Turunkan simbol agama lain ada elemen ekstrem

Oleh HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM 20 APR: Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali menyifatkan desakan menurunkan lambang salib pada sebuah gereja di Taman Medan, tidak wajar dan cenderung kepada elemen ektremis.

“Desakan supaya menurunkannya sesuatu yang tidak boleh diterima dan tidak menggambarkan rasa hormat kepada golongan itu.

“Jelas bahawa lambang salib adalah simbol untuk komuniti Kristian,” katanya ketika diminta mengulas bantahan segelintir umat Islam di Taman Medan, semalam selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Kerajaan di sini, hari ini.

Menegaskan isu itu perlu penyelesaian baik dengan hak pengurusan gereja dihormati, beliau berkata elemen ekstremis tiada tempat di Selangor bagi mengelakkan ketegangan kaum.

“Kita akan memastikan perlindungan untuk semua tanpa meminggirkan golongan minoriti,” katanya.

Beliau juga berharap polis menjalankan penyiasatan profesional supaya mereka yang bertanggungjawab diambil tindakan.

“Gereja sudah bersetuju untuk menurunkan salib itu. Semua pihak harus menghormatinya,” kata beliau.

– FZL –