin keadilan sosial. Kerukunan dan kedamaian dalam sebuah masyarakat yang berbilang kaum adalah satu elemen penting untuk membina keyakinan khususnya di kalangan pelabur.

Meskipun rakyat Selangor berlainan agama, bangsa dan budaya, namun semuanya adalah manusia yang memiliki kemuliaan sebagai insan. Beta adalah sebagai payung menaungi seluruh rakyat Selangor dan memastikan tidak ada mana-mana kaum yang didiskriminasi atau dipinggirkan.

Beta berharap rakyat Beta bersatu padu dan hidup bagai aur dengan tebing, iaitu bekerjasama dan saling memerlukan antara satu dengan yang lain. Sekelian rakyat hendaklah berpegang kepada prinsip kesederhanaan serta saling hormat menghormati antara satu sama lain.

Wajar diingatkan agar hak-hak orang Melayu dan Bumiputera mesti dipertahankan termasuk jumlah keluasan Tanah Rizab Melayu selaras dengan Perkara 89, Fasal 3, Perlembagaan Persekutuan. Sebarang bentuk penggantian tanah baru haruslah “serupa keadaannya” dan mempunyai nilai pasaran yang kompetitif. Beta mahu usaha menggantikan Tanah Rizab Melayu yang telah dibatalkan akibat projek-projek pembangunan digantikan segera.

Tema “pembangunan berkualiti, rakyat dipeduli” adalah teras yang perlu diketengahkan dalam menghadapi tuntutan semasa. Setiap rakyat Negeri Selangor mesti menikmati kehidupan yang berkualiti, rumah yang selesa dan mampu dimiliki khususnya di kalangan graduan muda dan golongan kelas menengah.

Beta berkenan usaha Kerajaan Negeri Selangor untuk membina lima belas ribu (15,000) unit rumah mampu milik dalam tempoh 3 tahun.

Beta berharap usahasama anak – anak syarikat Kerajaan Negeri dan pemaju swasta dapat dilipat gandakan dalam usaha memenuhi permintaan rumah mampu milik sebanyak hampir empat puluh ribu (40,000) unit. Pertengahan bulan Mac 2015 yang lalu, Kerajaan Negeri telah melancarkan projek perumahan mampu milik dengan penglibatan pemaju swasta seperti Sime Darby Property, IJM Land dan WCT Holdings Berhad dengan jaminan pembinaan sebanyak lima ribu tujuh ratus tujuh puluh empat (5,774) unit rumah. Sebanyak 9 projek Rumah Selangorku lagi telah diluluskan dengan jumlah keseluruhan sebanyak sebelas ribu lapan ratus tiga puluh tiga (11,833) unit.

Semakin ramai rakyat Malaysia yang berhijrah ke Selangor untuk bersama – sama menikmati kemakmuran dan kepesatan ekonomi negeri ini. Pada tahun 2035, adalah dijangkakan penduduk Negeri Selangor akan mencecah sembilan juta orang. Permintaan untuk perumahan mampu milik akan menjadi lebih mendesak dan keperluan untuk menyediakan sistem pengangkutan awam semakin mencabar.

Beta menyambut baik keputusan Kerajaan Negeri Selangor untuk menyediakan Pelan Induk Sistem Pengangkutan Awam di Negeri Selangor. Usaha ini dapat memberi kemudahan dan alternatif pengangkutan yang lebih murah, efisien dan selamat serta mengurangkan penggunaan kenderaan persendirian di samping mengurangkan lepasan karbon.

Beta berharap supaya Rancangan Struktur Negeri Selangor 2035 dapat mensasarkan pecahan nisbah pengangkutan awam kepada kenderaan persendirian pada kadar 60:40.

Negeri Selangor perlu bersedia untuk menghadapi cabaran masa depan melalui pelaburan dalam pendidikan, latihan dan pembangunan Research and Development (R&D). Agenda ini adalah untuk menjadikan Negeri Selangor sebagai hub pengembangan keupayaan dan intelek sebagai usaha pelaburan jangka masa panjang demi kecemerlangan Negeri Selangor.

Beta menyambut baik usaha Kerajaan Negeri Selangor menjayakan falsafah demokrasi pendidikan tinggi dengan memperuntukkan Ringgit Malaysia Sepuluh Juta (RM10 juta) setahun untuk Tabung Biasiswa khusus untuk anak – anak Selangor dari desa dan keluarga berpendapatan rendah yang menuntut di Universiti Selangor (UNISEL) dan Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS). Usaha memperkenalkan Dana Bantuan Sara Diri Anak Selangor untuk mahasiswa UNISEL dan KUIS dengan peruntukan berjumlah Ringgit Malaysia Dua Belas Juta (RM12 juta) setahun juga adalah menepati falsafah yang Beta sebutkan tadi.

Beta telah dimaklumkan jumlah permohonan pelajar baharu sesi Jun 2015 di KUIS mencapai jumlah lapan ribu (8,000) permohonan, termasuk seratus dua puluh (120) pelajar antarabangsa dalam tempoh tiga minggu pendaftaran dibuka. Ini membuktikan keyakinan rakyat Malaysia dan komuniti antarabangsa terhadap kualiti pendidikan di KUIS.

Pembiayaan yang ditawarkan oleh Kerajaan Negeri Selangor kepada KUIS sebanyak Ringgit Malaysia Dua Juta (RM 2 juta) khusus bagi Program Pendidikan Pengajian Tahfiz Al Quran dan Ilmu Agama Islam akan mampu melahirkan lebih ramai golongan profesional di kalangan para huffaz.

Beta menaruh keyakinan status KUIS sebagai sebuah universiti penuh dapat direalisasikan dalam masa tiga tahun. Beta berharap agar sistem pendidikan di UNISEL dan KUIS dapat melahirkan tenaga mahir dan menjana tenaga kerja berpengetahuan yang sekaligus dapat meningkatkan produktiviti dan persaingan yang kompetitif dalam pasaran.

Modul pendidikan agama secara bersepadu di mana ilmu agama digabungkan dengan ilmu sains dan teknologi mendapat sambutan dan galakan yang besar di kalangan masyarakat. Beta gembira kerana Negeri Selangor telah menjadi perintis sistem pendidikan ini melalui penubuhan tiga Sekolah Integrasi Tahfiz Sains dan Teknologi sejak beberapa tahun yang lalu. Beta menyambut baik usaha untuk mengembangkan program ini.

Kerajaan Beta telah mula melaksanakan Program HIJRAH untuk membantu rakyat yang berada di bawah garis kemiskinan dengan memartabatkan kelompok ini supaya mereka diupayakan untuk keluar dari paras kemiskinan. Beta difahamkan seramai seribu seratus enam puluh sembilan (1,169) orang penerima kumpulan pertama Program HIJRAH telah menerima cek masing – masing pada 24 Mac 2015 yang lalu melalui Skim Mikrokredit Selangor (SkimSel) dan Program Mikrokredit Miskin Bandar (MiMBAR) yang diperuntukkan sebanyak Ringgit Malaysia Seratus Juta (RM100 juta).

Beta berharap Program HIJRAH dapat membantu mereka menceburkan diri dalam bidang keusahawanan dan meningkatkan pendapatan isi rumah dan mereka memasuki kelompok berpendapatan menengah.

Beta juga berharap Memanda Dato’ Menteri Besar dapat meneruskan amanah kepimpinan dengan baik, di samping mencatat beberapa kejayaan dalam tempoh yang singkat. Pendekatan kerja secara hands-on dan lebih responsif terhadap permasalahan rakyat, akan menjalin hubungan akrab antara Kerajaan Negeri dengan rakyat.

Kerajaan Beta juga turut membantu mangsa-mangsa banjir di negeri-negeri yang dilanda malapetaka banjir baru-baru ini. Kerajaan Negeri Selangor telah menyalurkan sejumlah Ringgit Malaysia Satu perpuluhan Lapan Juta (RM1.8 juta) dalam bentuk sumbangan wang tunai kepada Kerajaan Negeri Kelantan, Terengganu, Pahang dan Perak melalui sumbangan anak – anak syarikat Kerajaan Negeri dan pihak swasta. Beta mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Negeri Selangor yang bersetuju membina semula rumah – rumah yang musnah dalam banjir di Kuala Krai dan Gua Musang, Kelantan dengan melibatkan kos sebanyak Ringgit Malaysia Tujuh Juta (RM 7 juta) dan dijangka siap sebelum Ramadhan tahun ini.

Beta ingin mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada seluruh anggota perkhidmatan awam Negeri Selangor khususnya pegawai – pegawai dan warga kerja Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang membantu kerja-kerja pembersihan pasca banjir. Inilah sikap peduli yang harus dibudayakan dalam masyarakat demi kesejahteraan semua.

Namun begitu, bencana banjir yang berlaku di beberapa buah negeri khususnya di Pantai Timur, harus menjadi iktibar kepada semua pihak. Beta menegaskan bahawa pengurusan alam sekitar dan ekosistem melalui pemuliharaan hutan simpan kekal dan penanaman pokok mesti diberikan perhatian oleh Kerajaan Negeri Selangor. Beta mahu jumlah keluasan hutan simpan kekal di Negeri Selangor tidak kurang tiga puluh peratus (30%) dari keluasan tanah Negeri Selangor.

Beta menyokong usaha Kerajaan Negeri Selangor untuk memastikan kesempurnaan pembangunan Negeri Selangor melalui pembangunan teknologi hijau yang mesra alam serta mensasarkan Negeri Selangor sebagai negeri rendah karbon bagi menjamin persekitaran yang sihat. Beta dimaklumkan Kerajaan Negeri Selangor akan membangunkan Taman Hijau di Shah Alam. Keindahan hijau itu boleh dinikmati oleh sekalian rakyat Beta untuk tujuan riadah dan rekreasi bagi menjamin kualiti kehidupan bersama keluarga.

Sementara Negeri Selangor merancakkan pertumbuhan, Beta mahu rakyat Beta sedar dan insaf bahawa kemajuan tidak hanya diukur dari aspek statistik dan data ekonomi semata-mata. Beta menyokong pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor untuk melaksanakan dasar “pembangunan berkualiti, rakyat dipeduli”.

Selangor adalah negeri yang kaya dengan khazanah sejarah dan warisan budaya. Usaha untuk memperbaiki dan meningkatkan peranan muzium agar rakyat dapat mengenali dan menghayati sejarah dan tradisi kebudayaan negeri ini amatlah dialu – alukan. Beta percaya, ikhtiar untuk menjadikan Shah Alam dan Petaling Jaya sebagai “Kota Seni” akan memperkayakan seni budaya yang sedia ada dan akan menjadikan kedua bandaraya ini muncul sebagai kota kosmopolitan di rantau ini.

Tujuh puluh peratus (70%) penduduk di Shah Alam adalah di kalangan generasi muda. Anak-anak muda mempunyai citarasa yang khusus seperti sukan, rekreasi, muzik dan seni. Shah Alam sebagai “Youth City” atau kotaraya anak muda adalah bertepatan dengan aspirasi anak muda dan akan menjadikan ibu Negeri Selangor lebih rancak dan dinamis.

Beta mahu kecemerlangan sukan, khususnya bola sepak dimartabatkan. Bola sepak adalah “sukan rakyat” yang boleh dijadikan alat atau platform untuk menyatupadukan rakyat pelbagai kaum. Usaha-usaha telah dibuat ke arah mengembalikan kegemilangan prestasi pasukan bola sepak Selangor, namun usaha itu haruslah dipertingkatkan dengan lebih bersungguh-sungguh.

Beta melihat secara positif pendekatan baru dan inisiatif secara “bersemuka dan berbincang” yang dimulakan oleh Memanda Dato’ Menteri Besar untuk mengadakan perbincangan dengan Putrajaya dan Agensi Persekutuan demi kepentingan dan keselesaan hidup rakyat Beta. Beta difahamkan lawatan kerja Memanda Beta ke Negeri Sarawak telah mendapat sambutan yang baik.

Namun, Beta juga mahu Memanda Beta meneruskan sikap tegas mempertahankan kedaulatan Negeri Selangor dan kepentingan rakyat. Beta mengharapkan supaya penstrukturan semula industri perkhidmatan air Negeri Selangor dapat dimuktamadkan segera berdasarkan semangat dan terma Perjanjian Utama yang telah ditandatangani pada 12 September 2014. Beta yakin pendekatan “bersemuka dan berbincang” dapat menyelesaikan persoalan ini secara adil demi menjamin perkhidmatan air terawat yang lebih efisien dan mesra rakyat kepada seluruh warga Negeri Selangor. Beta juga mahu langkah-langkah persediaan diambil untuk memastikan bekalan air bersih mencukupi untuk memenuhi permintaan domestik dan industri. Air adalah satu keperluan yang sangat penting untuk kehidupan rakyat. Oleh itu Beta menyeru agar perkara ini tidak dipolitikkan oleh mana-mana pihak supaya ianya dapat dilaksanakan dengan sempurna untuk memenuhi keperluan pembangunan dan kehidupan rakyat jelata.

Negeri Selangor bertambah makmur dan rakyat hidup sejahtera kerana negeri ini adalah sebuah negeri yang selamat dan stabil. Keselamatan dan kestabilan ini dihasilkan oleh sistem politik yang berteraskan Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen. Inilah sistem yang terbaik untuk negeri dan rakyat Beta. Melalui sistem demokrasi, rakyat memilih wakil-wakil mereka di dalam pilihan raya. Ahli – Ahli Dewan Negeri yang dipilih akan membentuk sebuah kerajaan yang efisien bagi kesejahteraan rakyat Negeri Selangor.

Beta ingin mengingatkan Ahli-Ahli Dewan Negeri Selangor supaya memberi tumpuan kepada tanggungjawab di dalam usaha untuk meningkatkan sistem penyampaian kepada rakyat. Rakyat Beta telah memberikan kepercayaan mereka kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian. Amanah tersebut janganlah diabaikan. Beta juga mahu agar perbahasan di dalam Dewan ini dapat ditumpukan kepada soal pembangunan dan cabaran-cabaran masa hadapan bagi merealisasikan aspirasi rakyat.

Akhirnya, Beta sekali lagi mengucapkan tahniah kepada Memanda Beta, Dato’ Menteri Besar Selangor dan sekalian Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang telah mentadbir negeri Beta dengan sebaiknya. Bermuafakatlah untuk kebaikan rakyat Beta.

Maka, Dengan lafaz Bismillahir Rahmanir Rahim, Beta dengan sukacitanya merasmikan Pembukaan Persidangan Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Ketiga Belas Tahun 2015.

Selamat Bersidang.

Sekian,
Wabillahi Taufik Walhidayah, Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.