Tragedi Tanah Runtuh Bukit Antarabangsa Menuntut Pertanggungjawaban Bersama

6 Disember 2010, genap dua tahun berlakunya tragedi tanah runtuh yang menimpa penduduk di Bukit Antarabangsa. Peristiwa ini seharusnya diingati untuk memupuk kesedaran yang mendalam dan meluas betapa pentingnya memelihara dan melestarikan alam sekitar dari segala bentuk pembangunan yang merosakkan alam dan membahayakan nyawa manusia.

Pembangunan dan Kualiti Hidup

Bersempena dua tahun tragedi ini, kita wajar bertanya kembali, apakah maksud dan tujuan sebenar bagi pembangunan, apakah bentuk dan wajah yang mahu kita ciptakan atas nama pembangunan?

Bagi kami dalam Pakatan Rakyat, matlamat bagi pembangunan haruslah bertujuan untuk meningkatkan kualiti dan mutu penghidupan rakyat. Inilah yang perlu difokuskan dan bukannya kuantiti projek-projek perumahan baru atau projek-projek pembangunan yang lainnya.

Pembangunan dan kelulusan sesuatu projek atas alasan pertumbuhan ekonomi tidak seharusnya dilakukan dengan cara meluluskannya tanpa perencanaan yang berimbang dan meminggirkan peraturan sehingga menyebabkan banyak masalah di kemudian hari seperti kerosakan alam sekitar yang parah, kepadatan yang menyesakkan disesebuah kawasan sehingga mengakibatkan menurunnya kualti dan mutu penghidupan kita.

Setiap rakyat Malaysia berhak menikmati kualiti hidup yang lebih baik dan ini bermakna segala projek pembangunan wajar menitik beratkan konsep mesra alam termasuk menyediakan akses yang selesa serta kemudahan ruang-ruang awam yang luas dan mencukupi.

Ketelusan dan Pertanggungjawaban

Faktor utama tragedi sebegini boleh berlaku dihadapan mata kita adalah kerana kurangnya ketelusan dan pertanggungjawaban (transparency and accountability) daripada semua pihak.

Menginsafi perkara ini, kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor telah mengambil inisiatif dengan mewartakan Akta Kebebasan Maklumat (Freedom of Information Act) melalui Dewan Negeri Selangor agar segala maklumat berhubung dengan cadangan dan kelulusan sesuatu projek akan dapat dipantau secara langsung oleh rakyat.

Ini tentunya membimbangkan pihak-pihak yang telah lama selesa bekerja dan bergerak dengan cara lama. Kita dapat lihat bagaimana Kementerian Kerja Raya cuba mempersulitkan pengumuman dan pendedahan yang mahu dibuat oleh Kerajaan Negeri Selangor melalui laporan kajian kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa dengan mengancam untuk mengenakan tindakan undang-undang dibawah Akta Rahsia Negara.

Tetapi, dengan kesedaran yang semakin meluas dikalangan rakyat dan juga tekanan yang berterusan dari ahli keluarga mangsa kejadian dan pemilik rumah di Bukit Antarabangsa, Kerajaaan Persekutuan akhirnya mengalah. Ini adalah suatu contoh yang jelas bahawa kesedaran yang meluas dikalangan rakyat adalah suatu kekuatan yang dapat menundukkan mana-mana penguasa dan pemimpin yang angkuh.

Bersempena dengan ulang tahun kedua tragedi tanah runtuh ini, disamping berdoa kepada mereka yang telah pergi, marilah kita sama-sama memastikan agar tragedi yang sama tidak lagi berulang, lebih-lebih lagi apabila ianya berlaku akibat dari kerakusan kita merosakkan alam atas nama pembangunan demi mengaut keuntungan.

Mohamed Azmin Ali
6 Disember 2010

Article by Azmin Ali